Monday, September 24, 2018

Telah ditetapkan ajal

Selepas pengebumian di tanah perkuburan. Kelihatan Mak Saudara saya (Kakak ayah yang sulung) bersama "sedara mara" yang lain

Pagi tadi baru saya mendapat info saudara saya PakWe Khalid telah kembali ke rahmatullah selepas maghrib.
Bergegas saya ke tanah perkuburan kampung Batu Sawar Temerloh.
Selain ada hubungan saudara mara, pakwe Khalid  merupakan rakan sekelas ayah semasa bersekolah di SK Batu Sawar, Temerloh.
Beliau bukanlah anak sulung, tetapi digelar 'Pakwe balik'. Setelah nama gelaran yang berasaskan giliran nombor adik beradik  habis untuk abang dan kakak di atasnya, sampai gilirannya terpaksa pusing balik semula ke gelaran yang pertama iaitu We. 

Kadangkala ayah tak balik ke rumah selepas sekolah. Tetapi pergi ke rumah sahabat/saudara. Pergi pula sehelai sepinggang, hanya beruniform sekolah. Esok dengan pakaian sekolah tu lah pergi semula ke sekolah. Antara rumah yang dikunjungi termasuklah rumah pakwe Khalid.

Gambar sekitar tahun 1962-63, rombongan orang kampung ke Kuala Lumpur. Ketika itu Ayah saya (bulatan hijau) dan Pakwe Khalid (bulatan bitam) dalam darjah 1-3

Selepas pencen askar, beliau balik kampung dan bertugas sebagai imam masjid kampung Telok Sabak. 
Saya pernah membonceng dengan beliau dari kampung ke jeti. Kemudian kami naik bot tambang menyeberang ke Kuala Krau. 
Ketika itu ada program tadarus al-Quran sempena bulan Ramadan  di Masjid pekan Kuala Krau. Sekarang sudah ada jambatan yang boleh terus sampai ke Kuala Krau. 

Semoga almarhum ditempatkan di syurga, kita semua juga akan menyusul ke alam sana. 

Pakwe Khalid (tshirt putih) bersama Ustaz Tuan Ibrahim 
#PermaiMenulis #CatatanImamKecil #seputarmemorisilam #hidup #mati 

No comments: