Thursday, June 30, 2016

Catatan Imam Kecil : Walaupun mereka hanyalah buruh

Antara ahli jemaah tetap di masjid kami ialah beberapa orang warga Indonesia yang datang mencari rezeki di sini. Ada di kalangan mereka yang bekerja membuat rumah/binaan, ada yang bekerja mengambil upah menjaga ladang kelapa sawit, menjaga rumah burung layang-layang dan pelbagai macam kerja lagi.

Ketika musim Ramadhan ini, mereka bersama kami iftar di masjid dan terus iktikaf di masjid sehingga selesai berterawih 20 rakaat. Walaupun siangnya mereka penat bekerja namun tetap istiqamah beriktikaf di masjid.

Mereka juga rajin membantu para pegawai masjid. Saya doakan agar mereka murah rezeki, dipermudahkan segala urusan dan istiqamah berjemaah di Masjid. 

Wednesday, June 29, 2016

Pak We Abu Samah kembali ke rahmatullah

Hj Abu Samah yang saya gelar Pak We, Suami kepada Mak saudara saya (kakak ayah saya) telah meninggal dunia petang semalam. Malamnya masih berterawih dan bertadarus di Masjid Abu Bakar Temerloh. Dalam pukul 1 pagi mengadu sesak nafas dan masuk ke hospital Temerloh pada pukul 2 pagi. Akhirnya ajalnya tiba dalam pukul 2.50 petang.
Jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Pengkalan Manggis di bawah seliaan Masjid Daerah Temerloh. Selama puluhan tahun, Almarhum semasa hidupnya merupakan ahli jemaah Masjid Daerah Temerloh. 

Al-Fadhil Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkesempatan menziarahi pusara Almarhum.

Beliau pernah menjadi calon bertanding di pilihan raya umum tahun 2004 di Dun Jenderak mewakili Parti Islam Semalaysia, Pas.

Kami doakan  roh Almarhum ditempatkan  bersama para salafussaleh dan syuhada' yang berjuang menegakkan Islam. Semoga keluarga Almarhum semuanya tabah dan sabar dengan pemergian Almarhum di bulan Ramadhan yang berkat ini. Amin.

Monday, June 27, 2016

Kisah Ramadhan (KIRAM 11) Ayam Golek


Teman  berbuka saya pada hari ini di Masjid Sultan Mahmud adalah Ustaz Afnan dari Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang dan Ustaz Atan dari Majlis Ugama (MUIP) Cawangan Lipis.

Rezeki kami semua petang ini, Tokey Ayam Golek berketurunan Pakistan  yang berniaga di bazar datang berkongsi rezeki dengan kami. Kami bertiga mengadap seekor ayam golek, fuh.. Semoga murah dan berkat rezeki peniaga tersebut.

Saya teringat kenangan menjamah 'Firah Mashwi' di Shoubra dahulu. Kadangkala jika kami semua yang duduk serumah malas nak masak, call sahaja  ke kedai Firah Mashwi untuk oder. Nanti pekerja dari kedai tersebut datang dengan menaiki basikal menghantar ayam seekor yang kami oder. Biasanya complete set selain ayam sekor yang dipanggang, roti 'Aish' Faadi juga disertakan, huhu.. Bila la agaknya nak melawat kedai Firah Mashwi lagi.

Thursday, June 23, 2016

Kisah Ramadhan (KIRAM 10) IFTAR bersama JKR

Disebabkan tahun ini, masjid kami tidak menganjurkan Iftar Jamaie untuk penyertaan Jabatan-Jabatan, NGO dan Parti politik, makanya kali ini JKR pula yang menjemput saya beriftar di tempat mereka. 
Jangan pelik kalau saya sebut tempat iftar  JKR yang  dibuat di Setor JKR Lipis. Ejaannya memang 'Setor'. 
JKR antara jabatan dan agensi yang rapat dengan saya. Sudah bertahun-tahun kelas mengaji saya bersama Staf JKR diadakan di sini. Bangunan masjid dan kuarters juga diselia oleh pihak JKR memnyebabkan secara tak langsung saya sentiasa berhubung dengan pihak JKR.

 Saya bawa Nordin dan Umair untuk join sama

Seputar Memori Silam : Khatam Al-Quran





Sekarang kita masih berada dalam Bulan Ramadhan yang sangat istimewa. Al-Quran diturunkan dalam bulan ini. 
Pada malam Al-Qadar turunnya Al-Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia. 
Firman Allah : 
انا انزلناه في ليلة القدر
"Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam Al-Qadar" 
(Surah Al-Qadr : 1)

Kemudiannya Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur melalui perantaraan malaikat Jibril kepada Rasulullah SAW bermula pada 17 Ramadhan tahun 610M ketika Rasulullah SAW sedang berada di gua Hira'.

Peristiwa penurunan Al-Quran yang  lebih dikenali Nuzul Al-Quran disambut dan diingati saban tahun. Di negara kita, ada negeri yang cuti khas sempena nuzul al-Quran termasuklah negeri Pahang. 

Masjid, surau, NGO, Komuniti dan Jabatan menganjurkan pelbagai program sempena dengan Nuzul Al-Quran. Saya tidak mahu ulas aktiviti dan program yang dianjurkan. Cukuplah sekadar saya menyatakan semoga dengan program dan aktiviti yang dianjurkan oleh pelbagai pihak  bersempena dengan nuzul Al-Quran semakin dapat mendekatkan diri kita  dengan Al-Quran.


Kenangan terindah di bulan Ramadhan ialah saya berjaya mengkhatamkan hafazan al-Quran ketika belajar di Maahad Tahfiz dalam bulan Ramadhan. Kebanyakan di kalangan kami memang telah 'set' masa untuk menamatkan hafazan dalam bulan Ramadhan untuk mengambil keberkatan bulan yang istimewa itu. Doakan semoga saya terus istiqamah sebagai 'Hamlatul Al-Quran' insya-Allah.

Sambutan Nuzul Al-Quran di KOMPAS

Sempena dengan hari Nuzul AL-Quran, pihak Kompleks Pendidikan Al-Istiqamah (KOMPAS) dengan kerjasama rangkaian Al-Baghdadi Temerloh telah menganjurkan program sambutan Hari Nuzul al-Quran bersekali dengan perasmian Kompleks Pendidikan Al-Istiqamah.
Antara program yang dilaksanakan ialah Tahsin Surah Al-Fatihah oleh Ustaz Zarimi selaku Mudir Maahad Tahfiz Al-Istiqamah. Beliau juga memberi pendedahan bacaan wajah-wajah Qiraat dalam surah Al-Fatihah. Program pertandingan hafazan al-Quran juga diadakan untuk pelajar-pelajar yang mengikuti kelas Nadi  Al-Baghdadi.
Pada sebelah petang diadakan riview program hafazan melalui kaedah Nadi Al-Baghdadi yang menggunakan Neuro dan berakhir sesi petang dengan majlis khatam al-Quran dan tahlil.
Kemudian majlis Iftar, solat terawih dan ceramah Nuzul Al-Quran serta perasmian oleh YB Ustaz Nasruddin selaku ahli parlimen Temerloh.




 4 orang alumni pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang
 Solat terawih yang diimamkan oleh Ustaz Zarimi Al-Hafiz, beliau membaca dengan Qiraat Imam Warsh 'an Nafi'. Teringat ketika bersolat terawih di Masjid  Al-Azhar dahulu, Syeikh Hakim yang menjadi imam akan membaca dengan qiraat-qiraat yang berbeza di setiap rakaat. 

Wednesday, June 22, 2016

Kisah Ramadhan (KIRAM 9) Jaulah Imam ke Masjid Kampung Talus/Dala

Setiap kali bulan Ramadhan, Ketika mana ramai yang memilih untuk berprogram di masjid-masjid bandar dan ternama. Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Pejabat Agama Islam Daerah akan menganjurkan program mesra masjid Ihya' Ramadhan (Jelajah Imam)  ke masjid-masjid kampung. 

Untuk tahun ini, saya berkesempatan bertandang  ke sebuah masjid kampung Talus/Dala.
Uniknya nama Masjid ini, kena sebut sekali Talus dan Dala. Kata Tok Empat, Talus seberang sana, tapi akan disebut sekali.

Masjid ini agak terpencil dari pandangan orang yang lalu lalang, berada pula di kampung yang jumlah penduduk semakin suram. Solat Jumaat hanya tamam 12 orang sahaja. Kalau nak kira 40 orang, tak merasalah orang kampung ini untuk solat Jumaat. Kuliah pengajian ilmu langsung tiada, tiada kemampuan untuk panggil penceramah. Jika panggil pun belum tentu penceramah sanggup hadir.

Mereka bercerita tentang orang muda lari keluar dari kampung mencari pekerjaan. Yang tua pula semakin sedikit, pergi tak kembali (meninggal). 






 Kami wakil Pejabat Agama Islam Daerah Lipis, (Ust Amin, Saya dan Ustazah Fasha) yang muda. Penduduk kampung semua veteren.

 Juadah memang tiptop, sebab masak guna kayu api.

Ketika Iftar, Saya kira hanya 13 orang kampung lelaki dan perempuan yang hadir. Kata mereka : beginilah kampung ini, Kami dah biasa..
'
Tazkirah selesai Iftar, saya sentuh berkaitan Nuzul Al-Quran.

Solat terawih, semuanya warga emas.


 Bergambar kenangan bersama penduduk kampung. Insya-Allah ada ruang saya akan bertandang lagi. Betapa mereka sangat gembira dengan kehadiran kami.

 Sedikit sumbangan yang tidak seberapa dari Pejabat Agama kepada pihak masjid.

 Paling berharga di masjid ini, Mimbar lama yang masih digunakan. Cerita Tok Empat Kampung (ketua kampung) Dulu ada orang nak buat yang baru, tapi dia tak setuju sebab sayang dengan mimbar tersebut.

 tahun 1969 yang tercatat di Mimbar. 

Semoga masa depan Masjid Kampung Talus/ Dala semakin cerah.. Insya-Allah, kita optimis dengan masa depan Islam yang gemilang.


Tuesday, June 21, 2016

Catatan Imam Kecil : Masuk Akhbar Sinar

Keratan akhbar Sinar semalam. Sebelum ini nama dan gambar  saya pernah masuk dalam akhbar khususnya Sinar. Cuma kali ini lain sikit dari kebiasaan. Semoga saya diberi kekuatan untuk menjalankan tanggungjawab menjaga dan memakmurkan Rumah Allah SWT.

Catatan Imam Kecil : Akhirnya selesai cerita Kerat Meja

Akhirnya semalam, meja yang dihantar kerat  ke kedai kayu supaya saiznya kecil sedikit dari asal siap. Terima kasih kepada yang membantu untuk mengangkat meja, Ustaz Adib, Wafi, Amin, Bilal Zarimi dan Bilal Johne, semoga Allah membalas jasa kalian.
Mungkin akan datang ada masalah lain pula yang akan timbul di dewan ini.. nantikan kisahnya.





Seputar Memori Silam : Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan.

Sabtu kelmarin, saya berkesempatan menjejakkan kaki ke Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan. Tempat ini banyak merakamkan memori silam saya terutama ketika bergelar pelajar Maahad Tahfiz Masjid Negeri dahulu. 

Kini, saya semakin jarang berkunjung ke Masjid Negeri, antaranya kerana faktor parking yang susah di tengah bandar Kuantan. Lebih selesa untuk mencari masjid yang berada di pinggir bandar. Semoga Masjid Negeri terus menyerlah khususnya dalam Negeri Pahang. Saya percaya pentadbirannya sentiasa merancang pelbagai aktiviti dan program demi untuk memajukan lagi Masjid Negeri.

Bersebelahan dengan Masjid Negeri, terdapat deretan  bazar yang menjual pelbagai juadah untuk berbuka puasa. Ramai orang yang berkunjung ke bazar tersebut, cuma saya perhatikan gerai yang paling ramai pengunjung sampai kena berbaris panjang ialah di gerai Murtabak Ghazali dari Pekan. Gerai lain takde lah sampai kena berbaris. Yang saya tahu murtabak yang terkenal di Pekan ialah Murtabak Mengkasar dan Murtabak Mawar. Orang luar biasanya mencari Murtabak Mengkasar dan orang Pekan lebih memilih Murtabak Mawar. Saya syorkan untuk mencuba Murtabak Pekan baik Mengkasar mahupun Mawar.

Wakaf yang menjadi rebutan di Masjid Negeri, kerana hanya ada satu sahaja. Zaman saya belajar dahulu belum ada lagi. 

