Saturday, May 16, 2020

Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu, Salam Hari Guru 2020

16 Mei Hari Guru disambut saban tahun dengan pelbagai tema. Guru memang perlu dihormati. Terutamanya oleh para pelajar dan tidak terkecuali  ibu bapa pelajar. Mutakhir kita sering mendengar berita yang merendahkan para guru. Ada guru yang kena ‘sound’ oleh pelajar dan mak ayah, ada yang kena denda, kena saman, kena laporan polis dan sebagainya.
Memang kita juga mendengar  ada pelajar yang kena denda dengan agak melampau oleh guru. Pokoknya punca asal dari mana ? 
Kalaulah pelajar berbudi lagi bersopan, saya percaya guru pun tidak akan mendenda pelajarnya. 
Ada yang bilang guru dahulu tak sama dengan sekarang. Sekarang, segelintir  guru tidak mempunyai ‘roh’ atau ‘jiwa’ sebagai guru. Menjadi guru hanya kerana ingin mendapatkan gaji bulanan dan tiada pekerjaan lain yang boleh dilakukannya. Jika diberi pilihan dan tawaran lain, mereka memilih untuk bertukar ke profesion lain.
Buat para guru ayuh betulkan niat, pekerjaan kalian adalah sangat mulia. Saham pahala akan sentiasa mencurah walaupun kalian telah tiada.

Buat insan yang bergelar pelajar. Pemerhatian saya selaku orang yang tersepit antara generasi lama dan baru, walaupun generasi lama sambutan hari gurunya tidak ‘wow’ akan tetapi mereka lebih beradab terhadap gurunya. Berbanding sekarang yang hanya lebih kepada slogan, kata-kata dan tulisan yang ‘mengancam’. Tetapi tidak disertai dengan tindakan, lebih kepada retorik.

Saya membelek kitab Pelita Penuntut yang merupakan terjemahan dari kitab Ta’lim Al-Mutaa’llim Tariq Al-Taa’llum karya Syeikh Zarnuji. Pada kulit hadapan Kitab Pelita Penuntut yang diterjemahkan oleh Syeikh Muhammad Syafie bin Abdullah Rangkul, Langgih, Patani keluaran  Percetakan Al-Maarif Pulau Pinang dilampirkan syair Imam Syafie  buat penuntut ilmu.
أخي لن تنال العلم الا بسته ؛ ذكاء وحرص واجتهاد وبلغة وصحبة استاذ وطول زمان
Maksudnya : Saudaraku, kamu sekali-kali tidak berupaya mencapai ilmu kecuali dengan enam perkara ; cerdik, aktif mencari ilmu, tekun berusaha, kehidupan yang memadai, mengakrabi ustaz (guru) dan masa yang panjang.  

Saya hanyalah siapa jika bukan kerana guru. Selamat hari guru buat semua guru yang telah mendidik saya baik secara langsung mahupun tidak. Secara formal atau bukan formal, dalam kelas atau di luar kelas,  semuanya guru belaka. 
Walaupun saya bukanlah orang yang cerdik pandai, tetapi dari dulu lagi saya diajar untuk hormat dan kasihkan guru. Walaupun biasalah semasa zaman remaja baru nak ‘up’  masa bersekolah dulu, ada guru yang kita ‘tak suka’ kononnya kita sahajalah yang bagus dari guru tersebut, sampai kita boleh melabel mereka. Hmm.

Ayuh! Kita sama-sama mendoakan para guru terutama mereka yang telah kembali ke rahmatullah. Saya mencadangkan kepada semua terutama yang masih belia remaja di peringkat sekolah dan universiti untuk membuat catatan bertulis profil guru masing-masing. Kerana setelah berlalunya puluhan tahun akan datang, waktu tersebut kita mungkin akan terlupa perihal sebahagian guru kita. 

Saya hanyalah pelajar
Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu.

catatan saya tahun-tahun sudah berkenaan hari guru :  http://syababgr.blogspot.com/2017/05/selamat-hari-guru.html

Bersama Dr Zulkifli bin Muhammad al-Bakri di kediaman beliau.

Bersama tenaga pengajar Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat
Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan.
Guru Komputer kami  semasa di Maahad Tahfiz Masjid Negeri.

Bersama Naqib yang banyak membimbing
#SalamKu
#PermaiMenulis
#GengPermai
#CikguSayaBest
#SelamatHariGuru
#KasihkanGuru







No comments: