Thursday, February 05, 2009

Kena bercakap-cakap


Malam Kelmarin saya bercakap-cakap lagi. Lokasinya di Masjid Daerah Benta. Esok saya akan bercakap meneruskan cakap-cakap saya yang lepas di Pejabat Risda Daerah Lipis. Sepanjang saya di sini, mungkin agak pelik bagi diri saya sendiri iaitu saya sudah jadi banyak cakap, padahal perihal sebenar saya merupakan seorang yang pendiam. Saya telah bercakap di Masjid Kg Relong, Masjid Kg Lalang, Masjid Kg Tempoyang, Surau Kg Beletik, Surau Kuarters Guru Benta, tidak termasuk cakap-cakap saya di Masjid Daerah Lipis lagi.

Saya memang tidak pandai bersyarah apatah lagi berceramah, hanya boleh bercakap-cakap kosong sahaja. Persoalannya ialah kenapa perlu juga bercakap. Mungkin jawapan yang sesuai untuk diberikan ialah Islam mesti terus dikembangkan bukan sahaja kepada mereka yang bukan Islam tetapi yang lebih penting lagi ialah perlunya memberikan pemahaman yang jelas dan betul mengenai Islam terhadap penganut yang sudah asli beragama Islam.

Rata-rata kini, umat Islam khasnya masyarakat awam perlunya didedahkan mengenai pemahaman Islam yang sebenar. Masalah yang timbul di sini ialah mereka yang sepatutnya turun memberikan pemahaman mengenai Islam tidak muncul-muncul. Ada pun kebiasaannya ialah tenaga yang memang sudah sedia ada sejak bertahun-tahun dulu. Tenaga yang sedia ada inilah diperah untuk meneruskan misi dakwah Islamiah. Kebanyakan tenaga ini sudah berusia yang mana stamina mereka sudah agak menurun dek faktor usia yang semakin bertambah. Di mana agaknya tenaga muda yang secara angkanya semakin hari semakin bertambah, tetapi apa puncanya sehingga mereka tidak dapat dikesan.

Setiap daerah rasanya terdapat sekolah-sekolah yang banyak. Setiap sekolah dan Institusi pendidikan memang ada lebih dari seorang yang merupakan lulusan agama yang memang mempunyai kelayakan untuk meneruskan misi perjuangan Rasulullah s.a.w. Tetapi lumrahnya tidak semua dari mereka yang berbuat demikian, Ramai dari mereka hanya sekadar berkhidmat menyampaikan ajaran Islam sekadar mengikut tempoh jam bekerja, tidak lebih dari itu, mereka tidak berminat untuk turun bersama masyarakat di masjid-masjid, surau, balai Islam dan sebagainya..Tidak dinafikan bukan semuanya seperti itu…

Akhirnya, saya menyeru kepada golongan muda yang saya juga masih sangat belia remaja lagi, marilah kita sama-sama mengisikan diri kita bersama-sama para daie yang ikhlas berjuang menegakkan ajaran Islam. Jihad dalam konteks yang luas bukan hanya berperang tetapi banyak lagi aspek-aspek yang lain antaranya ialah menyebarkan Ilmu pengetahuan dan memberi faham masyarakat mengenai ajaran Islam sebenar yang syumul.

Sekian..

Tuesday, February 03, 2009

KEWAJIPAN HARI INI

Melihat kepada zaman yang begitu mencabar ini, khususnya terhadap Islam yang dilanda pelbagai krisis, seperti krisis identiti, pemikiran, budaya, akhlak dan ilmu pengetahuan maka beberapa langkah yang perlu diambil untuk mengatasinya.

Di sini disertakan beberapa langkah yang perlu kita laksanakan.

>Kewajipan memahami Islam secara sahih. Masalah sekarang ramai di kalangan kita yang menokok tambah dan mengurangi sesuatu perkara dalam Islam. Islam adalah agama yang berdiri atas ilmu dan kefahaman maka sudah semestinya perlu untuk kita memahami Islam sejelas-jelasnya.


>Kewajipan beramal dengan Islam. Tidak cukup Ilmu itu disimpan dalam kepala semata-mata, mereka membaca, belajar, membuat kajian tetapi kemudiannya tidak melakukan apa pun hanya cukup sekadar pengetahuannya sahaja.


>Kewajipan berdakwah kepada Islam. Tidak memadai hanya diri kita sendiri sahaja yang baik, kita juga mempunyai tanggungjawab untuk memberi kefahaman Islam kepada orang yang lain.


>Kewajipan bersatu di atas Islam. Sudah tentu kita tidak boleh bersendirian dalam melaksanakan kerja-kerja Islam. Perlunya gerak kerja secara amal jamaie yang mempunyai keterikatan ukhwah sesama kita. Kita berkasih kerana Allah, saling ziarah menziarahi kerana Allah.

Inilah beberapa langkah yang wajib kita laksanakan bagi mengatasi masalah-masalah yang banyak di kalangan umat Islam. Ayuh…

Kita mulakan sekarang….


Monday, February 02, 2009

PROGRAM ZIARAH KE WAD KANAK-KANAK HOSPITAL KUALA LIPIS


PROGRAM ZIARAH KE WAD KANAK-KANAK HOSPITAL KUALA LIPIS

TEMPAT : WAD KANAK-KANAK HOSPITAL KUALA LIPIS.

Sempena tahun baru hijrah 1430H, Pihak pengurusan Masjid bersama ahli kelab penyokong Masjid Sultan Mahmud, Kuala Lipis telah meraikan pesakit di wad kanak-kanak Hospital Kuala Lipis. Para pesakit dari pelbagai kaum menerima sedikit sumbangan makanan dan bubur Asyura’. Di samping itu, pihak masjid juga dapat menjalinkan hubungan yang lebih erat dengan pihak hospital. Kerjasama dan sokongan dari ahli jemaah dengan pihak hospital terutama para jururawat yang bertugas di wad kanak-kanak tersebut amat menggalakkan dan insyaAllah program ini akan dijayakan lagi di masa yang akan datang.




Sunday, February 01, 2009


PROGRAM MEMASAK BUBUR ASYURA’



MASA : 6.30 PAGI HINGGA 4.00 PETANG

TEMPAT : RUANG DAPUR MASJID SULTAN MAHMUD

Sempena 10 muharam 1430H, Pihak pengurusan Masjid bersama ahli kelab penyokong Masjid Sultan Mahmud, Kuala Lipis telah bergotong royong memasak bubur Asyura’. Sebanyak 4 kawah bubur Asyura dimasak. Bubur Asyura diagihkan kepada ahli jemaah masjid dan Wad Kanak-kanak Hospital Daerah Lipis. Kerjasama dan sokongan dari ahli jemaah amat menggalakkan dan program ini akan dijayakan lagi di masa yang akan datang.