Saturday, June 18, 2016

Seputar memori silam : Sejarah itu Indah

Masa  lalu  tidak boleh diulang kembali. Hanya menjadi kenangan dan sejarah. Kata Lagenda tinju dunia, Allahyarham Muhammad Ali " Sejarah itu indah" .
Kelmarin, Saya berkesempatan melawat Time Tunnel di Cameron Highland, saya kongsikan sebahagiannya di sini : 



Bersedia untuk berangkat jauh merantau. Saya pernah terbaca ketika Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz baru pulang dari Mesir, ketika itu orang kampung tidak berapa cam dengan penampilannya yang berpakaian moden. Melihatkan beg pakaiannya yang bertuliskan nama Nik Abdul Aziz barulah mereka tahu di depan mereka ialah TGNA. -Saya agak mungkin beg semacam ini bentuknya.

Pelbagai jenis telefon bimbit yang berubah-ubah mengikut zaman. Telefon Atur di zaman pertengahan 80an-awal 90an. Saiz telefon besar siap sekali dengan beg. Ketika itu kebanyakan orang bisnes yang menggunakannya. Saya ketika itu menggelarnya telefon kereta. Kerana kebiasaannya orang akan meletakkan telefon tersebut di dalam kereta untuk dicas dan payah untuk dibawa ke hulu hilir kerana saiznya yang besar dan berat.

 Jalan Berhala di Brickfields. Dahulu tulisan jawi disertakan, sekarang perlu diperkasakan semula kerana buta jawi kebanyakannya buta juga membaca Al-Quran. Di Temerloh terdapat kampung Berhala Gantang yang dibuka oleh Ulama'.

 



 Penulisan poskad sudah semakin dilupakan kini.

 Saya nak tunjuk gambar iklan ubat ikan kod. Dahulu semasa kecil saya minum minyak ikan tu lah.

 Saya pun tak tahu benda apa ni, sama ada mainan atau  alat tulis. Jangan main tikam punya dah la..huhu.


Akhirnya saya petik video ini - https://youtu.be/Gs-YTePcrh8


History So Beatiful - Muhammad Ali

Friday, June 17, 2016

Beli Busur Tradisional

Sebelum ni saya pernah menjadi penasihat kepada Kelab Memanah Maahad Tahfiz Negeri Pahang ketika berkhidmat di sana. Baru sekarang merasa nak memanah semula mengenangkan memanah antara sunnah Rasulullah di samping  banyaknya ganjaran dan fadhilatnya.

Antaranya disebutkan dalam Riyadussalihin susunan Imam Nawawi mengenai memanah. Saya sertakan sedutan kuliah Ustaz Dr. Basit :





 Busur tradisional keluaran Ar-Rouha
Berdasarkan pengalaman, insya-Allah hari ni oder, terus depa pos ke alamat kita.


 Busur Recurve yang berada di kampung halaman
 Adik bongsu saya selaku otai Busur Recurve..huhu
Ada kemajuan mungkin boleh upgrade ke Compound pula





Thursday, June 16, 2016

Kisah Ramadhan (KIRAM 8) : Travel ke Cameron Highland

Bulan Ramadhan pergi travel?, jangan pelik pula..buat biasa-biasa sahaja.
Kebetulan Nordin (imam terawih) dah terlalu lama tak pergi ke Cameron, katanya darjah 2 dulu pergi. Jadi ada kesempatan hari semalam saya pun ajak Nordin dan Umair berjalan-jalan ke Cameron Highland. Sebenarnya hampir setiap tahun saya bawa imam terawih jemputan yang menjadi imam di masjid kami berjalan ke Cameron, sebab kebanyakannya tak pernah lagi pergi ke tanah tinggi tersebut. Walhal saya pun zaman bekerja ini lah baru berpeluang ke Cameron Highland..huhu.



Singgah sebentar di Masjid Koyan, setelah lama terbengkalai akhirnya masjid baru ini mula digunakan awal Ramadhan tempoh hari. Kedudukan masjid yang strategik di tepi jalan utama mungkin boleh difikirkan oleh pihak yang berkenaan untuk menaik taraf Masjid Qaryah ini menjadi Masjid Daerah.

 Menariknya berjalan ke Cameron time ni, memang lengang, tiada orang sangat. Boleh bergambar sepuas hati


 Jungle tracking dalam bulan Ramadhan.