Thursday, September 07, 2017

Kuah sahaja yang tinggal

Pagi tadi selepas kelas, Saya menerima bungkusan daging korban lagi.
Aura daging terus meresap dalam sanubari.

Lalu saya mendapat idea untuk menulis seperti yang tertera di bawah.

Kali pertama saya mendengar kisahnya ketika berada dalam tingkatan tiga.
Ketika itu saya menghadiri ceramah agama di Masjid lama Tj (ketika itu surau) yang disampaikan oleh Ustaz Karim Sidek. Al-Fadhil ustaz menyelitkan kisah Juha dalam ceramahnya dan kisah tersebut masih saya ingati.

Buat yang belum mengenali, saya sertakan biodata ringkas.
Ada dua Juha.


Juha Al-Kufi yang berbangsa Arab, seorang lagi Juha berasal dari Turki. Sehingga kadang-kadang kisah kedua-dua Juha itu bercampur.

1. Juha Al-Kufi Al-Fazzari, juga dikenali sebagai Abul Ghusn adalah seorang yang pintar, alim, dihormati. Namun pada masa yang sama beliau juga adalah orang yang lucu sehingga perjalanan hidupnya banyak yang aneh. Ibunya adalah khadam kepada ibu Anas bin Malik, sahabat Nabi SAW.
Al-Jauhari di dalam kitab menamakannya Juha.

Pengarang kitab “Al-Qamus” mengatakan bahawa Juha adalah gelarannya, sedang namanya yang sebenar adalah Dajin bin Thabit. Akan tetapi Ibnu Hajar di dalam kitab “Lisanul Mizan” menafikan bahawa Juha adalah Dajin bin Thabit.

Berkata Hafidz ibn 'Asakir :
Juha hidup lebih dari seratus tahun. Dan ini semua tertulis dalam kitab 'uyun tawarikh''
Milik Ibnu Syakir alkutubi
Dan dalam kitab ميزان الاعتدال  karya imam Adzhaby 
jilid pertama halaman: 326
tertulis:
Juha adalah seorang tabi'in(muridnya sahabat), ibunya adalah pembantunya Anas bin Malik رضي الله عنه.




2. Nasruddin Hoja merupakan seorang ulama Turki yang hidup di akhir abad 14. Nasruddin Hoja lahir di desa khortu, Sivri Hisar, Anatolia Tengah, Turki pada 776 H/ 1372 M dan meninggal di kota Ak-Shehir, Daerah Konya pada 836 H/ 1432 M dan dikebumikan di Kota itu. Ketika masih kecil Nasruddin sudah terkenal dengan kecerdikannya yang aneh. Sehingga rakan-rakannya selalu teruja mendengar percakapannya, sehingga mereka melalaikan pelajaran sekolah. Gurunya  berkata, "Nanti, bila engkau dewasa, kamu akan menjadi orang bijak. Tetapi, sebijak apa pun kata-katamu, orang akan mentertawakanmu." 
Nasruddin adalah guru sufi yang arif dan kaya dengan humor. Dia menggunakan humor untuk membuka pikiran murid-muridnya. Kerana keluasan ilmunya, Nasruddin mempunyai ramai murid yang berjumlah lebih dari 300 orang. 
Dan disinilah dia mendapat gelar "Khawja", "Hoca", "Avanti", "Efendi", atau ditempat lain diberi gelar "Maulana", "Mullah", dan "Syaikh". Di Malaysia gelar tersebut berarti "Tok Guru". Kalau di Mesir dikenali sebagai 'JUHA".

Kisah-kisah Juha terlalu banyak. Saya ingin petik cerita yang berkaitan dengan haiwan dan daging sahaja. Huhu.


Begini kisahnya :


Hanya kuah kijang sahaja yang ada.

Pada suatu hari, seorang petani telah menghadiahkan kepada Juha seekor kijang yang besar. Bagi menyatakan rasa terima kasihnya, Juha telah memasak dan menjamu petani tersebut dengan daging kijang tersebut. Apabila pulang petani tersebut menceritakan kepada adik beradiknya tentang kelazatan daging kijang yang dimasak oleh Juha.

Dua hari kemudian datanglah dua lelaki yang tidak dikenali oleh Juha. Mereka memperkenalkan diri dengan mengatakan kami adalah saudara kepada petani yang menghadiahkan kijang kepadamu tiga hari yang lalu.

Juha menghormati mereka dengan memasak daging kijang yang masih ada dan menjamu mereka. Setelah pulang, dua bersaudara tersebut menceritakan pula kepada jiran mereka tentang kelazatan masakan Juha.

Beberapa hari kemudian datanglah empat orang lelaki ke rumah Juha. Juha tidak kenal akan mereka. Kata mereka : “kami adalah jiran kepada saudara-saudara petani yang menghadiahkan kamu seekor kijang dahulu”.

Juha menghormati mereka dengan memasak baki daging kijang yang masih ada dan menjamu mereka. Setelah mereka kembali ke kampung. Mereka menceritakan keenakan masakan Juha kepada jiran masing-masing.

Selang beberapa hari, Juha dikunjungi oleh sekumpulan lelaki yang lebih ramai. Mereka berkata : “Kami adalah jiran kepada jiran saudara lelaki yang menghadiahkan kijang kepadamu dahulu”.

Masing-masing terbayang keenakan masakan Juha. Tidak lama kemudian Juha keluar dari dapur dengan membawa beberapa buah mangkuk yang berisi air.
Kata Juha : “Jemputlah minum, hanya inilah sahaja yang saya ada sekarang. Anggaplah ini adalah sup daripada daging kijang tersebut. Mungkin jika saya menghidangkan daging kijang kepada kamu semua, nanti seluruh penduduk kampung akan datang ke rumahku ini. Sedangkan daging kijang tersebut sudahpun habis dimasak.

Begitulah kisah Juha yang berkaitan dengan daging.

Apakah pengajaran dari kisah ini ?


#PermaiMenulis
#Juha




No comments: