Monday, July 16, 2018

Menjadi Hebat dengan You Tube


Ada orang sanggup berhabis duit mengikuti pelbagai kursus  latihan untuk menjadikannya hebat. Seperti kursus latihan perniagaan, memasak, design, pidato, kepimpinan dan pelbagai lagi.
Kursus-kursus latihan tersebut biasanya dikendalikan oleh mereka yang pada sisi kita dianggap berjaya dan hebat. Jika penganjur terkenal di media merupakan suatu bonus.

Namun di zaman serba canggih ini, ada juga mekanisma yang dianggap penting dan mampu melatih seseorang menjadi hebat.
Apa dia ?
Itulah You Tube. Dalam You Tube menyajikan pelbagai tunjuk ajar (tutorial). Nak tak nak je..
Tentunya kos latihan lebih murah.
Sebut sahaja, nak tahu pasal apa ?
memasak lemang, menjahit pakaian, nak buat video, design, nak menguruskan organisasi,  pendek kata 1001 macam ada dalam You Tube.

Saya datangkan contoh mereka yang ‘pro’ dalam bidang mereka tanpa mengikuti latihan ‘official’ di mana-mana kelas dan konsultan.

Sofyank96

1.   Mohamad Sofian yang lebih dikenali dengan Sofyank96. Sangat hebat dalam  membuat video. Bukan video biasa-biasa tetapi video yang sangat kreatif. Katanya, beliau hanya belajar melalui You Tube sahaja.
Kalian boleh Search nama sofyank96 untuk melihat hasil videonya. Sekarang, terdapat pelbagai syarikat ternama yang menggunakan khidmat beliau untuk membuat video seperti Mc Donald dan Radio Era.

Alan Walker

2.   Alan Walker, merupakan produser muzik yang juga belajar sendiri membuat muzik dengan You Tube. Kini muziknya di You Tube telah disaksikan oleh ratusan juta orang. Karya muziknya seperti Faded sering digunakan, termasuk di negara kita sebagai muzik latar untuk video, montaj, slide show.
Tak percaya, cuba kalian search ‘Faded’.

Rahsianya adalah kesungguhan. Dengan kesungguhan, kita semua mampu jadi hebat. 


#PermaiMenulis #ToturialYouTube #hebat #kesungguhan #teknologi #hujungjari 



Friday, July 13, 2018

Tangan Nakal di Masjid

Khutbah jumaat hari ini bertajuk Adab masjid. Perangai dan ragam orang macam-macam. Kadangkala orang yang lebih berumur lagi susah untuk diajar berbanding budak-budak.
Contohnya di masjid kami ada “aircond”. Suis ‘aircond pula diluar yang sesiapa pun bebas untuk membuka dan menutupnya. Ketika peringkat awal perbincangan dengan JKR, kami minta supaya suis letak di dalam yang hanya pegawai dan orang tertentu sahaja yang boleh membukanya.
Tetapi alasan pihak kontraktor rumit untuk letak di dalam.

Isunya ramai tangan-tangan nakal yang “adjust” suis ‘aircond’.
Contohnya hari jumaat atau semasa solat terawih, pihak masjid akan membuka “aircond” awal untuk menyejukkan keseluruhan ruang solat yang luas. Yang datang awal dia berasa sejuk, lalu dia pun tutup beberapa suis aircond tersebut. Akhirnya bila orang ramai datang, tak berasa sejuk. Mereka pun bising sebab tak sejuk.
Ada pula yang bila dia rasa panas, terus dia buka kipas. Ibarat naik kereta pasang aircond tapi buka tingkap, cerdik ke ?

Itu belum isu buka pintu tapi tak reti nak tutup.  Nak ‘Sound’ karang dah tua..

Hari jumaat, kami buka pintu dengan memasang sejenis alat yang akan memastikan udara aircond tidak keluar. Biasa kan kita pergi pasar raya, pintu pasar raya mana tutup macam pintu bank, tetapi aircond tetap terpasang.
Masalah yang timbul, ada pula tangan-tangan yang pergi off alat tersebut, tetapi pintu dibiarkan terlopong luas. Masyarakat sungguh.

Antara langkah-langkah yang telah dan sentiasa diambil ialah, kami memberi makluman dan taklimat secara umum kepada para jemaah, tetapi jika gejala ini berterusan, rasanya kena buat langkah nakal juga, kita tangkap gambar pelaku secara sembunyi, kemudian kita tularkan dan mention ‘tangan nakal’. Macam mana, nakal tak kaedah tersebut.


#PermaiMenulis #CatatanImamKecil


Thursday, July 12, 2018

Perpustakaan i

Satu
Saya ingin mengajak kalian semua kepada suatu amalan iaitu  “Jom beli buku”.

Seorang cendiakawan Islam zaman dulu yang terkenal dengan nama al-Jahizh telah berkata, “Sesiapa yang ketika membeli buku tidak berasa lebih nikmat daripada saat membelanjakan hartanya bagi membeli keperluan lain, sesungguhnya dia belum mencintai ilmu. Perbelanjaannya tidak bermanfaat sehingga dia lebih mengutamakan membeli buku, sepertimana si Arab Badwi yang lebih mengutamakan susu untuk kudanya berbanding keluarganya.”

