Sunday, August 29, 2021

Mesin Rumput di kampung

Lama tak merentas ke sini.
Mujur nampak lagi kelibat rumah.
Hari ini hujan hampir sepanjang hari. Tak bolehlah nak meracun. Kita mesin je la.Sebelum ni, zaman-zaman tracking gua di Gunung Senyum, kita transit dulu kat sini semalaman.

Jom Muhammad Harith Muhamka Permai Haziq Akram Permai sambil-sambil bakar ikan paya.






#PermaiMenulis #GunungSenyum #hujan #pahang

Wednesday, August 25, 2021

Jom pulun belajar mengaji al-Quran

Semasa saya berada dalam darjah 2-3, kami sekeluarga duduk menyewa di Taman Sri Semantan.
Sedangkan kami mempunyai rumah sendiri di Kerdau.
Kenapakah ?
Tak lain tak bukan hanya untuk membolehkan kami mengikuti kelas mengaji petang di Tadika al-Mukmin. Kelas mengaji bermula jam 3 sehinggalah jam 5.
Kemudiannya apabila sekolah rendah kami iaitu SRA Al-Mukmin membuka kelas mengaji sebelah petang, kami sekeluarga berpindah semula ke Kerdau.
Makanya saya berada di sekolah daripada pagi sehinggalah jam 5 petang.
Darjah 6, kami berpindah ke Taman Temerloh Jaya. Ayah bersama rakannya membuka Tadika Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) yang terawal di Taman Temerloh Jaya.
Sebelah petang, dijalankan kelas mengaji al-Quran dan saya meneruskan sesi mengaji al-Quran saya di situ.
Begitulah sedikit kenangan zaman belajar mengaji al-Quran sewaktu sekolah rendah.
Zaman itu belum ada lagi kelas KAFA di sekolah.

Beruntung pelajar sekolah rendah sekarang kerana di sesi persekolahan mereka mempunyai kelas tasmik (program Jqaf) dan kelas KAFA di sebelah petang.
Majoriti pelajar telah khatam membaca al-Quran sebelum mereka memasuki alam sekolah menengah. Namun tidak dinafikan ada juga pelajar yang keciciran.

Persoalan yang ingin saya sebut di sini ialah, adakah memadai sekadar telah khatam mengaji di zaman sekolah rendah ? Lebih malang lagi jika yang keciciran tidak sempat khatam mengaji al-Quran ketika zaman sekolah untuk tidak meneruskan sesi belajar mengaji al-Quran.

Ketika kehidupan zaman remaja dan belia dipenuhi dengan jadual kelas belajar akademik. Sangat rugi jika tidak diselitkan dengan kelas mengaji al-Quran.
Biarlah kehidupan masa muda remaja diisi dengan al-Quran. Nikmatnya lain, percayalah.

Mulakan dengan bertalaqi membaca al-Quran riwayat Imam Hafs jalur Imam Syatibi.
Kemudiannya baca riwayat Imam Syukbah. Imam Hafs dan Syukbah meriwayatkan bacaan dari Imam 'Asim.
Setelah itu lanjutkan dengan qiraat 7 Imam-imam yang lain.
Ataupun membaca bacaan imam Hafs dengan jalur Imam Ibnul Jazari.

Manfaatkan musim pandemik yang kita disarankan berada di rumah, dengan mengikuti kelas-kelas mengaji yang dijalankan secara atas talian.

Bagi mereka yang ingin belajar mengaji :
https://www.facebook.com/permaihomengaji

Sumbangan Dana : Bank Rakyat : 11-0155607-5 (Usrah Permai)




#PermaiMengaji #PermaiMenulis #Mengaji #alquran #ngajionline #kelasmengaji #mengajialquran

Mini Chainsaw

Dalam menjayakan sesuatu perkerjaan, ada masanya kita memerlukan alat atau perkakas untuk merealisasikannya.
Alat tersebut tentunya dicipta oleh manusia dan akan mengalami perubahan dan kemajuan sesuai dengan peredaran masa dan perkembangan ilmu.

Apabila teknologi semakin berkembang, dan dunia semakin terdedah dengan It, Ict bla bla teknologi bla bla.. Penciptaan alat turut mengalami perubahan.

Kebanyakan alat terkini lebih ringkas, kecil, ringan, fleksi dan mudah untuk diuruskan. Juga tidak kurang pentingnya harganya juga murah.

Tamat mukaddimah !

Saya baru sahaja membeli chainsaw kecil yang menggunakan bateri secara online dengan kedai Adib Hardware https://fb.watch/7Bs3dgOr3X/ . Harganya RM 200 seunit.

Kami terus membuat operasi mengambil buah rambutan di kediaman rasmi al-Fadhil Qadhi https://www.facebook.com/zainudinzakaria.abuaisyah
Brother https://www.facebook.com/reezal.karim naik memanjat dan memotong dahan dengan menggunakan chainsaw kecil tersebut.
Memang kerja semakin mudah dan pantas.

Chainsaw kecil ini sesuai untuk disimpan di dalam bot kereta. Mudah jika berlaku kecemasan pokok tumbang di jalanan. Tetapi pastikan baterinya sentiasa di cas. Tetapi "kot mana pun" parang kena ada juga.

Sekian.




#permaimenulis #chainsaw #adibhardware

Monday, August 23, 2021

Mengaji Muqaddam Muka Surat 22 siri 26



Mengaji Muqaddam Muka Surat 22 siri 26

Belajar Mengaji dengan menggunakan Muqaddam sangat popular di negara kita sehinggalah pertengahan tahun 90an. Selepas itu kebanyakan berpindah menggunakan kaedah Iqra' dan pelbagai kaedah lain lagi. Kami mengajak kalian mengulang kaji cara membaca dengan menggunakan Muqaddam. Ingin Belajar mengaji : https://www.facebook.com/permaihomeng... Sumbangan Dana : Bank Rakyat : 11-0155607-5 (Usrah Permai) https://youtu.be/Kq5HzQQHRDw https://youtu.be/Kq5HzQQHRDw https://youtu.be/Kq5HzQQHRDw #PermaiMenulis​ #PermaiMengaji​ #Muqaddam​ #alifbata​ #mengaji​ #alquran

Saturday, August 21, 2021

Melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar

Kami mengucapkan selamat bermusafir menuntut ilmu kepada Irsyad Danial Permai yang akan melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar Mesir.

Tradisi kebanyakan para ulama silam yang jauh meninggalkan kampung halaman demi misi pencarian ilmu.
Namun mutakhir ini, kami melihat kebanyakan para pelajar (Mesir) yang sering sangat pulang bercuti ke Malaysia.
Saya syorkan manfaatkan keberadaan di luar negara dengan sebaiknya. Kerana mungkin tiada lagi peluang selepas-selepas ini.
Peluang untuk berziarah ke negara lain juga lebih murah. Seperti ke Jordan, Turki dan juga ke Tanah Suci Mekah Madinah.
Pernah berlaku sahabat kami yang bertuah dapat menunaikan haji dua kali sepanjang tempoh berada di Mesir.





Seeru 'ala barakatillah

#PermaiMenulis #mesir #azhar #pahang

Wednesday, August 18, 2021

Perdana Menteri pilihan

Siapa PM ?
Biarpun siapa PM kita. Janganlah bluetick je.
Respon lah.
Barulah tenang.



*Kenangan YDPA bersama Imam Cameron, Lipis, Bera, Chenor, Raub, Jengka, Rompin.

#PermaiMenulis #pm

Saturday, August 14, 2021

Buah manggis dan mesta



Nampak serupa tapi tak sama.
Dalam pinggan ini bercampur antara buah manggis dan buah mesta (master).
Kalian suka yang mana ?
Jika diteliti rupanya ada perbezaan. Rasanya juga berbeza.
Masing-masing tak sama cita rasanya.
Kat kampung saya di Kerdau ada replika buah mesta.
Kerana buah ini dikatakan "berasal" dari sini.



#PermaiMenulis #manggis #mesta

Thursday, August 12, 2021

BUKU KHALIFAH UMAR

Unboxing buku susunan Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang yang berjudul Khalifah Umar RA.
Memang tidak dinafikan buku yang menceritakan perihal Saidina Umar RA cukup banyak di pasaran. Tetapi saya pasti, buku ini olahannya lain dari yang lain. "bukan beshe-2" .
Kalau tak percaya ?.. Beli dan hadamkan.

#PermaiMenulis #PustakaPermataUmmah #buku #sirah #khalifahumar #fiqhsiasah #unboxing
https://youtu.be/uPRl6bAHxHI

Tuesday, August 10, 2021

Tahniah Tan Sri Syeikh Ismail Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan


Kenangan Bersama Tan Sri Syeikh Ismail di Masjid Negara 


Alhamdulillah, bersempena Sambutan Maal Hijrah tahun 1443/2021, Kerajaan Malaysia telah berbesar hati menganugerahkan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan kepada Tan Sri Dato’ Sri (Dr) Syeikh Haji Ismail bin Muhammad. Tan Sri Syeikh merupakan mantan Imam Besar Masjid Negara. Beliau juga antara generasi awal yang membangunkan Maahad Tahfiz Al-Quran Terengganu  dan Institut Tahfiz Sultan Haji Hassanul Bolkiah, Brunei Darussalam.

Tan Sri Syeikh  pernah menceritakan serba sedikit kepada kami pengalaman beliau membangunkan Maahad Tahfiz dalam beberapa siri pertemuan Persidangan Imam Peringkat Kebangsaan.

Semasa saya belajar di Maahad Tahfiz, guru kami yang juga merupakan anak murid kepada Tan Sri Syeikh pernah menceritakan berkenaan Tan Sri kepada kami terutamanya mengenai ketegasan beliau dan cermatnya beliau dalam bacaan al-Quran.  Bacaan beliau cukup teratur, lenggoknya seperti bacaan Syeikh Mahmud Khalil Khusary.

Yayasan Islam Terengganu pernah mengeluarkan  kaset set lengkap 30 juzuk al-Quran yang dibacakan oleh Tan Sri Syeikh dalam tahun 90an dahulu.

Tahniah kami ucapkan, moga Tan Sri Syeikh dikurniakan sihat wal afiat dan dapat terus berbakti kepada ummah.

 

#PermaiMenulis #MaalHijrah #TokohMaalHijrah #1443 #ManhajRabbani

Monday, August 09, 2021

Salam maal hijrah


Salam tahun baru, 1 Muharam 1443.
Semakin cepat masa berlalu.
Faham-fahamlah yang usia kita semakin singkat.
Kita sudah tidak banyak masa.
Segerakan melakukan amal kebaikan.
Jangan tanguh ke hari mendatang.

Bukan masanya untuk berkata :
"Tunggu 2-3 tahun lagi lah"
"Lepas pergi haji nanti lah"
"Lepas pencen nanti"
"Tunggu umur 40 tahun"

Tapi, hari ini. Sekarang. Inilah masanya.

#PermaiMenulis #maalhijrah #tahunbaru #1443 #amal

Sunday, August 08, 2021

Tahniah Datuk AzizulHasni Awang, The Pocket Rocket Man

Penuh di wall Poster dan ucapan tahniah kepada Dato' Azizul Hasni Awang yang digelar The Pocket Rocket Man.
Walaupun orang Malaysia fizikal kecil berbanding orang Eropah, dan tentunya acara sukan memberi kelebihan kepada mereka yang mempunyai fizikal yang 'besar'.
Namun beliau tampil gagah bersaing bahkan menjadi tumpuan dan sebutan di mata dunia.
Ini membuktikan yang kita orang Malaysia sebenarnya mampu bersaing dengan Eropah dalam acara sukan.
Antara yang penting ialah program pembangunan dan latihan atlet yang berdisiplin dan tersusun rapi.

Saya tertarik dengan life style Dato' Azizul Awang yang sering beliau kongsikan di Vlognya.
Selepas training atau sesi perlumbaan beliau akan sebut "lepas ni nak solat",
"rehat sambil membaca buku, mengaji".

Ada juga dalam vlog ketika menjalani training di Nilai kelihatan beliau solat berjemaah bersama team dan menjadi imam.

Ketika hari sampai ke tempat penginapan di Izu pun beliau kongsikan yang nak solat dulu sebelum tidur dan kongsikan waktu subuh masuk pukul berapa.
Hebatnya menjadi atlet sukan kelas dunia dengan tidak mengabaikan solat.

Siapa pun kita, dan berada di mana sahaja pun. Solat jangan diabaikan.

Biasanya, zaman saya sekolah dahulu permainan mengikut musim. Lepas ni mungkin ramai yang semangat nak mengayuh basikal.

Teringat pula kisah zaman saya sekolah dahulu. Hari-hari mengayuh basikal besi sebagai kenderaan utama saya.

Saya mengayuh basikal bukan kerana nak beriadah atau bersiar-siar. Tetapi hanya itulah kenderaan yang ada.

Mengayuh basikal dari Taman Temerloh Jaya (Tj) ke SK Tanjong Lalang (masa tu kiri kanan jalan pokok getah tua dan perumahan terbengkalai) kemudiannya Tingkatan 1-3 berkayuh dari TJ ke SMA Al-Khairiah.
Semasa tingkatan 1, rakan saing mengayuh ke sekolah antaranya Kamal, Nasrul, Yazid dan arwah 'along'.
Along (Fadhlullah) tingkatan 2 dan meninggal dunia kerana lemas bersama kawannya Yasir.
Ketika tingkatan 2, saya mengayuh pula dengan Ijat, Yazid, Nasrul.
Tapi semasa di tingkatan 3 selalunya saya berkayuh berseorangan. Sebabnya dah bersekolah sesi pagi.
Perumahan TJ pula baru buka ketika itu, kedai pun tiada lagi. Nak membeli barang runcit kena pergi ke Taman Sri Semantan. Ada masanya saya berkayuh ke Semantan untuk ke kedai Meihijrah membeli barang dapur dan keperluan sekolah. Kerana ayah masa itu berada di UTM Skudai.

Sekali sekala berkayuh ke bandar Temerloh. Tetapi menjadi hampir setiap hari berkayuh ke bandar Temerloh apabila belajar tuisyen luar ketika di Tingkatan 3.

Itu belum cerita mengayuh ikut 'jalan dalam' lagi. Lalu ikut kampung Tualang ke Sk Tanjung Lalang, lajak lagi keluar kat flat Sri Kemuning.
Masuk ikut kampung Paya Kecil keluar dekat Batu 1 depan Khairiah. Lajak lagi ikut belakang SMKT keluar dekat Kampung Baru. Dari Kampung Baru terus masuk dan parking basikal di Plaza Temerloh.
Balik pula ikut Jalan Bahagia (JB) tembus ke TJ, jalan lama lagi masa tu berbukit dan kiri kanan jalan belukar. Pernah juga masuk ikut kampung area belakang hotel Green Park tembus dekat perhilitan-Jalan Bahagia.

Apapun, macam yang saya tulis tadi, saya berkayuh bukan sebab nak beriadah..huhu. Tapinya sebagai kenderaan utama saya.

Cumanya ketika itu, mengayuh basikal untuk beriadah belum lagi menjadi fenomena seperti sekarang.
Sebabnya, hari-hari di waktu pagi, tengahari, petang dan merata-rata saya berkayuh tu, termasuk malam. Macam tak jumpa pun set-set berkayuh ni.

Apa kata kita cuba budayakan semula menunggang basikal ke sekolah, masjid dan tempat kerja ?
Jimat kewangan, dapat elak dari pencemaran dan jaga kesihatan.




