Suasana Solat isyak di Masjid Daerah Sultan Mahmud Lipis tadi. Mula subuh esok masjid akan ditutup untuk kehadiran para jemaah sehingga 8 Jun (tertakluk kepada semasa).
Makanya para jemaah dan orang ramai diminta untuk solat di rumah sahaja.
Mungkin ada yang rasa pahala dan fadhilat berkurangan jika solat di rumah. Lalu berusaha untuk menyusup masuk dan solat di dalam masjid (pengalaman PKP 1.0).
Pandangan daripada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan :
Kami menyatakan bahawa sekiranya seseorang itu sentiasa melazimi solat berjemaah di masjid atau surau, lalu ia ditinggalkan disebabkan adanya keuzuran tertentu, dan dia mendirikan solat berjemaah di rumah, maka dia akan mendapat pahala sama seperti yang dilakukannya semasa ketiadaan keuzuran tersebut. Pendapat ini adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa Al-‘Asy’ari R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا
Maksudnya : Apabila seseorang hamba itu sakit atau bermusafir, akan ditulis buat dirinya ganjaran sama seperti yang diamalkannya semasa bermukim atau sihat. Riwayat Al-Bukhari (2996)
Hadis di atas menunjukkan bahawa seseorang itu sekiranya dia bermusafir atau sakit, lalu dia melakukan keringanan atau rukhsah yang diberikan kepadanya kerana dua keuzuran tersebut, maka dia akan mendapat ganjaran yang sama sekiranya dia melakukan sesuatu perbuatan dalam keadaan dia bermukim atau sihat.
Imam Ibn Hajar Al-Asqalani berkata : ‘’Hadis ini ditujukan bagi mereka yang melakukan ketaatan lalu terhalang dari melakukannya (disebabkan ada keuzuran), dalam keadaan niatnya jika tidak terdapat penghalang nescaya dia akan berterusan melakukannya (ketaatan)’’.
Kesimpulannya : patuhilah SOP, duduk di rumah jangan nak merayau-rayau. Solat di rumah, mengeteh di rumah. Kalau dah kemaruk nak berborak, boleh call atau nak syok lagi buat video call dengan rodong-rodong.
#PermaiMenulis #LipisPkpd #stayhome #masjid #solat #sop
No comments:
Post a Comment