Wednesday, August 27, 2008

Penghijrahan..
Hijrah Rasulullah s.a.w ialah suatu peristiwa besar yang pernah berlaku dalam sejarah Islam. Peristiwa hijrah pada zaman Rasulullah membawa maksud perpindahan Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah. Banyak pendapat berkaitan hijrah ini. Ada yang berpendapat tiada lagi peristiwa hijrah selepas hijrahnya Rasulullah s.a.w. Ada juga yang berpendapat hijrah bermaksud berpindah dari suatu tempat ke tempat yang lain. Berubah dari sifat keburukan kepada kebaikan juga boleh membawa maksud hijrah.

Hijrah adalah perubahan, hijrah adalah reformasi. Firman Allah S.W.T. "Barang siapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak." (QS 4:100 dan QS 16:41).

Sudah menjadi tabiat alam, yang lama akan pergi (berhijrah) dan yang baru yang datang, tua akan digantikan yang muda. Mustahil untuk kekal selamanya. Hanya Pencipta Maha Esa sahaja yang layak untuk sentiasa kekal sampai bila-bila.

Mungkin saya juga akan melakukan suatu penghijrahan, tidak tahu lagi ke ceruk mana saya akan didamparkan. Namun di sini, di sana, di situ atau di mana-mana kita berada, perjuangan untuk Islam mesti dilaksanakan. Walaupun telah bertukar negara, negeri, daerah, mukim, bandar, kampung dan desa kerja untuk Islam mesti dilakukan tanpa ada sebarang pengecualian.

Walau di posisi mana pun kita berada, mesti kita bekerja untuk Islam semaksima kemampuan kita, kalau kita di posisi tukang masak maka kita akan menjadi sebagai seorang tukang masak yang berkhidmat untuk Islam. Kalau kita sebagai seorang guru, maka posisi itu akan kita gunakan untuk perjuangkan Islam.

Begitulah…

Mungkin penghijrahan ini membuat perasaan saya bercampur baur. Sedih dan gembira, dua perasaan yang bermain serentak dalam diri ini.

Akhirnya…

Doakan, agar saya terus thabat dalam perjuangan ini dan mampu menghadapi apa jua cabaran dan ranjau duri yang mendatang. Ada umur kita dapat berjumpa lagi …jika tidak diberi ruang, mudahan kita dapat bertemu di kemudian hari nanti di Syurga Allah yang indah..Ameen.

Wasalam.
kelana jalanan...

Thursday, August 07, 2008




Memanah ; Bukan Sekadar Sukan Biasa


Sebelum memulakan aktiviti memanah, pastikan anda memakai pelapik jari (finger tab), pelindung lengan (arm guard) dan pelindung dada (chest guard) untuk tujuan keselamatan. Peralatan utama adalah nock panah dan busar. Pengiraan markah pula berdasarkan warna sasaran nock panah iaitu kuning (9/10 markah), merah (7/8 markah), biru (5/6 markah), hitam (3,4 markah) dan putih (1,2 markah).

Memanah adalah antara aktiviti sukan pada zaman Rasulullah s.a.w. Terdapat sebuah kisah di mana Nabi pernah berjalan-jalan dan menjumpai sekelompok sahabatnya yang sedang mengadakan Pertandingan Memanah, maka pada waktu itu, Rasulullah s.a.w. telah memberikan dorongan kepada mereka dengan sabda Baginda: "Lemparkanlah panahmu itu, saya bersama kamu." (Riwayat Bukhari) Allah s.w.t. berfirman: "Dan bersiap-siaplah kamu untuk menghadapi mereka (musuh) dengan kekuatan yang kamu sanggup."Dalam menafsirkan ayat ini Rasulullah bersabda: "Ketahuilah! Bahawa yang dimaksud 'kekuatan' itu ialah memanah - beliau ucapkan kata-kata itu tiga kali." (Riwayat Muslim) Dan sabdanya lagi: "Kamu harus belajar memanah kerana memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu." (Riwayat Bazzar, dan Thabarani dengan sanad yang baik)


Berdasarkan dalil-dalil di atas, dapat disimpulkan bahawa aktiviti memanah ini memang amat digalakkan oleh Islam kepada muslimin dan muslimat seluruhnya. Memanah bukan sahaja satu cabang sukan yang berprestij malah ia merupakan kemahiran dalam peperangan.


Alhamdulillah, setakat ini kelab memanah MTNP mengadakan sesi latihan sebanyak dua kali seminggu yang dibahagikan kepada dua kumpulan. Moga-moga ahli kelab terus istiqamah mempelajari sukan ini. Semoga usaha-usaha untuk mendekatkan diri kita dengan sukan tanpa meminggirkan prinsip Islam akan berjalan dengan lancar dan mendapat redhaNya.