#PermaiMenulis #basikal #teamazizul #azizulawanghasni #tahniah #olimpik #hero #wiranegara

Saturday, August 07, 2021

Shah Firdaus yang bersemangat

Shah Firdaus, walaupun mengalami kesakitan bahagian rusuk akibat perlanggaran dan terjatuh di trek ketika peringkat saringan.
Tetapi tetap ingin meneruskan perlumbaan di peringkat repecharge dan alhamdulillah berjaya meraih tempat bersama Datuk Azizul ke peringkat suku akhir pada hari esok.
Itulah Semangat perjuangan.
Kita semua perlu mencontohi semangat ini.
Semangat dan meneruskan perjuangan hingga ke saat akhir.

Moga sinar emas dalam dakapan

#PermaiMenulis #semangat #ShahFirdaus #Azizul

Thursday, August 05, 2021

Kerajaan Negeri Pahang beri Jubah pada semua pegawai masjid dan surau



Menghadiri program "Penyerahan Jubah" secara atas talian kepada semua pegawai masjid dan surau di seluruh negeri Pahang. Program dimulakan dengan ucapan wakil-wakil pegawai masjid, ucapan aluan YH Dato' Dr Hj Zulkifli al-Hafiz Pengarah JAIP dan diakhiri dengan ucapan YB Dato' Sri Syed Ibahim, Exco Agama Negeri Pahang.

Walaupun bukan syarat atau kemestian, namun 'biah' di tempat kita, Jubah ibarat pakaian rasmi bagi para agamawan termasuklah Sahibus Samahah Mufti, Al-Fadhil Qadhi dan pegawai masjid.
Moga dengan pemberian jubah daripada Kerajaan negeri, dapatlah meningkatkan imej dan identiti pegawai masjid dan surau. Taknaklah pegawai masjid hadir dengan imej seperti, berbaju melayu tak berbutang.

#Jaip #masjid #imam #pahang #PermaiMenulis #surau

Wednesday, August 04, 2021

Nak makan buah percuma

Ketika ini musim buah. Awal-awal dulu harga buah masih tinggi. Teorinya bersabar dulu. Sebab sekarang sudah semakin murah sebab stok semakin banyak di pasaran.

Tip bagi yang nak makan buah free, rajin-rajinlah datang ke masjid. Kebiasaan adalah tuan kebun sedekahkan hasil kebunnya ke masjid.

Buat tuan kebun, sekali sekala bolehlah 'belanja' teman-teman dan kalau stoknya banyak apa salahnya jemput orang kampung 'berkenduri' buah. Namun musim ini harus mengikut SOP, seperti had bilangan orang dan penjarakan fizikal.

Anas RA meriwayatkan hadis dari Rasulullah SAW :

إِنْ قَامَتِ السَّاعَةُ وَ فِي يَدِ أَحَدِكُمْ فَسِيْلَةٌ فَإِنِ اسْتَطَاعَ أَنْ لاَ تَقُوْمَ حَتَّى يَغْرِسَهَا فَلْيَغْرِسْهَا

“Sekiranya hari kiamat hendak terjadi, sedangkan di tangan salah seorang diantara kalian ada biji kurma maka apabila dia mampu menanam sebelum terjadi kiamat maka hendaklah dia menanamnya.”
(HR. Imam Ahmad, Imam Bukhari)

Moh berkebun !




#PermaiMenulis #petani #pekebun #kebun #pokok #buah

Tuesday, August 03, 2021

Ayahanda karya Azizi Haji Abdullah

Karya Allahyarham Azizi Hj Abdullah. Saya pernah mendengar kaset ceramah Astora Jabat yang kontraversi. Penghujung ceramah tersebut beliau (Azizi) telah menanyakan soalan dan menyatakan tidak bersetuju dengan apa yang disebut oleh saudara Astora.

Saya membaca komen-komen netizen yang menyebutkan, penggiat filem di negara kita kena banyakkan terbitkan filem dan drama seperti ini. Cerita rakyat yang ada unsur islamik, kekeluargaan, dan realiti.

Bukannya drama kayangan Megah Holding. Asyik-asyik anak orang kaya, duduk luar negara. Kemudian kena kahwin paksa. "Kemon" la.

Boleh dapatkan buku : https://invol.co/cl5d6hb

#ayahanda #dbp #drama #novel #aziziabdullah #sasterawan #PermaiMenulis

Sunday, August 01, 2021

Cara selesaikan masalah

Hendak keluar dari masalah.
Jangan cipta atau buat masalah yang baru.
Ibarat gali lubang baru untuk tutup lubang lama.
Kadang-kadang masalah baru yang dicipta kesannya lebih besar.
Sama ada pada orang tersebut mahupun orang di sekeliling.

Jom beli buku : https://invol.co/cl5bwqe

#PermaiMenulis #masalah #selesai #bukan #buatmasalahbaru

Friday, July 30, 2021

Tour De Qur'an / Jaulah Al-Quran / Kembara Al-Quran



Buku Tour de Quran yang ditulis oleh al-Fadhil Ustaz Azli Abdullah Al-Hafiz perlu dimiliki oleh setiap orang.
Ya, Musim pandemik ini kita tidak dapat mengembara ke tempat-tempat menarik.
Kenapa tidak kita mengembara bersama al-Quran.
Pasti menyeronokkan dan itulah kembara yang tidak akan sesat.

Boleh beli buku ini dengan :
https://mahsyar.com/tourdequran/​

https://m.facebook.com/pg/UstazWolver...​

Jangan lepaskan peluang.

https://youtu.be/Yp9yDB0-QW0
https://youtu.be/Yp9yDB0-QW0
https://youtu.be/Yp9yDB0-QW0

#PermaiMenulis#TourDeQuran#JaulahAlQuran

Thursday, July 29, 2021

Usahawan muda hina gelandangan

Ingatkan style kita betul dah.
Mungkin ada yang pernah memberi pandangan.
Kita tak endahkan.
Kita rasa, ikut kitalah.
Sebab hidup kita, bukan hidup orang lain.

Lalu kita telah melakukan kesilapan tanpa sedar. Sehinggakan menjadi kebiasaan yang sukar untuk diubah.

Walhal dalam kehidupan.
Kita masih memerlukan mata lain.
Memerhatikan dan menilai.
Kita minta pandangan dan teguran.
Agar dapat memanusiakan kita.

Tular, usahawan instafamous memberi bantuan kepada gelandangan.
Sambil itu, bagi sekali ceramah motivasi.
Rupanya cara itu salah.
Siapa kata salah?
Kita. Kan.
Bagi dia betul.

#PermaiMenulis #mata #kita

Monday, July 26, 2021

Menjadi orang yang hebat

Semua orang berpeluang untuk menjadi hebat dan terbaik.
Lalu, di mana pun keberadaan kita.
Berusahalah untuk menjadi hebat dan terbaik.

Pemain bola sepak ternama sering menjadi rebutan kelab-kelab gergasi dengan tawaran bayaran yang sangat lumayan.
Namun, ada ketikanya apabila berpindah ke kelab yang baru, sesetengah pemain kariernya menjadi malap, tidak bersinar seperti ketika berada di kelab yang lama.
Adakah mereka tidak hebat ?

Jawabnya mungkin tiada keserasian. Maka pemain tersebut perlu berusaha mencari solusi menyelesaikan masalahnya supaya terus dapat bermain dengan baik.

Sama jugalah dengan situsi kita.

Wasalam.
#PermaiMenulis #hebat #serasi

Friday, July 23, 2021

Bila netizen mengalahkan watak utama

Ramai yang nak jadi tukang sorak.
Bukan ingin menjadi pemain handalan.
Tapi lagak mengalahkan pemain.
Jom kita semua.
Teruskan beramal.
Turun ke lapangan.
Ada pahalanya.



*Kosong rak kongsi rezeki. Dalam tempoh sebulan kira-kira seribu orang telah mendapat manfaat. Dengan anggaran kos sebanyak RM 30k.

#PermaiMenulis #Amal #konsirezeki #DapurZakat

Pengerusi Masjid Pintu Padang meninggal dunia

Kami mengucapkan takziah buat keluarga almarhum Mohd Zubir yang meninggal dunia tengahari tadi.
Beliau sebelum ini pernah bertugas di Lipis dan bergiat aktif dengan Masjid Sultan Mahmud dan Belia daerah Lipis. Ramai yang kenal beliau sebagai jurulatih takraw di sini.
Saya tertarik dengan cara Arwah yang selalu update aktiviti beliau kepada kami.
Pagi raya Aidil Fitri beliau sempat pm mengirimkan gambar suasana solat raya di Masjid Pintu Padang.
Tak lama selepas itu beliau tak sedarkan diri dan lama di hospital.

3.7.2021 saya ada berbual di telefon dengan arwah, dan itulah yang terakhir. Beliau menceritakan al-Fadhil Tuan Qadhi Zainudin Zakaria Abu Aisyah ada datang berziarah. Ceritanya lagi semasa beliau koma, Misi beritahu bila dengar azan menitis air mata dari kelopak mata. Walaupun ketika itu masih tidak sedarkan diri.

Kami doakan roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para salafussaleh. Amin.





#PermaiMenulis #takziah

Thursday, July 22, 2021

Kami mengucapkan takziah buat keluarga almarhum Mohd Zubir yang meninggal dunia tengahari tadi.
Beliau sebelum ini pernah bertugas di Lipis dan bergiat aktif dengan Masjid Sultan Mahmud  dan Belia daerah Lipis. Ramai yang kenal beliau sebagai jurulatih takraw di sini.
Saya tertarik dengan cara Arwah yang selalu update aktiviti beliau kepada kami.
Pagi raya Aidil Fitri beliau sempat pm mengirimkan gambar suasana solat raya di Masjid Pintu Padang.
Tak lama selepas itu beliau tak sedarkan diri dan lama di hospital.

3.7.2021 saya ada berbual di telefon dengan arwah, dan itulah yang terakhir. Beliau menceritakan al-Fadhil Tuan Qadhi  Zainudin Zakaria Abu Aisyah  ada datang berziarah. Ceritanya lagi semasa beliau koma, Misi beritahu bila dengar azan menitis air mata dari kelopak mata. Walaupun ketika itu masih tidak sedarkan diri.

Kami doakan roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para salafussaleh. Amin.





#PermaiMenulis #takziah

Monday, July 19, 2021

9 Zulhijjah hari wukuf di Arafah dan puasa sunat Arafah

 

9 Zulhijjah 1442 (19.7.2021) Umat Islam yang tidak menunaikan haji disunatkan untuk berpuasa sunat. Puasa sunat Arafah gelarnya.

Bagi orang awam bukan mudah untuk melaksanakan puasa sunat. Banyak ujian dan cabarannya. Musim ini,  kita masih terikat dengan SOP yang tidak menggalakkan untuk keluar rumah dan masih tidak boleh makan minum di kedai makan. Kiranya kurang sikit lah ujian apabila duduk bertapa di rumah.

Bagi Jemaah Haji, mereka akan berwukuf di Arafah.

Ketika berwukuf, amalan terbaik yang disarankan adalah memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT. Kerana  waktu tersebut  paling mustajab doa  untuk dimakbulkan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Sebaik-baik doa adalah doa di hari Arafah, dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku adalah,

 لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِير”.

(Tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagiNya, milikNya kekuasaan dan milikNya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu)."

(Hadis riwayat Al-Tirmizi)

 

Tentu kita biasa “mengirim doa” kepada mereka yang menunaikan haji. Kadang-kadang sampai ada buku khas yang bertuliskan  kiriman doa dari para kenalan dan sanak saudara. Waktu wukuf inilah masa yang terbaik untuk berdoa.

Bagaimana pula dengan kita yang tidak berwukuf di Arafah ?

Kita juga boleh mengambil peluang dan kelebihan hari wukuf di Arafah ini untuk memperbanyakkan berdoa di tempat masing-masing.

 

Kenangan berwukuf  pada hari  isnin 9/01/2006.

Kami disediakan Makanan di Arafah sebanyak 3 kali iaitu  sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam. Menunya nasi, lauk dan mesti ada buah. Selain itu, kami dibekalkan dengan stok  mee segera.

Selepas solat zohor, kami mendengar khutbah di khemah kami sahaja. Kemudiannya kami memperbanyakkan berdoa dan berzikir. Ada yang ‘stay’ dalam khemah, dan ada juga yang mencari ‘port’ luar yang selesa.

Selepas Maghrib nak bertolak ke Muzdalifah pulak.

                                                                        Kek


Buah mesti ada

      Stok makanan yang tak putus dan sedap




Mengambil kenangan di hadapan khemah sebelum menjelang Maghrib

 

#PermaiMenulis #wukuf #arafah #haji #puasa #sunat #doa #zikir

 

Sunday, July 18, 2021

8 Zulhijjah juga dikenali dengan hari Tarwiyah

8 Zulhijjah (18.7.2021) juga dikenali dengan hari Tarwiyah.

Tarwiyah berasal dari kata tarawwa [arab: تَرَوَّى] yang bermaksud membawa bekal air.
Zaman dahulu, setiap 8 Zulhijjah, jamaah haji akan membawa bekalan air zam-zam ke Arafah dan Mina. Air tersebut digunakan untuk bekalan minuman dan juga untuk unta mereka.
Ada juga pandangan, dinamakan hari tarwiyah, kerana Nabi Ibrahim AS pada malam 8 Zulhijjah, baginda bermimpi menyembelih anaknya. pagi harinya, baginda “yarwi” (berbicara) dengan dirinya, apakah ini mimpi kosong ataukah wahyu Allah? Sehingga hari itu dinamakan hari tarwiyah.
(Kedua-dua pandangan ini disebut oleh Ibn Qudamah di dalam al-Mughni).


Kenangan pada hari ahad 8/01/2006 jam 9.30 malam.
Kami bertolak ke Arafah dari Mekah dengan menaiki bas.
Jalan raya penuh sesak dengan ribuan buah bas, van dan lori.
Walaupun jarak antara Mekah ke Arafah hanyalah sekitar 25km. Tetapi perjalanan pada malam tersebut memakan masa 3 jam setengah.
Jam 1.00 pagi kami selamat tiba di Arafah. Selepas masuk khemah barulah kami makan malam dan kemudiannya berehat dan tidur.
Nota : Esok 9 Zulhijjah, jom puasa sunat hari Arafah.
Sabda Rasulullah SAW :
صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ
“Puasa hari Arafah, aku berharap kepada Allah supaya Dia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan juga setahun sesudahnya.”
(Sunan al-Tirmizi, no. 680, hadis hasan)
Niat puasa sunat hari Arafah
نَوَيْتُ صَوْمَ عَرَفَةَ سُنَّةً لِّلِه تَعَالَى
“Saya berniat puasa sunat ‘Arafah kerana Allah Taala.”

Saturday, July 17, 2021

Dapur Zakat

Kongsi Rezeki
Menerima Dapur Zakat daripada Majlis Ugama Islam Pahang Cawangan Lipis. Barang makanan Pasaraya Darul Makmur (PDM) yang sediakan.





