Wednesday, September 05, 2018

Imam Wibawa Pahang

Kami berliqa’ bersama para imam. Bila berjumpa pelbagai kisah dikongsi. Terutama para imam senior yang telah puluhan tahun menjadi imam.
Imam merupakan ketua pentadbir masjid. Sering berlaku salah faham siapa yang lebih berkuasa antara imam dan ajk masjid. Ajk masjid fungsinya adalah untuk membantu para pegawai masjid. Bukannya menjadi bos kepada pegawai masjid.

Elaun pegawai masjid bukannya dibayar oleh Ajk masjid. Sedangkan Ajk masjid akan membantu mengimarahkan masjid secara sukarela.
Ada masjid yang isu ini dapat diselaraskan dengan harmoni. Tetapi ada masjid yang wujud ketegangan antara pegawai dan ajk masjid.
Mudahnya, bayangkan pengetua dan guru sekolah serta pengerusi dan ajk Pibg. Ajk Pibg secara sukarela membantu pihak sekolah melancarkan program dan aktiviti. Bukannya Pibg yang mengawal dan mengarahkan guru di sekolah.
YH Dato' Hj Mohamad Noor sedang menyampaikan ucapan

Kami juga berkesempatan mendengar amanat daripada Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, YH Dato’ Hj Mohamad Noor bin Abdul Rani. Beliau akan bersara pada 22 September 2018. Mungkin antara amanat akhir beliau sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang.
YH Dato’ ada mengulas isu yang tular di media berkenaan dengan hukuman sebat yang dikenakan kepada pesalah lesbian. Katanya dengan berseloroh “yang kena sebat orang Terengganu, yang terasa orang Kuala Lumpur”
Ulas beliau lagi : hukum sebat di mahkamah syariah tak sakit pun. Cuma lebih untuk mendidik masyarakat bukannya sebat untuk menderitakan pesalah.

YH Dato’ Mohamad Noor sebelum ini menjadi Pegawai Daerah Lipis sebelum dilantik menjadi Pengarah JAIP. Menariknya beliau merupakan ahli jemaah tetap di Masjid Sultan Mahmud.
Semasa menjadi pengarah JAIP apabila ada urusan di daerah Lipis, YH Dato’ akan hadir berjemaah terutama pada waktu subuh.

Lama dahulu, ketika membelek majalah Restu keluaran tahun 70an, majalah  tahunan Kolej Islam Klang (KIK) kepunyaan ayah saya (ayah saya bersekolah tingkatan 4-6 di KIK)  secara kebetulan saya terjumpa nama YH Dato’ dalam majalah tersebut.
Saya pernah tanyakan kepada beliau, dan beliau juga pernah menceritakan sejarah persekolahannya semasa menyampaikan ucapan perasmian dalam program Konvensyen Pelajar Islam Pahang (KONPIP) tahun 2016 di Sekolah Menengah Agama Dong, Raub.
Semoga YH Dato’ Hj Mohamad Noor terus dikurniakan kesihatan dan terus dapat berbakti kepada agama, bangsa dan tanah air.

 YH Dato' Badli Shah, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Masjid dan Surau JAIP menyampaikan cenderamata kepada YH Dato' Hj Mohamad Noor

 Cenderamata daripada para Imam Masjid Daerah Pahang kepada YH Dato' Hj Mohammad Noor

 Imam-Imam Masjid Daerah seluruh Pahang bergambar kenangan bersama YH Dato' Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang. Turut sama Ketua Penolong Pengarah dan Al-Fadhil Qadhi Daerah



#PermaiMenulis #CatatanImamKecil #MasjidDaerah #ImamWibawa #jaip #pahang #pengarah



No comments: