Tuesday, September 18, 2018

Saya sedang mencari aplikasi yang boleh menghubungkan antara Blog-FB-IG-Twitter.


from Twitter https://twitter.com/AzraiePermai

Korban terakhir Ayah di Kemboja


Saya baru menerima gambar sijil melalui "wasap" dari Ustaz Mat Zin. 
Sijil pengesahan ibadah korban di Kemboja.
Sekarang ramai orang di negara kita yang melaksanakan ibadah korban di luar negara, terutamanya negara yang kebanyakan umat Islam berada dalam kesusahan seperti di Kemboja, India, termasuk di pedalaman Sabah dan Sarawak.
Tahun 2017, ayah saya bersama dengan rakannya telah pergi ke Kemboja untuk melaksanakan ibadah korban.
Ayah bersama Cikgu Nazir di Kemboja

Saya petik tulisan ayah dalam Fbnya : 
'Hari raya adha yg lalu saya dan beberapa kawan (3org) terbang ke kemboja untuk melaksanakan qurban disana. Satu bahagian cuma rm300.00 saja. Kami berjaya kumpulkan penyertaan untuk 10 ekor. Kurban dilakukan di madrasah al-aitam (anak yatim) rakapropram, kampongcham kira-kira 3 jam dari phnom penh. Tujuan qurban disana untuk bantu madrasah serta anak-anak yatim,di samping berqurban.'

Ketika pergi ke sana, tahap kesihatan ayah sudah menurun. Selepas balik dari Kemboja, dalam tempoh sebulan lebih, ayah telah mengumpulkan senarai baru yang ingin melaksanakan korban di Kemboja pada tahun hadapan (2018). 
Sama seperti tahun 2017, tiada poster iklan. Hanya hebahan mulut ketika dalam kuliah di masjid kampung dan rakan-rakan.
Ayah siap memasukkan saya dan adik dalam senarai tersebut, di samping mengajak saya untuk turut sama dalam program korban tersebut .
Tak sampai dua bulan, ayah betul-betul uzur, tetapi senarai nama yang ingin menyertai korban agak ramai juga. Selepas ayah meninggal dunia, adik menghantar senarai nama (borang berserta duit) kepada Cikgu Nazir yang pergi ke Kemboja bersama ayah pada Aidil Adha yang lalu.
Alhamdulillah, ibadah korban telah berjaya dilaksanakan pada Aidil Adha tahun ini. 
Semoga amal ayah saya dan kita semua diterima Allah.


Monday, September 17, 2018

Tengok Gajah di Kuala Gandah, Lanchang Pahang

Hari ini saya bersua dengan gajah. Negeri Pahang sinonim dengan skuad Tok Gajah. Mengambil sempena nama pahlawan melayu Pahang yang terkenal iaitu Tok Gajah, ayah pahlawan Mat Kilau.
Dalam al-Quran ada surah Al-Fiil (gajah). 
Surah yang menceritakan peristiwa tentera bergajah yang dipimpin Abrahah datang untuk meruntuhkan Kaabah di Mekah. 
Tahun tersebut dikenali dengan tahun gajah, dan Rasulullah SAW lahir pada tahun tersebut.

Zaman bersekolah rendah, Taman Mergastua di Jalan Bahagia Temerloh ada gajah, saya beberapa kali melihat gajah di situ. 
Pernah, kebetulan saya tengah berjalan di pasar malam bandar Temerloh, penjaga gajah di Mergastua tersebut membawa sekali anak gajah berjalan-jalan di pasar malam tersebut. Memang seronok orang ramai terutama kanak-kanak.
Kini Taman Mergastua tersebut dikenali dengan nama Mini Zoo Temerloh. Saya tak pasti sekarang mini zoo tersebut sudah beroperasi semula atau masih ditutup.
Bagi yang hendak melihat gajah, boleh pergi ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan yang diuruskan oleh Perhilitan di Kuala Gandah, Lanchang Pahang. 
Tiada bayaran tiket dikenakan, cuma kita boleh dan digalakkan untuk memberi sumbangan derma untuk kos menguruskan gajah di situ terutama bekalan makanan.
Ada dijual makanan untuk gajah seperti tebu, pisang dan kacang. Boleh beli untuk memberi gajah makan.
Antara aktiviti disitu, boleh melihat gajah mandi dan membuat persembahan. Di samping tayangan media yang turut disediakan. Cuma kena ikut waktu yang telah ditetapkan. 
Semoga hidupan liar seperti gajah terus dijaga dengan baik, tambahan pula kawasan hidupannya semakin terancam.
Banyak kes gajah kena jerat, kena bunuh untuk diambil gading akibat kerakusan manusia.










Friday, September 14, 2018

Sarapan berlaukkan Ikan Tenggalan



Sarapan hari ini nasi lemak berlaukkan ikan Tenggalan masak tempoyak.
Ikan Tenggalan liar dari sungai Jelai. Rasanya yang manis memang menggiurkan terutama bagi penggemar ikan sungai ori. Cuma kena berhati-hati ketika makan binbang tercekik tulang Y.
Harga ikan Tenggalan agak mahal juga sekarang. Sekilo Rm 50-80.
Sedapnya makan ikan sungai (air tawar) atau ikan paya (ikan darat) yang segar kerana ikan-ikan ini tiada 'ubat'. 'Ubat' untuk ikan tahan lama. Nak pula kalau beli dari orang kampung yang mencari sendiri di sungai dan paya.
Saya pernah terbaca ada orang yang hanya membeli ikan darat di Pekan Sehari Temerloh, hanya kerana tidak mahu ikan yang ada 'ubat' .

Channel - https://t.me/AzraiePermai
https://twitter.com/AzraiePermai

#PermaiMenulis #ikantenggalan #ikansungai#sungai #makan #sarapan

Sunday, September 09, 2018

Kamera Yashica Elektro 35

Bagaimana kita 'melihat' semula zaman lampau kita. 
Selain mendengar orang-orang lama seperti ayah, datuk, nenek dan mereka yang lebih tua dari kita bercerita secara lisan.
Melihat gambar-gambar lama terutama gambar semasa kecil juga antara kaedah yang terbaik untuk melihat dan mengenang nostalgia silam.
Gambar-gambar zaman lampau tak lah sebanyak sekarang. Bukan semua orang ada kamera peribadi. Bagi yang ada kamera pun bukannya boleh sepuas hati menangkap gambar seperti sekarang.
Cuma, zaman itu kebanyakannya menghargai dan gambar yang telah dicuci akan disimpan sebaiknya di dalam album. 
Berbanding zaman sekarang. Apabila terlalu mudah untuk menangkap gambar. Mudah juga gambar tersebut hilang dari simpanan. 


Ayah saya suka menangkap gambar. Kamera jenama Yashica Elektro 35 yang dibeli awal tahun 80an banyak berbakti merakamkan gambar. 
Ketika ayah pergi menunaikan ibadah Haji pada tahun 1990, beliau membawa kamera Yashica tersebut. Kamera tersebut pernah dirampas polis yang menjaga Masjidil Haram. Ketika itu ayah mengambil gambar di luar bangunan Masjidil Haram. Nak bawa masuk dalam Masjidilharam memang"kompem" tak lepas.
Polis tersebut membelek-belek kamera. Beliau ingin mengambil filem, tetapi tak reti nak buka tempat filem tersebut. Akhirnya kamera dikembalikan dan pesan polis tersebut jangan ambil gambar lagi kat sini. 

Kamera Yashica tersebut bukannya boleh tangkap gambar terus. Kena setting fokus secara manual dulu, kalau main tangkap je, gambar sama ada jadi blur atau berbayang-bayang. 
Ketika darjah satu memang saya tak reti nak dapatkan setting fokus yang tepat. Hasilnya akan merugikan filem kodak.
Semasa zaman kamera kompak (point and shoot camera) yang lebih mudah penggunaannya dan saiznya yang lebih kecil serta semakin ramai dan meluas penggunanya. Saya gelarkan waktu itu kamera auto. Ayah masih setia dengan kamera Yashica. 
Beberapa waktu kemudian, kamera Yashica tidak lagi digunakan, hanya disimpan sahaja. Setelah kemunculan mobile phone yang mempunyai kamera digital yang berkualiti. 
Hari ini saya melihat semula kamera Yashica tersebut. 



