Thursday, July 19, 2018

Yahoo Messenger dalam kenangan


17 Julai 2018 merupakan tarikh yang diumumkan oleh Yahoo untuk menutup aplikasi Yahoo Messenger.
Saya dikejutkan dengan kiriman emel dari Yahoo yang memaklumkan penamatan operasi YM.
Kiriman emel dari Yahoo yang menyampaikan berita sedih.

Saya antara bekas pengguna Yahoo Messenger yang biasanya hanya disebut YM.  Saya percaya mereka yang menjadi pengguna internet era akhir tahun 90an sehinggalah pertengahan tahun 2000 sangat biasa dan akrab dengan YM.

Zaman itu, bukan semua orang mempunyai kemudahan dan peluang untuk akses internet. Itu pun dengan menggunakan komputer peribadi (PC) sama ada kepunyaan sendiri atau melayari internet di Cyber Café.

Ketika saya berada di Mesir, saya mula mempunyai komputer sendiri.
Namun, komputer saya tidak mempunyai line internet. Faktor persekitaran dan waktu itu agak sukar untuk memasang internet di rumah.
Untuk melayari internet saya perlu berjalan kaki ke Cyber Café (CC). Ketika itu CC merupakan tempat popular yang wajib dikunjungi oleh pelajar Malaysia di sana. Bohonglah jika ada pelajar Malaysia yang langsung tidak pernah pergi CC, walaupun mungkin semasa di Malaysia berasa janggal untuk masuk ke dalam CC. Termasuklah saya.

Ketika baru sampai di Mesir, saya dibawa senior ke CC dan  diajar  untuk membuat emel, membuat akaun YM dan cara call ke Malaysia dengan menggunakan  E-Vioz.
Maka itulah aktiviti popular pelajar Malaysia jika berkunjung ke CC. Semak dan hantar emel, chat YM dan call ke Malaysia. Selain membaca paper online, berblog (baca blog orang atau post tulisan dalam blog sendiri) dan layan Friendster.

Ketika mula berkecimpung dengan chat, saya tak tahu pun yang kena log out. Main pangkah begitu sahaja. Ada kawan yang bertanya, nampak selalu icon 😀 saya kuning bercahaya, maksudnya selalu online. Rupanya sebab saya tak log out.

Selain kita chat dengan sahabat handai, kita juga boleh menambah kenalan dengan chat di room. Saya rasa antara room yang pernah saya join seperti kampung.
Istilah dan ejaan ringkas (short font) yang popular bila baru nak mula berkenalan ASL ?, bukan singkatan dari asal, tetapi bermaksud age, sex, location.

Icon beremoji yang popular dalam Whatsapp (WA) sekarang,  telah pun lebih awal dimulakan dalam YM. Selain ‘Buzz’ yang digunakan untuk mengejutkan orang. Bila kita chat dengan seseorang, kemudian orang tu senyap lama, kita ‘buzz’ dia. Haha.


Selain itu, sama seperti WA (baca wasap), YM juga boleh membuat group rahsia (privasi). Saya mula didedahkan dan terlibat  mesyuarat online dengan menggunakan group YM.  
YM juga boleh call sesama pengguna YM. Cuma saya jarang menggunakannya.
Saya mula perlahan bersama YM apabila tiada kawan-kawan yang menggunakannya. “Buzz” pun tiada respon. Huhu.
Ini kerana perkembangan smart phone yang membolehkan kita sentiasa bersama dengan line internet. Di samping pakej yang menarik disediakan oleh facebook dan whatsapp menyebabkan media sosial yang lain seperti YM, Mirc, Friendster akhirnya malap dan berkesudahan ditutup servisnya. Sedih rasanya. Huhu.
Apa pun kenangan berchat YM memang mengujakan. Selamat tinggal Yahoo Messenger.

Dalam kenangan, Paparan chat YM saya yang terakhir. 
Sekarang sudah tiada dan memang kita tak boleh nak on semula.



#PermaiMenulis
#ym
#yahoomessenger
#goodbye
#seputarmemorisilam






Monday, July 16, 2018

Menjadi Hebat dengan You Tube


Ada orang sanggup berhabis duit mengikuti pelbagai kursus  latihan untuk menjadikannya hebat. Seperti kursus latihan perniagaan, memasak, design, pidato, kepimpinan dan pelbagai lagi.
Kursus-kursus latihan tersebut biasanya dikendalikan oleh mereka yang pada sisi kita dianggap berjaya dan hebat. Jika penganjur terkenal di media merupakan suatu bonus.

Namun di zaman serba canggih ini, ada juga mekanisma yang dianggap penting dan mampu melatih seseorang menjadi hebat.
Apa dia ?
Itulah You Tube. Dalam You Tube menyajikan pelbagai tunjuk ajar (tutorial). Nak tak nak je..
Tentunya kos latihan lebih murah.
Sebut sahaja, nak tahu pasal apa ?
memasak lemang, menjahit pakaian, nak buat video, design, nak menguruskan organisasi,  pendek kata 1001 macam ada dalam You Tube.

Saya datangkan contoh mereka yang ‘pro’ dalam bidang mereka tanpa mengikuti latihan ‘official’ di mana-mana kelas dan konsultan.

Sofyank96

1.   Mohamad Sofian yang lebih dikenali dengan Sofyank96. Sangat hebat dalam  membuat video. Bukan video biasa-biasa tetapi video yang sangat kreatif. Katanya, beliau hanya belajar melalui You Tube sahaja.
Kalian boleh Search nama sofyank96 untuk melihat hasil videonya. Sekarang, terdapat pelbagai syarikat ternama yang menggunakan khidmat beliau untuk membuat video seperti Mc Donald dan Radio Era.

Alan Walker

2.   Alan Walker, merupakan produser muzik yang juga belajar sendiri membuat muzik dengan You Tube. Kini muziknya di You Tube telah disaksikan oleh ratusan juta orang. Karya muziknya seperti Faded sering digunakan, termasuk di negara kita sebagai muzik latar untuk video, montaj, slide show.
Tak percaya, cuba kalian search ‘Faded’.

Rahsianya adalah kesungguhan. Dengan kesungguhan, kita semua mampu jadi hebat. 


#PermaiMenulis #ToturialYouTube #hebat #kesungguhan #teknologi #hujungjari 



Friday, July 13, 2018

Tangan Nakal di Masjid

Khutbah jumaat hari ini bertajuk Adab masjid. Perangai dan ragam orang macam-macam. Kadangkala orang yang lebih berumur lagi susah untuk diajar berbanding budak-budak.
Contohnya di masjid kami ada “aircond”. Suis ‘aircond pula diluar yang sesiapa pun bebas untuk membuka dan menutupnya. Ketika peringkat awal perbincangan dengan JKR, kami minta supaya suis letak di dalam yang hanya pegawai dan orang tertentu sahaja yang boleh membukanya.
Tetapi alasan pihak kontraktor rumit untuk letak di dalam.

Isunya ramai tangan-tangan nakal yang “adjust” suis ‘aircond’.
Contohnya hari jumaat atau semasa solat terawih, pihak masjid akan membuka “aircond” awal untuk menyejukkan keseluruhan ruang solat yang luas. Yang datang awal dia berasa sejuk, lalu dia pun tutup beberapa suis aircond tersebut. Akhirnya bila orang ramai datang, tak berasa sejuk. Mereka pun bising sebab tak sejuk.
Ada pula yang bila dia rasa panas, terus dia buka kipas. Ibarat naik kereta pasang aircond tapi buka tingkap, cerdik ke ?

Itu belum isu buka pintu tapi tak reti nak tutup.  Nak ‘Sound’ karang dah tua..

Hari jumaat, kami buka pintu dengan memasang sejenis alat yang akan memastikan udara aircond tidak keluar. Biasa kan kita pergi pasar raya, pintu pasar raya mana tutup macam pintu bank, tetapi aircond tetap terpasang.
Masalah yang timbul, ada pula tangan-tangan yang pergi off alat tersebut, tetapi pintu dibiarkan terlopong luas. Masyarakat sungguh.