Justeru, saya ingin mengajak kalian semua membeli buku kecil yang kami tulis. Ada 4 naskah iaitu Jejak Kaki Kami, Permai Menulis, Siri majalah Super edisi ke sembilan dan Modul pengajian al-Quran.

 Bersama buku Jejak Kaki Kami dan Permai Menulis

Sekarang sudah SUPER yang ke 9. 

Peserta Kem Intensif Al-Quran bergambar kenangan bersama buku 
Modul Pengajian al-Quran.


Dua
Setelah kita mempunyai koleksi buku. Tentunya kita perlu menyimpan buku-buku tersebut dengan baik. Saya ingin syor dan mengajak kalian untuk mempunyai perpustakaan peribadi.

Saya kongsikan kisah Saiyid Abul A’la Maududi yang merupakan pemimpin gerakan Islam Pakistan. Pada tahun 1941 beliau mengasaskan Jamaat al Islami di Pakistan. Maududi telah menulis lebih 120 buah buku dan risalah. Karyanya seperti Tafhim al-Quran (Ke arah memahami  al-Quran), mengambil masa 30 tahun untuk disiapkan. Tafhim al-Quran telah diterjemah ke banyak bahasa seperti bahasa Arab, Inggeris,Turki, Farsi, Perancis, Jerman dan pelbagai bahasa lain lagi.
Maududi menyatakan bahawa beliau mengetahui di mana letak buku-bukunya dalam perpustakaannya yang besar.
Almarhum Maulana Abul A'la Maududi di meja kerjanya . 
Kelihatan buku-buku bersusun di atas meja dan rak. 
Beliau meninggal dunia pada tahun 1979.


Saya pernah berkunjung ke rumah Al-Fadhil Dr. Zulkifli bin Mohd al-Bakri (ketika itu belum Mufti Wilayah Persekutuan). Kami dibawa ke bilik kerjanya di rumah yang dihiasi (baca dipenuhi)  dengan almari buku. Al-Fadhil Dr menunjukkan koleksi buku yang ditulisnya. Kami  juga dihadiahkan dengan pelbagai buku untuk dibawa pulang.


Ketika kami di rumah Dr Zul, beliau keluar sebentar kerana ada urusan. 
 Katanya sebelum keluar "banyak buku tu, bacalah".

Bergambar kenangan bersama Imam Faizal (Masjid Daerah Lipis), Syeikh Muhazam (Timbalan Qadhi Rompin), Dr Zulkifli dan saya.


Insya-Allah saya akan lanjutkan tulisan ini (perpustakaan i) dengan tulisan seterusnya (perpustakaan ii) di ruangan yang lain pula. Nantikan.




#PermaiMenulis #buku #perpustakaan #hobi #ilmu #CatatanImamKecil 

Wednesday, July 11, 2018

Jauh berjalan luas pengalaman ?

Ada pepatah yang menyatakan : jauh berjalan luas pengalaman.
Ulasan saya : tetapi kalau berjalan ikut "highway" kurang sedikit err  ðŸ¤”berbanding ikut jalan biasa. Jalan biasa yang merentas kampung-kampung, melalui bandar-bandar, gerai, kebun dan sebagainya.
Tentunya menyaksikan pengalaman yang lebih lagi. 


Monday, July 09, 2018

13 Hope di Thailand


Seluruh dunia memberi tumpuan kepada remaja yang terperangkap di dalam gua. Pakar-pakar penyelam antarabangsa datang memberi khidmat kepakaran mereka. Demi untuk menyelamatkan mereka. Menyelamatkan nyawa manusia.
Suatu amalan yang sangat terpuji. Kemanusiaan yang merentasi budaya, agama dan adat resam.

Namun di sana..
Kenapa mereka yang dibunuh secara berleluasa dan tidak bersalah di Rohingya, Palestin, Syria.. Nyawa mereka tidak berharga berbanding para remaja yang terperangkap di dalam gua ?

Atau hanya kerana mereka beragama Islam ? 
Renungkanlah.


Thursday, July 05, 2018

Pengalaman makan nasi goreng pataya


Hari ini saya memilih menu nasi goreng pataya. Sambil makan teringat kenangan kali pertama saya memesan menu nasi goreng pataya.
Ceritanya semasa saya tingkatan empat, selalunya makan nasi lemak Rm 1.50 sepinggan dan minum air bandung segelas 70 sen di kedai makan 'Ranger' depan sekolah SMAI. 
Suatu hari, senior tingkatan lima ajak makan nasi goreng pataya. Cuma pesannya kena bawa duit banyak sikit. 'Standby' RM 10.
Maka berjalanlah saya bersamanya ke kedai makan berhampiran dengan Pantai Selamat dan itulah kali pertama saya 'oder' nasi goreng pataya. Haha..
Anda bagaimana ? Bila kali pertama makan nasi goreng Pataya..

Wednesday, July 04, 2018

Penyampaian Hadiah





Bagaimana perasaan anda jika mendapat hadiah ?
Bagi pelajar sekolah banyak ruang dan peluang yang membolehkannya menerima hadiah berbanding dengan orang dewasa. huhu.

Maka sesiapa yang masih bergelar pelajar sekolah, rebutlah peluang dan ruang yang ada untuk membolot sebanyak mungkin hadiah. haha.

Semalam, saya berkesempatan menyampaikan hadiah untuk pelajar SAR Kafa Tahfiz Masjid Sultan Mahmud. Hadiah yang ditawarkan buat mereka yang cemerlang dalam peperiksaan, hadiah kehadiran penuh dan hadiah bagi pelajar yang puasa penuh. Banyak betul hadiah, kan. Jom masuk SAR Kafa Tahfiz Masjid Sultan Mahmud.



Tuesday, July 03, 2018

Perhimpunan Penjawat Awam Daerah Lipis tahun 2018

 Membaca doa semoga perhimpunan diberkati.






Aturcara dimulakan dengan nyanyian Negaraku, Lagu rasmi Pahang dan perkhidmatan awam.
Kemudian bacaan doa dan mendengar amanat YAB Menteri Besar Pahang (melalui FB Live dari perhimpunan di pejabat SUK Pahang). 

Antara ucapan YAB MB ialah beliau menubuhkan unit media sosial MB. Page FB yang telah dibuat hampir seminggu dan mempunyai likes lebih 11k. Rakyat boleh mengadukan pelbagai masalah terus ke FB tersebut. 
MB juga menyebut kedudukan kewangan negeri. Antara langkah yang akan diambil ialah memastikan orang ramai membayar cukai hasil.
Jika mengharapkan rakyat membayar cukai sahaja, rasanya kewangan negeri Pahang terus merudum.

Pandangan saya, umum mengetahui yang negeri Pahang mempunyai pelbagai hasil seperti emas, balak, bauksit (sebelum ni), bijih besi, perladangan, perlancongan seperti Cameron, Tioman, Taman negara. 
Isunya hasil tersebut dimonopoli oleh pihak tertentu sahaja. Mereka yang kaya raya, rakyat tetap ditakuk lama bahkan kerajaan negeri pun seperti mendapat income yang tidak berbaloi.
Maka sumber-sumber tersebut perlu diurus dengan amanah. Tindakan tegas pada mereka yang mengambil kesempatan dan kepentingan peribadi baik daripada kerabat, orang istana, orang politik.
Tak kan la kerajaan negeri nak lancar tabung derma juga. Kesian la ke kome ni. Duit dah la tak seberapa ada. Macam-macam nak kena bayar. Ingat tol dah tiada, harga minyak petrol menurun. Bayaran bil Tnb semakin rendah. Takkan bermimpi di siang hari.

Monday, July 02, 2018

Kanan Kiri

Sekarang Saya menulis dengan tangan kiri. Masa sekolah saya pernah menulis dengan tangan kanan, tetapi tulisannya sangat buruk, cikgu pun sakit hati membacanya. 
Alhamdulillah saya makan dengan tangan kanan tanpa kekok baik ketika makan bersuap dengan tangan mahupun bersudu.
Jika bermain badminton, saya boleh memegang raket dengan tangan kanan dan kiri. Tapi tak de lah reti sangat main. Ni pun dah berpuluh tahun tak main.
Berlainan dengan ayah saya, beliau menulis dengan tangan kanan, tetapi memegang raket, cangkul dengan tangan kiri...
Semalam saya lalu di hadapan sebuah kedai kopi. Namanya kedai Kopi Kanan Kiri di Batu Pahat. 

Melawat Kandang lembu




Petang tadi, Kunjungan ke kandang lembu. Mencari dan berunding harga. Musim ini kebanyakan tokey lembu dah mula menaikkan harga. 
Ada pandangan yang syorkan supaya beli lembu 5-6 bulan awal, ketika harga masih murah. kemudian bela sampai musim korban. Tapi masalahnya siapa yang nak mengembalanya. 
Ada juga yang buat style main kutu. Bayar bulan-bulan. Setiap bulan RM50 ke. Cuma kena ada "pic" yang urus dan jaga kewangan. Kena follow up ahli supaya bayar, agak cerewet namun jika berjalan lancar memang menarik.
Ada juga yang memilih untuk membuat korban di negara luar. Harganya memang jauh lebih murah. Tahun lepas ayah saya membuat dan menganjurkan program Korban di Kemboja. Ikutkan perancangan nak buat lagi tahun ni, dan agak ramai juga yang sudah membayarnya. Selepas ayah meninggal, kami serahkan duit dan data yang berkaitan pada sahabatnya yang pergi bersama ke Kemboja tahun lepas.

Jom masuk program Korban bersama Masjid Sultan Mahmud. RM 570 untuk satu bahagian. Cadangnya program korban pada hari raya pertama.