Thursday, September 06, 2018

Ribut di Dun Benta

Susulan ribut yang melanda di Dun Benta pada hari kelmarin (selasa), kami mengambil kesempatan menziarahi saudara Hafiz. Beliau merupakan bekas pengawal keselamatan Masjid Sultan Mahmud. Rumah bondanya di kampung Tanjung Besar, Benta ranap ditimpa pokok besar yang tumbang kerana ribut.
Alhamdulillah, tiada kecederaan jiwa yang berlaku. Namun memerlukan peruntukan  kewangan yang agak besar untuk membina kembali rumah yang musnah.

Semoga Hafiz sekeluarga tabah, ada hikmah di sebalik kejadian tersebut.

Angin mampu memberi ketenangan dan kedamaian. Namun ia mampu menjadi pemusnah. Semuanya dengan kuasa Allah SWT.

Firman Allah SWT : 

A018
Bandingan (segala kebaikan amal dan usaha) orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin pada hari ribut yang kencang; mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun dari apa yang mereka telah usahakan itu. Sia-sianya amalan itu ialah kesan kesesatan yang jauh dari dasar kebenaran. (Ibrahim : 18)

A069
Atau adakah kamu merasa aman (dan tidak memikirkan) bahawa Allah akan mengembalikan kamu sekali lagi ke laut, kemudian Ia menghantarkan kepada kamu angin ribut yang memecah belahkan segala yang dirempuhnya, lalu Ia mengaramkan kamu dengan sebab kekufuran kamu; kemudian kamu tidak beroleh sesiapapun yang boleh menuntut bela tentang itu terhadap Kami? (Al-Isra' :69)


 Rumah bonda Hafiz yang roboh



Angin ribut yang mampu menumbangkan pokok besar. Walaupun pokok tersebut condong ke arah yang berlawanan dengan rumah. Tetapi angin mampu menghalakan pokok tumbang ke rumah. 

 Anak sungai Rengai bersebelahan dengan rumah Hafiz. Memang cantik dan sesuai kalau nak berkelah. Jika musim tak hujan, air separas lutut mengalir jernih. 


Menyampaikan sumbangan mewakili Pentadbiran dan ahli jemaah Masjid Sultan Mahmud.


#PermaiMenulis #angin #ribut #bencana #MasjidSultanMahmud #sabar #hikmah #CatatanImamKecil


Wednesday, September 05, 2018

Imam Wibawa Pahang

Kami berliqa’ bersama para imam. Bila berjumpa pelbagai kisah dikongsi. Terutama para imam senior yang telah puluhan tahun menjadi imam.
Imam merupakan ketua pentadbir masjid. Sering berlaku salah faham siapa yang lebih berkuasa antara imam dan ajk masjid. Ajk masjid fungsinya adalah untuk membantu para pegawai masjid. Bukannya menjadi bos kepada pegawai masjid.

Elaun pegawai masjid bukannya dibayar oleh Ajk masjid. Sedangkan Ajk masjid akan membantu mengimarahkan masjid secara sukarela.
Ada masjid yang isu ini dapat diselaraskan dengan harmoni. Tetapi ada masjid yang wujud ketegangan antara pegawai dan ajk masjid.
Mudahnya, bayangkan pengetua dan guru sekolah serta pengerusi dan ajk Pibg. Ajk Pibg secara sukarela membantu pihak sekolah melancarkan program dan aktiviti. Bukannya Pibg yang mengawal dan mengarahkan guru di sekolah.
YH Dato' Hj Mohamad Noor sedang menyampaikan ucapan

Kami juga berkesempatan mendengar amanat daripada Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, YH Dato’ Hj Mohamad Noor bin Abdul Rani. Beliau akan bersara pada 22 September 2018. Mungkin antara amanat akhir beliau sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang.
YH Dato’ ada mengulas isu yang tular di media berkenaan dengan hukuman sebat yang dikenakan kepada pesalah lesbian. Katanya dengan berseloroh “yang kena sebat orang Terengganu, yang terasa orang Kuala Lumpur”
Ulas beliau lagi : hukum sebat di mahkamah syariah tak sakit pun. Cuma lebih untuk mendidik masyarakat bukannya sebat untuk menderitakan pesalah.

YH Dato’ Mohamad Noor sebelum ini menjadi Pegawai Daerah Lipis sebelum dilantik menjadi Pengarah JAIP. Menariknya beliau merupakan ahli jemaah tetap di Masjid Sultan Mahmud.
Semasa menjadi pengarah JAIP apabila ada urusan di daerah Lipis, YH Dato’ akan hadir berjemaah terutama pada waktu subuh.

Lama dahulu, ketika membelek majalah Restu keluaran tahun 70an, majalah  tahunan Kolej Islam Klang (KIK) kepunyaan ayah saya (ayah saya bersekolah tingkatan 4-6 di KIK)  secara kebetulan saya terjumpa nama YH Dato’ dalam majalah tersebut.
Saya pernah tanyakan kepada beliau, dan beliau juga pernah menceritakan sejarah persekolahannya semasa menyampaikan ucapan perasmian dalam program Konvensyen Pelajar Islam Pahang (KONPIP) tahun 2016 di Sekolah Menengah Agama Dong, Raub.
Semoga YH Dato’ Hj Mohamad Noor terus dikurniakan kesihatan dan terus dapat berbakti kepada agama, bangsa dan tanah air.

 YH Dato' Badli Shah, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Masjid dan Surau JAIP menyampaikan cenderamata kepada YH Dato' Hj Mohamad Noor

 Cenderamata daripada para Imam Masjid Daerah Pahang kepada YH Dato' Hj Mohammad Noor

 Imam-Imam Masjid Daerah seluruh Pahang bergambar kenangan bersama YH Dato' Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang. Turut sama Ketua Penolong Pengarah dan Al-Fadhil Qadhi Daerah



#PermaiMenulis #CatatanImamKecil #MasjidDaerah #ImamWibawa #jaip #pahang #pengarah



Tuesday, September 04, 2018

Alam Flora bantu bersihkan longkang masjid


Pagi tadi set Alam Flora datang membantu membersihkan longkang Masjid Sultan Mahmud
Isunya longkang tersumbat, dan saluran longkang tersebut telah ditutup dengan lantai konkrit. 
Nak jadi asbab tersumbat juga, banyak ketulan simen ketika buat lantai konkrit di dasar longkang.
Kena ada paip air yang mempunyai tekanan yang sangat kuat. Kalau waterjet berkuasa kecil tak lepas nak tolak.
Kami bertanya kepada Majlis Daerah, Jabatan Pertahanan (Jpam), depa tiada alatan tersebut. 
Alam flora yang ada dan boleh membantu menyelesaikan masalah longkang tersumbat. Sesiapa yang ingin mencuci rumah pun boleh memanggil khidmat Alam flora.

Pesanan penaja : Tukang rumah jika buat bangunan, jangan timbulkan masalah kemudian hari. Seperti buat longkang yang airnya kena mendaki seperti naik bukit. Simen konkrit merata-rata dalam longkang dan atas jalan. Paku yang bersepah merata sehingga membahayakan pengguna. Jangan hanya fikir nak siap projek, maka aspek kekemasan tak diambil kira.
Nak pula bila pihak JKR tak pantau beria. Sampai ada suara yang berkata pada saya, Orang Jkr bukan reti buat kerja secara teknikal dan realiti pun. Depa hanya belajar teori atas kertas dalam bilik kuliah je. 
Buat pengguna dan orang awam. Jaga kebersihan tempat awam seperti bilik tidur sendiri. Tak tahulah kalau yang tabiat suka buang sampah merata-rata, bilik tidur mereka macam tempat pelupusan sampah.
Ingatlah ! kebersihan adalah cara hidup dan akhlak muslim sejati.


Saturday, September 01, 2018

Tukar dan servis tayar kereta di Kuantan

Hari ini tukar dan servis tayar kereta. Tayar dah berkhidmat selama 5 tahun. Memang dah patut tukar yang baru. 

Saya pernah ada pengalaman tayar kereta pecah semasa di Highway. Itu belum tayar bengkak lagi.

10,000 km disyorkan untuk membuat rotation (tukar silang) tayar. 

Begitu juga dengan servis Aligment dan balancing tayar terutama apabila terasa getaran pada stering kereta.
Sebelum ini saya mengalami masalah apabila membuat Aligment dan balancing Hilux.
Sudah pergi servis di beberapa buah kedai tayar, tetapi getaran di stering tetap ada. Alasan yang diberi oleh sesetengah kedai, memang pacuan 4 roda (4wd) macam ni.
Akhirnya kebetulan saya try buat Aligment dan balancing di kedai KRZ Tayar di Indera Sempurna, Kuantan. Alhamdulillah, memang memuaskan dan tiada lagi getaran pada stering.