Antara langkah-langkah yang telah dan sentiasa diambil ialah, kami memberi makluman dan taklimat secara umum kepada para jemaah, tetapi jika gejala ini berterusan, rasanya kena buat langkah nakal juga, kita tangkap gambar pelaku secara sembunyi, kemudian kita tularkan dan mention ‘tangan nakal’. Macam mana, nakal tak kaedah tersebut.


#PermaiMenulis #CatatanImamKecil


Thursday, July 12, 2018

Perpustakaan i

Satu
Saya ingin mengajak kalian semua kepada suatu amalan iaitu  “Jom beli buku”.

Seorang cendiakawan Islam zaman dulu yang terkenal dengan nama al-Jahizh telah berkata, “Sesiapa yang ketika membeli buku tidak berasa lebih nikmat daripada saat membelanjakan hartanya bagi membeli keperluan lain, sesungguhnya dia belum mencintai ilmu. Perbelanjaannya tidak bermanfaat sehingga dia lebih mengutamakan membeli buku, sepertimana si Arab Badwi yang lebih mengutamakan susu untuk kudanya berbanding keluarganya.”

Justeru, saya ingin mengajak kalian semua membeli buku kecil yang kami tulis. Ada 4 naskah iaitu Jejak Kaki Kami, Permai Menulis, Siri majalah Super edisi ke sembilan dan Modul pengajian al-Quran.

 Bersama buku Jejak Kaki Kami dan Permai Menulis

Sekarang sudah SUPER yang ke 9. 

Peserta Kem Intensif Al-Quran bergambar kenangan bersama buku 
Modul Pengajian al-Quran.


Dua
Setelah kita mempunyai koleksi buku. Tentunya kita perlu menyimpan buku-buku tersebut dengan baik. Saya ingin syor dan mengajak kalian untuk mempunyai perpustakaan peribadi.

Saya kongsikan kisah Saiyid Abul A’la Maududi yang merupakan pemimpin gerakan Islam Pakistan. Pada tahun 1941 beliau mengasaskan Jamaat al Islami di Pakistan. Maududi telah menulis lebih 120 buah buku dan risalah. Karyanya seperti Tafhim al-Quran (Ke arah memahami  al-Quran), mengambil masa 30 tahun untuk disiapkan. Tafhim al-Quran telah diterjemah ke banyak bahasa seperti bahasa Arab, Inggeris,Turki, Farsi, Perancis, Jerman dan pelbagai bahasa lain lagi.
Maududi menyatakan bahawa beliau mengetahui di mana letak buku-bukunya dalam perpustakaannya yang besar.
Almarhum Maulana Abul A'la Maududi di meja kerjanya . 
Kelihatan buku-buku bersusun di atas meja dan rak. 
Beliau meninggal dunia pada tahun 1979.


Saya pernah berkunjung ke rumah Al-Fadhil Dr. Zulkifli bin Mohd al-Bakri (ketika itu belum Mufti Wilayah Persekutuan). Kami dibawa ke bilik kerjanya di rumah yang dihiasi (baca dipenuhi)  dengan almari buku. Al-Fadhil Dr menunjukkan koleksi buku yang ditulisnya. Kami  juga dihadiahkan dengan pelbagai buku untuk dibawa pulang.


Ketika kami di rumah Dr Zul, beliau keluar sebentar kerana ada urusan. 
 Katanya sebelum keluar "banyak buku tu, bacalah".

Bergambar kenangan bersama Imam Faizal (Masjid Daerah Lipis), Syeikh Muhazam (Timbalan Qadhi Rompin), Dr Zulkifli dan saya.


Insya-Allah saya akan lanjutkan tulisan ini (perpustakaan i) dengan tulisan seterusnya (perpustakaan ii) di ruangan yang lain pula. Nantikan.




#PermaiMenulis #buku #perpustakaan #hobi #ilmu #CatatanImamKecil