#jaip #muip #jakim #lipis #masjid #kongsirezeki #dapurzakat

Friday, July 16, 2021

Cuti sekolah dan assigment

Hari ini bukan sahaja pelajar sekolah, tetapi para guru kebanyakannya lain macam gembiranya. Mana taknya esok bermulanya cuti penggal selama seminggu. Walaupun diikutkan memang dah duduk di rumah masing-masing,
Ialah… pelajar belajar dan guru mengajar dari rumah masing-masing. Tapi cuti ialah suatu nikmat. Walaupun fasa ini hakikatnya kita masih tidak bebas kemana-mana.
Lain halnya dengan siswa-siswi, waktu ini masih bergelut dengan assignment dan tesis yang bertimbun.
Terkenang masa saya dahulu, Untuk Madah Kertas Projek Ketika tahun akhir Diploma Tahfiz, saya membuat tajuk kajian Saham Wakaf di Negeri Pahang. Tiada komputer riba (laptop) mahupun komputer peribadi (pc). Hanya ke hulu hilir membawa disket. Gunalah komputer-komputer yang disediakan di bilik komputer Maahad.
Berbekalkan disket bawa ke Darul Quran Kuala Kubu, print dan cetak di Tanjung Malim. Nak jadi cerita, mesin pencetak di kedai yang kami buat itu rosak pula. Makanya pada tarikh akhir penghantaran, terpaksalah tokey kedai tersebut datang ke Kuala Kubu bersama dengan kertas-kertas yang diikat dengan tali. Alhamdulillah untuk kertas projek saya dapat 4.0.


Zaman almarhum ayah saya Ketika membuat tesis sarjana (MA) tahun 90an. Mula-mula bawa mesin taip (typewriter) ke Universiti. Kemudiannya beli mesin taip elektronik. Akhirnya kongsi 5-6 orang beli sebuah komputer. Bila balik ke rumah, komputer yang konsi milikan beberapa orang itu tentunya tinggal di asrama. Bawalah balik disket, sambung menaip di bilik computer sekolah.

Begitulah secebis kenangan, zaman belum kenal apa itu Copy and Paste (cnp), kena taip satu-satu, tak mesra lagi dengan internet. Laptop tak mampu nak miliki, computer pun kongsi. Pergi mencari buku-buku di perpustakaan sebagai rujukan sebab tak kenal lagi Prof Google.
Maka buat para siswa, tak perlu stress sampai dapat sakit. Paling penting sistem pengurusan diri kena teratur di samping kawalan emosi.
Sekian.
#PermaiMenulis #cuti #assigment

Thursday, July 15, 2021



Pemandangan di kampung. Ada pangkin, ayam dan buah kampung.
Pagi ini meronda ke Kerambit-Mela.

#PermaiMenulis  #mela #outdoor

Wednesday, July 14, 2021

Super Mario Bros



14 Julai pada tahun 1983 Nintendo melancarkan permainan video Mario Bros.
Permainan video Super Mario antara yang terbaik dan popular pernah dihasilkan oleh Nintendo.
Ingat-ingat lupa seminggu sekali pada waktu petang jam 5.30pm pada tahun 90an ada juga siri kartun Super Mario di Tv.
Tahun 80-90an tak ramai yang mampu memiliki " tv console game". Ada juga kedai-kedai yang membuat sewaan untuk bermain video games di kedai mereka. Kalau kat Temerloh rasanya di Micro Genius (lupa dah).
Super Mario juga boleh dimainkan di Game Boy. Terkini Nintendo mengeluarkan semula game Super Mario di Game & Watch. Produk Game & Watch kiranya legend. Boleh beli di Shopee.

Musim belajar secara PDPR dan para pelajar banyak yang stress, sekali sekala cikgu bolehlah ajak pelajar "battle" main video Games. Tapi dengan terkawal dan jangan over pula. Main pula bukannya Mobile Legend, Pubg atau yang sezaman dengannya. Tapi games retro Super Mario, barulah nostalgia.

Ada juga guru yang pandai memasukkan unsur games dalam sesi pdpr mereka. Tak perlu join mana-mana kursus yang berbayar, cari je kat You Tube adalah tutorialnya.

Dalam permainan ada pelajaran. Bermain sambil belajar adalah berbeza dengan main-main sambil belajar. Kan.

#PermaiMenulis #Games #SuperMario #Retro #Nintendo #Pdpr

Tuesday, July 13, 2021

Hadiah Mamasab



Sesuai untuk buat hadiah. Terima kasih kepada pemberi yang berhati mulia. Jangan pelik Kalau orang perempuan nak promosi hadiah ni, biasanya depa akan pakai kat kepala. Smart je nampak. Buat pergi jalan bandar pun boleh.
Boleh dapatkan dengan Asilah MamasabBakery Nadhirah Roslan Husna Burhanudin Aqilah Mokhtar Ain Nasuha MamasabBakery

Sebaiknya kita bagi hadiah barang yang boleh digunakan. Daripada hanya perhiasan semata-mata. Kalau sayalah tak tahu nak letak mana kalau dapat hadiah seperti frame.

#PermaiMenulis #hadiah #mamasab

Gatal Tangan



Kegatalan.
Puncanya sebab minyak atar kasturi kijang yang dah bertahun-tahun tersimpan dalam botol di rumah.
Ingatkan simpan lama bau semakin power tapi lain jadinya.
Jadi berhati-hati lah kalau nak guna produk yang dah lama.
Apatah lagi kalau makanan. Jangan cuba-cuba nak beranikan diri makan makanan yang dah "expired".

Sekian.
#PermaiMenulis #minyakatar #wangian #gatal

Monday, July 12, 2021

Itali menang Euro 2020

Seronok dan puas bila pasukan pilihan kita menang.
Geram dan kecewa jika pasukan pilihan kita kalah.
Walaupun kita hanyalah orang luar sahaja.
Bukannya kita mendapat imbuhan daripada kemenangan mereka. Ataupun dikenakan tindakan tatatertib dek kekalahan mereka.
Dah tu kenapa beria sangat sampai sanggup berjaga malam.
Orang ajak join program ilmu, kuliah, tadarus, usrah bluetick je.
Itulah kita selaku manusia. Sama sahaja baik kamu mahupun saya.
Ada keinginan, keseronokan dan kepuasan diri yang dicari.

Namun, dalam kita mencari kepuasan dan keseronokan sementara. Kena beringat-ingat juga.

وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِلَّا لَعِبٌ وَلَهْوٌ ۖ وَلَلدَّارُ ٱلْءَاخِرَةُ خَيْرٌ لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَ ۗ أَفَلَا تَعْقِلُونَ
(Al-An'am : 32)

Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?

Tahniah buat Itali dan penyokongnya selaku juara Euro 2020.
Bertabahlah buat siswa yang terpaksa struggle di fasa exam.

#PermaiMenulis #ingatanbuatdiri #seronok #sedih

Sunday, July 11, 2021

Pendakwah yang berjaya

Bagaimana ingin menjadi pendakwah yang berjaya ?
Adakah mereka yang ramai folowers, bergelar penceramah selebriti, hari-hari padat dengan program ceramah
dikira berjaya.
Pendakwah adalah mereka yang memberi pendidikan kepada manusia. Mereka juga digelar murabbi (pendidik)
yang membentuk dan membangunkan manusia.
Syeikh Mustafa Masyhur menyatakan di dalam bukunya : Jalan Dakwah antara Keaslian dan penyelewengan.
Di antara bentuk penyelewengan yang dilakukan oleh para pendakwah ialah "Tidak memberi keutamaan kepada
kepada aspek pendidikan (tarbiyah).
Tarbiyah tidak boleh dibataskan hanya kepada peringkat bawahan sahaja, dan meninggalkan peringkat menengah
atau peringkat yang lebih tinggi.
Ada juga para murabbi yang hanya menumpukan kepada peringkat tinggi. Maka mundur dan gagallah peringkat
rendah.
Selain itu, ada yang berlebihan memberi keutamaan untuk berceramah umum ke merata-rata tempat kerana banyaknya
jemputan hingga melemahkan tugas mereka dalam tarbiyah.

Jom bekerja membina manusia. Menjadikan manusia taat dan patuh serta mendapat redha Allah SWT.

#PermaiMenulis #dakwah #Asli

Saturday, July 10, 2021

Kalimah Allah Muhammad



Lihat sahaja kalimah ini sudah memberi energi. Apatah lagi mengucapkanNya.
Bila lemah ucaplah dua kalimah ini.

Kalimah Allah dan Muhammad di menara Masjid Kampung Kuala Medang, Lipis.

#Allah #Muhammad #PermaiMenulis #masjid #lipis #pahang

Thursday, July 08, 2021

Takziah Ustaz Khusaini



Menziarahi Ustaz Khusaini di Sungai Koyan. Kami ucapkan takziah atas kembalinya ke rahmatullah ayahanda beliau. Semoga dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.

Kami sama-sama alumni Sman tapi berlainan sekolah. Kemudian di Maahad Tahfiz Masjid Negeri Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan (sekarang Maahad Tahfiz Negeri Pahang) Seterusnya ke Shoubra Dpm Maqaz Shoubra.

Ustaz Zainuddin atas saya, Ustaz Khusaini bawah saya. Teringat pula ke kartun Datuk Lat, karikatur dan dialog DS Samy Vello yang "melucukan".

#PermaiMenulis #takziah #alumni

Sunday, July 04, 2021

Scammer nak cari duit haram

Semalam saya dihubungi oleh seseorang dengan menggunakan whatsapp call.
Katanya dari Bigpay, nak buat urusan untuk hantar kad yang baru.
Lepas tu nak minta alamat kita.
Jawab saya, alamat sama sahaja macam yang haritu..huhu.
Tak berubah pun, masih alamat yang sama. Saya nak cakap lagi, dia dah letak.
Kemon la, kompeni besar tak kan call pakai whatsapp call.
Musim-musim ramai yang susah dan terjejas, janganlah buat kerja macam ini.
Kalau dapat banyak duit pun tiada keberkatan.
Bila tak berkat, hidup tak tenang.
Kat dunia tak tenang apatah lagi bila dah mati nanti.
Jom maghrib.
#PermaiMenulis #Bigpay #scammer


Saturday, June 26, 2021

Telegram boleh berbual macam Google Meeting dan Zoom

 

https://youtu.be/FC0CWYCU4oc

Features baru dari Telegram.
Boleh berbual macam dalam Zoom, Google meeting, Webex.
Nak share screen dan record pun boleh.
Jom berhijrah. huhu.

Wednesday, June 23, 2021

Buku pertama Dewan Bahasa Pustaka

22.06.2021 genap 65 tahun usia Dewan Bahasa dan Pustaka.


 
Saya tampilkan gambar ketika membaca buku Anak Raja dengan Anak Papa. Buku karya Mark Twain diterjemahkan oleh Pendeta Za'ba yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Za'ba selesai menterjemahkan buku ini pada tahun 1937. Selepas 20 tahun kemudian, barulah terjemahan ini diterbitkan.

Menariknya, buku Anak Raja dengan Anak Papa adalah "BUKU PERTAMA" yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1958.

Selamat Hari Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia DBPNiaga

#PermaiMenulis #dewanBahasaPustaka #DBP #bahasa #buku