Wednesday, August 15, 2018

Kuliah dan Panggilan Telefon

Suatu panggilan telefon.

Tengah hari semalam, saya terima panggilan.
Pemanggil menjemput saya menyampaikan kuliah maghrib di Surau tamannya.
Maghrib semalam langsungnya.
Saya terima jemputan itu.

Tengah hari ini, saya terima lagi dua panggilan telefon.
Satunya, ingin menjemput menyampaikan kuliah dhuha di Sekolah Menengah Seri Lipis pagi jumaat lusa.
Duanya, panggilan dari Institut Pertanian. Juga menjemput kuliah maghrib hari esok.
Dua-dua saya terima.
Nak pula ke Institut Pertanian. Sebab YB Menteri kata perlu diwujudkan sebuah Universiti Pertanian. Universiti Pertanian pernah ada, tetapi entah apa sebab diganti dengan nama Putra. Tinggallah Institut Pertanian yang kekal namanya. Maka saya berasa ingin menjejakkan kaki ke sebuah agensi yang ada kaitan dengan pertanian. “huhu”

Pagi esok, Insya-Allah kuliah Dhuha saya berjalan seperti biasa di surau Taman Permai.
Bila mana kita hendak menyampaikan kuliah, sangat penting membuat persiapan. Nak pula ilmu tak setara mana seperti saya.
Lihat mereka yang hebat semasa menyampaikan kuliah. Pernah kita tanya bagaimana kegigihan semasa membuat persiapan sebelum menyampaikan kuliah.
Kadangkala meletih dan memeritkan.
Nak mudah, tak perlu pergi kuliah ke mana-mana, rehat sahaja di rumah. Tetapi itukah jalan yang kita pilih ?



#PermaiMenulis #kuliah #dakwah #CatatanImamKecil #prepare


Tuesday, August 14, 2018

Tak Rugi Beli Projektor

Ketika menerima tunggakan gaji setelah tiga bulan bekerja dengan tiada pendapatan ketika tahun pertama berkhidmat dengan JAIP, saya gunakannya untuk membeli projektor.

Cuma ketika berprogram di luar, selain projektor tersebut. Kita juga perlu mempunyai beberapa kelengkapan lain untuk memastikan projektor tersebut dapat berfungsi dengan baik.
Jika berprogram di dewan, bilik seminar hotel, masjid dan surau yang moden tiada masalah sangat. Kerana tempat-tempat tersebut biasanya telah dilengkapkan dengan kemudahan projektor, termasuk dengan layarnya. Kita hanya perlu bawa laptop atau pen drive sahaja.

Tetapi jika di tempat yang tiada kemudahan tersebut, maka kita terpaksa membawa sendiri semua kelengkapan tersebut.
Antara aksesori yang diperlukan :
Soket dan wayar penyambung yang panjang.
Skrin layar yang mudah alih.
Wayar penyambung dari laptop ke projektor. Boleh juga menggunakan Miracast, tidak perlu wayar hanya menggunakan wifi  antara laptop dan projektor.



Insya-Allah tak rugi kita memiliki projektor sendiri. Terutama buat para Ustaz dan ustazah yang biasa memberi kuliah di masjid dan surau.



#PermaiMenulis #projektor #laptop #media #CatatanImamKecil

Friday, August 03, 2018

Masuk IPTA lambang kejayaan ?

Keputusan UPU bagi pemohon STPM, STAM, diploma, matrikulasi dan setaraf telah pun keluar. Ada yang mendapat tempat di Ipta yang dipohon, dan ada yang dapat di tempat yang bukan pilihan kegemarannya. Namun bernasib baik kerana masih dapat berbanding yang langsung tidak dapat.
Bagi yang dapat panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT yang telah mengurniakan sebuah kejayaan. Kejayaan memasuki ipta. Untuk yang tidak bernasib baik, jangan lepaskan peluang membuat rayuan. Kadangkala salah teknikal semasa mengisi borang juga antara punca seseorang tidak dapat.

Mungkin ada juga mereka yang mendapat keputusan yang cemerlang, tetapi tidak berminat ke IPTA. IPTS menjadi pilihan mereka. Jangan kita membuat sangkaan yang IPTS adalah lubuk bagi mereka yang tidak mendapat keputusan cemerlang dan tiada rezeki di IPTA.

IPTS juga banyak menyediakan ruang-ruang untuk menyambung pengajian. Cuma yurannya lebih mahal berbanding di IPTA.

Bukankah ada di kalangan kita yang lebih memilih untuk mendapat rawatan di hospital swasta berbanding hospital kerajaan ?

Memasuki Ipta bukanlah simbol kejayaan hakiki dan lambang kegagalan bagi mereka yang tidak berpeluang menjejakkan kaki ke menara gading.  Masih banyak ruang dan peluang yang boleh diceburi. Buka minda dan jangan jumudkan. Kerana ada yang merasakan masa depannya menjadi gelap “dek” kerana tidak berjaya memasuki universiti.

Tentu kita semua kenal Bill Gates, pengasas Microsoft yang popular dengan perisian Windows. Tahukah yang Bill Gates tidak menghabiskan pengajiannya di Universiti Havard.


Michael Dell yang mengasaskan syarikat pengeluaran komputer jenama Dell juga tidak menghabiskan pengajiannya di Universiti of Texas kerana ingin sepenuh masa menceburkan diri dalam bidang perniagaan ketika berusia 19 tahun.


Begitu juga dengan pengasas Facebook, Mark Zuckerberg yang tidak menghabiskan studinya di Universiti Havard kerana memberi tumpuan untuk membangunkan Facebook.


Profesor Dr Hamka yang menerima ijazah doktor kehormat dari Universiti Al-Azhar  juga tidak pernah memasuki mana-mana universiti ketika mudanya. Beliau tidak menghabiskan pengajian di peringkat menengahnya di Muhammadiyah.


Saya ada membaca buku berjudul Anak malaya di Republik Turki yang ditulis oleh Thaqib Shaker. Penulis menceritakan selepas tamat diploma di Kolej Islam Antarabangsa, beliau tidak berjaya mendapat tempat di Ipta.
Kemudian secara tidak dirancang beliau memohon untuk  mendaftar masuk  ke Universiti di Turki dan permohonannya berjaya. Peringkat permulaan beliau hanya bertahan selama sebulan sahaja di Turki sebelum pulang semula ke Malaysia kerana motivasi, mental dan fizikalnya kecundang.
Di Malaysia beliau memasuki MSU di Shah Alam dan hanya bertahan selama seminggu. Kemudian beliau mencuba nasib di OUM, sama juga natijahnya. Hanya bertahan seminggu sahaja. Akhirnya beliau ke UNISEL dan bertahan selama setahun. Tanpa alasan yang kukuh beliau berhenti dari UNISEL walaupun mendapat pointer yang memuaskan.
Akhirnya beliau bertekad untuk menyambung semula pengajian di Turki, dan pergi semula ke Ankara Tomer, pusat menuntut bahasa Turki di bawah kelolaan Universiti Ankara. Kemudian beliau ditawarkan ke Universiti Gediz di Izmir. Rupanya tabiat suka bertukar tempat belajar bukan berlaku di Malaysia sahaja, termasuk di Turki, setelah setahun di Universiti Gediz beliau berpindah masuk ke Universiti Yasar di Bolge.

Membaca kisahnya, saya agak teruja dan andaikan mudahnya nak masuk dan bertukar-tukar universiti di Turki.
Ada yang berminat nak belajar di sana ?

Apa yang saya maksudkan ialah ruang dan peluang yang boleh diceburi  sebenarnya sangat luas. Kita sahaja yang kurang terdedah. Banyakkan mencari info dan membina akses dengan orang lain yang lebih berpengalaman.

Bagi mereka yang akan melanjutkan pengajian  di IPTA, Jangan persiakan peluang tersebut.





#PermaiMenulis #IPTA #IPTS #belajar #anakmalayadirepublikturki #dell #billgates #facebook

Thursday, August 02, 2018

Apa ada dengan kasut ?


Cerita dongeng Cinderella yang terselit ‘watak kasut’. Kasut  memainkan peranan penting dalam pencarian sang putera raja memilih puteri idamannya.


Saya juga pernah membaca ketika kanak-kanak, kisah tukang kasut dengan orang kenit. Orang kenit yang menolong tukang kasut membuat kasut pada waktu malam.
Pekerjaan tukang kasut tidaklah berapa popular di negara kita. Imej tukang kasut yang hanya duduk di kaki lima sahaja, bukanlah menjadi impian atau cita-cita para remaja sekarang.

Namun, siapa sangka Jimmy Choo (Datuk)  seorang rakyat Malaysia yang berjaya menempa nama dan menjadi kaya dengan kerjaya sebagai tukang kasut di United Kingdom. 

Seorang imam di Jertih, Terengganu berkongsi pengalaman bergelar tukang kasut. Lihat -  https://youtu.be/uVxGvwvwpRk

Kenapa saya cerita pasal kasut. Penting sangat ke sampai YB Menteri Pendidikan mengambil berat tentang kasut. Kecoh apabila YB Menteri ingin menukar warna kasut dari putih kepada hitam.

Buat masa sekarang, memang telah ada sekolah yang menggunakan kasut hitam sebagai pakaian rasmi sekolah seperti di Sekolah Menengah Agama Kerajaan Negeri Pahang.

Bagi saya, isu penukaran kasut sekolah bukanlah isu mustahak yang memerlukan YB Menteri memberi respon dengan segera sebelum janji 100 hari menjelang.

Sepatutnya isu seperti sistem pendidikan, silibus pelajaran, kemorosotan akademik dan akhlak, bantuan pendidikan untuk pelajaran seperti biasiswa.

Jika ingin menyentuh sangat “uniform” pelajar, saya cadangkan YB Menteri sepatutnya menguatkuasakan peraturan pelajar yang beragama Islam diwajibkan menutup aurat kerana sesuai dengan perintah Allah SWT. Sekarang semakin ramai pelajar perempuan yang “free hair” di sekolah terutama di bandar besar.
Begitu juga dengan peraturan pakaian sukan di sekolah. Ini lebih besar nilainya dari warna kasut sekolah.

Akhirnya, saya terkenang semasa zaman belajar dahulu. Kami pernah menonton sebuah filem Iran yang menang anugerah di peringkat antarabangsa. Jalan ceritanya jauh lebih ‘hidup’ dan membina jiwa berbanding kebanyakan cerita drama di negara kita. Saya rasa menteri pun patut tengok filem ini.
Kisah seorang budak lelaki yang berkongsi kasut sekolah dengan adiknya. Abang bersekolah sesi pagi dan adik pada sesi petang.
Ketika diadakan pertandingan ‘merentas desa’, abang berharap untuk mendapat tempat yang ketiga, tetapi akhirnya si abang mendapat tempat yang pertama. 
Dia naik menerima hadiah tempat pertama dalam keadaan bersedih. Kerana dia inginkan tempat ketiga. Kenapa tempat ketiga ?
Kerana hadiah yang ditawarkan untuk tempat ketiga adalah sepasang kasut.


Blog : http://syababgr.blogspot.com

FB : https://www.facebook.com/alfaqirazraie/

#PermaiMenulis #kasut