Tuesday, January 01, 2019

Membaca Buku Travelog

Saya suka membaca buku, ini merupakan tabiat sejak dari kecil lagi.
Bagi saya, lebih menarik dan “real” membaca buku pengalaman sebenar seperti travelog dan memoir tokoh berbanding membaca novel hasil rekaan atau khayalan penulis.

Mutakhir ini, seperti ‘cendawan tumbuh’ buku-buku travelog dihasilkan. Saya tidak ketinggalan  mempunyai beberapa buah koleksi buku travelog. Antaranya buku Meor Farid Asyradi, Rebecca Ilham, Fahmi Faiz, Munir Ramli, Thaqib Shaker, Siti Noridah Ab Rahaman, Normi Ahmad Shafie, Talib Samat, Hasan Ali dan beberapa orang lagi.

Saya masih ingat, buku bercorak travelog pertama yang saya baca ketika masih bersekolah rendah dahulu. Buku tersebut ayah saya pinjam dari "sedara"  yang kami gelar Ayah De. Rumah Ayah De banyak buku dan majalah lama. Beliau pernah menuntut di Mesir, saya tidak pasti tahun bila tapi lebih kurang tahun 50an dahulu.  
Buku tersebut ditulis oleh Harun Aminurrashid berjudul Mengembara ka-Andalusia  yang diterbitkan pada tahun 1965. Saya beberapa kali ulang baca buku tersebut.


Harun Aminurrashid di meja kerja.

Harun Aminurrashid banyak menulis  buku travelog selain novel, cerpen dan bahasa. Antara buku travelognya :

“Melawat Kalimantan Utara. Singapura: Harmy, 1948;
Melawat Ka Paris. Singapura: The Royal Press, 1953;
Chatetan ka Tanah Suchi. Cet. Ke 2. Singapura: Pustaka Melayu, 1961;
Meninjau Ka Negeri Sham. Singapura: Pustaka Melayu, 1961; 
Terbang Ka Barat. Singapura: Pustaka Melayu, 1961;
Melawat Negara Tetangga. Singapura: Pustaka Melayu, 1962;  
Melihat Matahari Di Tengah Malam. Singapura: Pustaka Melayu, 1962;
Kunjungan ka Indonesia, 1954. Singapura: Pustaka Melayu, 1963; 
Chatetan Menjelajah Ka Eropah. Singapura: Pustaka Melayu, 1964; 
Mengembara ka Andalusia. Singapura: Pustaka Melayu, 1965;”



Saya petik tulisan beliau dalam buku Chatetan ka-Tanah Suchi :
‘Sa-lama  dalam perjalanan itu saya terus menchatet dengan ringkas sa-berapa banyak yang dapat saya chatet. Tujuan saya menchatet itu ia-lah supaya apa sahaja yang saya chatet itu ada-lah hasil dari apa yang saya pandang, saya dengar dan saya rasai ketika itu benar2, bukan di-tulis dengan peringatan sa-telah beberapa hari atau beberapa bulan kemudian…
Buku Chatetan seperti ini saya pandang sangat berguna kepada peminat2 sastera Melayu terutama kepada bangsa saya yang ingin mengembara atau melihat negeri asing. Juga saya pandang sangat berguna  kapada orang2 kita menjadi contoh membiasakan diri menulis buku chatetan sa-hari2 yang berlaku dan di-lalui sa-tiap hari. Buku chatetan sa-hari2, mengikut perhitongan saya ia-lah sejarah yang tepat.’
Sumber : Tesis Master Lisda Mohd Amin Universiti Nasional Singapura.

Dengan membaca buku travelog  walaupun kita tidak berkemampuan untuk “travel” secara hakiki, sekurangnya  kita dapat merasai dan memahami tempat tersebut. “Jadilah kan”.


Nukilan ini, saya tulis selepas saya menyelesaikan bacaan  buku Cinta Al-Hambra dalam kembara sasterawan oleh Hasan Ali. Buku travelog terbitan DBP yang dibeli di Pesta Buku Antarabangsa beberapa tahun sudah.


#PermaiMenulis
#travelog
#buku
#harunaminurrashid
#hasanali

#andalusia


No comments: