Saturday, March 09, 2019

Minum di mana !

Cuaca sekarang terasa panas dan kering.
Angin bertiup sekali sekala tidak mampu menyapa mesra peluh di dahi.
Ketika memandu merentasi jalan raya beraspal yang terasa bahangnya.
Sehinggakan bibir pun menjadi kering.
Ketika itu, tentunya air yang dicari.
Tempat kita, kalau nak cari air minum kena pergi membelinya. Sama ada di kedai makan / warung / restoran / gerai. Atau pun di kedai runcit dan serbanika.

Jarang, kalau ada pun mungkin sangat terpencil, mereka yang turun ke sungai untuk minum air sungai mentah-mentah.

Saya terbayang cerita-cerita kartun zaman kanak-kanak yang mencari sumber air minum dari pokok boabab dan kaktus. Begitu juga dengan pengembara di padang pasir berkejaran apabila nampak oasis di depan mata.
 Pokok Boabab
 Pokok Kaktus

Oasis

Di sini (baca Masjid Sultan Mahmud), antara tempat yang menyediakan air minum segar yang percuma. Memang bukan semua masjid, tetapi saya ingin sarankan kepada pihak pentadbir masjid agar dapat menyediakan kemudahan tersebut (air minum) kepada semua pengunjung masjid.
Seperti Masjidil Haram dan Masjid al-Nabawi yang menyediakan bekas-bekas air zam-zam yang sejuk untuk diminum di dalam masjid.

Kami mempunyai dua water cooler yang diletakkan di ruang makan terbuka. Ramai musafir yang singgah, termasuk para pekerja Alam Flora, Majlis Daerah dan DIY yang selalu mengisi air ‘sejuk’ ke dalam bekas minuman mereka.

Pada hari jumaat, kami menyediakan air minum sejuk yang berperisa secara percuma seperti sirap atau jagung kepada ahli jemaah masjid. Kami sangat mengalukan penaja yang ingin menaja kos tersebut.

Terkenang semasa di Mesir, Hampir setiap masjidnya mempunyai bejana air yang diperbuat dari tanah liat. Bejana tersebut diisi dengan air untuk diminum oleh pengunjung masjid. Berasa sejuk halkum ketika meneguk air dari bejana tersebut.

Bagaimana sebuah projek yang hebat dalam sejarah Islam, dilakukan oleh Permaisuri Zubaidah (Wafat 216H), isteri Khalifah Harun Al-Rashid yang membina saluran air dari Wadi Nu’man dari sebelah timur Mekah  kemudiannya disalurkan bekalan air ke tempat jemaah haji di Mekah, Arafah, Mina dan Muzdalifah.


Saya membaca buku Backpack India 4 Idiots yang ditulis oleh Rohaniah Noor, ceritanya ketika melawat ke The Golden Temple, sebuah bangunan kuil orang Sikh  yang dibina oleh Guru Ram Das pada tahun 1577. 

Setiap hari The Golden Temple memberi air bersih dan sejuk. Bagi negara India yang mempunyai ramai penduduk miskin dan mempunyai masalah air yang bersih, minuman percuma sebegini sangat diperlukan. 

Akhirnya, Rasulullah SAW pernah  menyebut kelebihan memberi minum kepada sahabatnya Sa’ad bin ‘Ubadah: “Sa’ad bin ‘Ubadah menceritakan, aku berkata: “Wahai Rasulullah! Ibuku sudah meninggal dunia, bolehkah aku bersedekah bagi pihaknya?: Baginda menjawab: “Ya (boleh).” Aku bertanya lagi: “Sedekah apakah yang terbaik?” Baginda menjawab: “Memberi (orang) minum air.” (Musnad Ahmad).

#PermaiMenulis #minum #air #amal #MasjidSultanMahmud #CatatanImamKecil








No comments: