Timulak Kapal Perang
Sebuah novel remaja yang ditulis oleh Azmah
Nordin. Mendapat tempat ketiga peraduan Anugerah Novel Sejarah Kebangsaan 1988.
Uniknya tiada pemenang untuk tempat pertama dan kedua.
Novel ini mula diterbitkan pada tahun 1989
oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Kemudiannya dicetak beberapa kali. Pernah
digunakan sebagai buku komsas tingkatan dua.
Saya mempunyai novel keluaran 1989 yang
dibeli di kedai buku BACA Temerloh.
Cetakan tahun 1989
Cetakan tahun 2008
Sinopsisnya saya petik dari blog : http://duniapuisiku.blogspot.my
Andayu, Unong, Suri dan Sirah adalah anak-anak
gadis di daerah Inanam yang berani dan bersemangat waja dalam menentang
penjajah Inggeris. Mereka berjuang bersama-sama dengan pejuang yang lain di
bawah pimpinan Penghulu Inanam, iaitu Paduka Mat Salleh. Penduduk Inanam tidak
senang dengan tindak-tanduk penjajah Inggeris yang memaksa mereka membayar
cukai. Dalam pertempuran dengan pihak Inggeris di Pulau Gaya, pengikut Paduka
Mat Salleh berjaya menewaskan pihak Inggeris. Pihak Inggeris kemudiannya
bertindak balas dengan membakar harta benda orang kampung. Selepas itu, pihak
Inggeris menyerang kubu kuat Paduka Mat Salleh di lereng Gunung Kinabalu.
Dalam pertempuran tersebut, banyak askar upahan
Inggeris yang mati. Namun, Paduka Mat Salleh mengarahkan para pengikutnya
supaya berundur ke tempat yang lebih selamat. Dia ingin menyusun strategi
pertempuran bagi menghadapi kemungkinan serangan daripada pihak Inggeris kelak.
TEMA
Tema bagi novel ini ialah perjuangan seorang
gadis remaja dan rakan-rakannya dengan memberi kerjasama kepada Paduka Mat
Salleh dalam perjuangan membebaskan bangsa dan tanah air daripada penjajah
Inggeris.
Dalam novel ini, watak utama Andayu dan beberapa
orang rakannya telah berjuang membebaskan bangsa dan tanahairnya daripada
cengkaman penjajah Inggeris semasa campur tangan Inggeris di negeri Sabah.
Penjajah Inggeris yang bernaung di bawah Syarikat British Borneo Utara. Andayu
menerima tentangan hebat daripada bapanya yang tidak menyokong perjuangannya
itu. Walaubagaimanapun, Andayu dan rakan-rakannya telah berjaya menentang
penjajah Inggeris hasil daripada semangat keberanian, kegigihan dan semangat
patriotik yang padu dalam diri mereka beserta bantuan Paduka Mat Salleh dan
orang-orangnya.
WATAK UTAMA
ANDAYU
(a) Berusia 15 tahun.
(b) Anak yatim piatu.
(c) Berbadan langsing dan cantik.
(d) Taat pada perintah Tuhan.
(e) Berani dan kuat semangat.
(f) Tetap pendirian.
(g) Rajin.
(h) Antipenjajah.
WATAK SAMPINGAN
PADUKA
MAT SALLEH
(a) Penghulu di daerah Inanam.
(b) Berketurunan bangsawan.
(c) Handal dalam ilmu persilatan dan ilmu batin.
(d) Bijak mengatur strategi peperangan.
HALIPAN
(a) Anak saudara Paduka Mat Salleh.
(b) Tubuhnya tegap dan tinggi.
(c) Handal bersilat dan menggunakan senjata.
(d) Bersemangat tinggi untuk berjuang.
PAK
CIK TIDUNG
(a) Bapa saudara Andayu.
(b) Peniaga garam di desa.
(c) Bengis dan panas baran.
(d) Berani.
(e) Berjaya membunuh Jones.
MAK
CIK MALA
(a) Emak saudara Andayu.
(b) Pembantu rumah Paduka Mat Salleh.
(c) Memelihara Andayu sejak kecil.
(d) Penyayang.
(e) Pandai bercerita.
AYAH ANDAYU
(a) Asalnya nelayan.
(b) Kemudiannya menjadi penolong pegawai pemungut
cukai bagi pihak Inggeris.
(c) Penyayang.
(d) Sensitif dan mudah tersinggung.
(e) Meninggal dunia kerana dipatuk ular senduk.
DAYANG BANDAN
Dayang Bandan ialah Puteri Bangsawan Sulu dan ibu
saudara kepada Sultan Jamalul Kiram, Sultan Sulu. Dia juga merupakan isteri
Datu Paduka Mat Salleh. Dia memiliki pelbagai ilmu seperti ilmu kebal, ilmu
penunduk dan ilmu penggerun. Selain itu, Dayang Bandan berkebolehan menguasai
orang halus dan orang bunian, malahan segala ilmu itu diturunkan pula kepada
suaminya Datu Paduka Mat Salleh. Puteri bangsawan ini dipantangkan memijak
tanah kerana jika dilanggar, keluarganya akan ditimpa bencana.
NILAI
(a) Keberanian.
Nilai keberanian telah digambar oleh pengarang
menerusi watak-watak seperti Andayu serta rakan-rakan seperjuangannya.
Keberanian mereka berjuang menentang pihak Inggeris serta konco-konconya
menyerlah. Begitu juga dengan keberanian pejuang-pejuang seperti Datu Paduka
Mat Salleh, Pak Cik Tidung, Pak Cik Ali, Pak Cik Jonan dan ramai lagi semasa
berjuang menentang campur tangan orang-orang Inggeris.
(b) Kerjasama.
Pengarang berjaya menonjolkan nilai kerjasama
menerusi novel ini. Semangat kerjasama digambarkan melalui watak
pengikut-pengikut Datu Paduka Mat Salleh dalam menghadapi sesuatu kesukaran
atau rintangan. Misalnya semasa bertempur, ada yang bertempur dan ada pula yang
merawat mangsa yang tercedera.
(c) Kebijaksanaan.
Sesuatu tindakan atau keputusan yang dibuat
memerlukan kebijaksanaan seseorang menilai kembali tindak tanduknya. Andayu
merupakan gambaran tentang kebijaksanaan seorang gadis dalam menghadapi
detik-detik perjuangannya. Kebijaksanaannya boleh dilihat apabila dia berjaya
mendapatkan maklumat tentang penangkapan Pak Cik Tidung.
(d) Kesabaran.
Kesabaran Andayu serta rakan-rakannya semasa
bersembunyi di celah-celah daun simpur berhampiran pangkalan untuk menyiasat
peristiwa penangkapan Pak Cik Tidung serta pengikut-pengikutnya. Kesabaran
mereka banyak membantu Datu Paduka Mat Salleh mengatur strategi seterusnya.
(e) Kesetiaan.
Semangat setiakawan negara ini merupakan satu
nilai yang ingin disampaikan oleh pengarang. Menerusi watak Andayu, Halipan,
Datu Paduka Mat Salleh, Pak Cik Tidung dan Haji Utih dapat kita lihat bagaimana
nilai tersebut digambarkan. Misalnya, Andayu merupakan watak yang banyak
membantu Datu Paduka Mat Salleh kerana semangatnya yang cintakan negara dan
tidak mahu orang Inggeris menjadi tuan di daerahnya. Begitu juga dengan Haji Utih,
yang bukan sahaja menyumbangkan tenaganya tetapi juga memberikan sumbangan
moral dan material kepada pasukan pejuang keamanan secara sukarela.
(f) Kasih sayang.
Perasaan kasih sayang ini telah digambarkan oleh
pengarang melalui beberapa watak. Perasaan kasih dan sayang seseorang bapa
kepada anaknya, perasaan kasih ibu saudara kepada anak saudaranya, perasaan
kasih isteri kepada suami dan perasaan kasih sayang sesama ahli masyarakat,
semuanya dapat dilihat dengan jelas dalam novel ini dan digarap dengan baik
serta berkesan.
LATAR
1. Latar Masa
- Karya ini memaparkan latar masa lalu, iaitu
zaman campur tangan Inggeris di negeri Sabah. Peristiwa-peristiwa yang
digambarkan hanya berlaku dalam masa beberapa hari sahaja tetapi melalui teknik
imbas kembali sama ada
secara penceritaan atau ingatan watak-watak, pengarang membawa ceritanya ke
satu latar masa yang terdahulu, misalnya sebelum kematian bapa Andayu.
2. Latar Tempat
- Daerah Inanam, Ranau, Sungai Sugut, Mengkabung,
Gunung Kinabalu, Pulau Gaya, Sandakan. - Di rumah Paduka Mat Salleh, rumah
Andayu, kubu di lereng Gunung Kinabalu, kota Pulau Gaya.
3. Latar Masyarakat
- Latar masyarakat dalam novel ini merujuk kepada
masyarakat Bajau yang diketuai oleh Datu Paduka Mat Salleh, penghulu di daerah
Inanam dan menjadi pejuang dalam menentang campur tangan Inggeris di Sabah.
Masyarakat ini berpecah menjadi dua kelompok, iaitu yang menentang pihak
Inggeris dan kelompok yang menjadi penyokong orang-orang Inggeris. Pengarang
juga memaparkan masyarakat orang asli yang menjadi askar upahan orang-orang
Inggeris semasa menentang Datu Paduka Mat Salleh serta pengikut-pengikutnya
PLOT
(a) Permulaan - Andayu dan rakan-rakannya secara
sukarela menganggotai pasukan keamanan di bawah pimpinan Paduka Mat Salleh.
(b) Konflik - Ayah Andayu
tidak suka Andayu menyertai pasukan keamanan sebaliknya dia mahu Andayu memupuk
sifat-sifat kewanitaan dalam diri. Pak Cik Tidung mendesak Paduka Mat Salleh
menentang pihak Inggeris secepat mungkin.
(c) Klimaks - Pengikut Paduka
Mat Salleh bertempur dengan pihak Inggeris di Pulau Gaya untuk membebaskan Pak
Cik Tidung dan rakan-rakannya yang dipenjarakan. Pihak Inggeris bertindak balas
dengan menyerang daerah Inanam. Kemudiannya pihak Inggeris menyerang
pengikut-pengikut Paduka Mat Salleh di lereng Gunung Kinabalu.
(d) Peleraian - Pihak Inggeris
mengalami kekalahan ketika bertempur dengan pengikut-pengikut Paduka Mat Salleh
di lereng Gunung Kinabalu. Walaupun pihak Inggeris berundur, Paduka Mat Salleh
mengarahkan para pengikutnya berpindah ke kawasan yang lebih selamat untuk
bersiap sedia menentang pihak Inggeris kelak.
Ulasan saya :
-Perjuangan bukan hanya orang yang tertentu
sahaja, misalnya hanya orang lelaki, hanya orang dewasa. Tetapi semua pihak
termasuk remaja dan orang perempuan.
-Kesedaran perlu dibentuk sejak dari awal,
terutama ketika di zaman remaja lagi.
-Jika ada kehendak dan keinginan untuk
berjuang, segala macam ranjau dapat diatasi.
Buku-buku seperti ini sangat baik untuk
dibaca, berbanding novel-novel yang hilang jati diri bangsa, agama serta tidak
berpijak di bumi yang nyata.
#PermaiMenulis
#BacaBuku
#novel
#sejarah
#pahlawan
#Perjuangan
No comments:
Post a Comment