Luahan


Subscribe

RSS Feed (xml)

Sunday, November 20, 2016

Apa ada Pada Pelangi




Sambil menekan pedal deras, Kulihat pelangi mewarnai langit Tembeling, Terbayang panas yang terik, kemudian turun hujan yang membasah akhirnya muncul pelangi yang indah mata memandang.


Masa sekolah rendah, cikgu mengajar cara nak ingat warna pelangi. Kata cikgu : Maikel Jackson Kena Hantar Balik India Utara lalu kuingat sehingga sekarang Merah, Jingga, Kuning, Hijau, Biru, Indigo, Ungu. 

Dalam cerita kartun, di penghujung pelangi biasanya terdapat harta karun. Haha...
Bukan terpengaruh dengan kartun tetapi pernah rasa ingin tahu dan nak cuba pegang pelangi ketika di alam sekolah rendah lalu pernah kucari jejak pelangi sehingga masuk ke hutan belukar namun natijahnya gagal..huhu..

Namun cerita pelangi menjadi sedih. Terbit rasa ingin marah bila melihat bendera LGBT bertemakan warna pelangi.

Mujur ada air terjun Pelangi di Sungai Lembing, akan ku pergi berziarah ke sana, Insya-Allah.

Thursday, November 17, 2016

Kelas Hafazan di Masjid

Kelas Hafazan petang tadi


Alhamdulillah sekarang kelas hafazan di Masjid Sultan Mahmud berjalan pada setiap petang Rabu. Sebelum ini kelas hafazan pernah dibuat pada pagi rabu sebelum terhenti dek kerana menyambut Ramadhan dan Syawal.

‘Muridnya’ tak ramai kerana  ramai yang tak berani dan takut untuk join kelas hafazan ini.
Kelas hafazan yang kami jalankan ini perjalanannya tidaklah macam kelas di Maahad Tahfiz. Kelas ini lebih bersifat santai dan kita sentiasa buka penyertaan kepada sesiapa yang berminat.

Jujurnya saya berasa kagum  dengan semangat pelajar dewasa yang join kelas ini membuatkan saya teruja dan lebih bermotivasi untuk terus bersama mereka menjayakan kelas hafazan di masjid ini.

Pernah sebelum ini, sebelum kelas hafazan sesi pagi terhenti ada pelajar yang sudah  peringkat makcik dan hanya suri rumah sahaja telah berjaya menghafaz sehingga 3 juz.

Kelas hafazan sekarang, terdapat  seorang pelajar lelaki tingkatan 2 yang turut serta.  Walaupun bukan belajar di sekolah menengah agama tetapi saya percaya bacaan dan hafazannya mungkin lebih baik dari sesetengah pelajar sekolah agama. Mana-mana pelajar sekolah menengah atau rendah yang lain juga sangat kami alukan untuk turut serta.

Saya terkenang ketika rutin harian mendengar hafazan para pelajar ketika di Maahad Tahfiz. Selepas solat subuh sehingga pukul 7.15 pagi. Bersambung kelas yang lain pula dari pukul 8.00 pagi hingga sepuluh pagi. Kemudian kelas hafazan yang lain lagi bermula selepas maghrib sehingga jam 9.00 malam. Saya juga berkesempatan bersama dengan kelas hafazan pelajar UIA Kuantan yang bermula selepas Isyak.


Insya-Allah, doakan semoga saya berterusan Istiqamah membangunkan kelas-kelas Al-Quran di sini.

#PermaiMenulis
#Tahfiz
#DiBawahKerlipanBintang
#LoveQuran
#HamlatulQuran

Tuesday, November 15, 2016

Mushaf Imam Syu'bah

Mushaf Syu'bah


Imam 'Asim mempunyai dua perawi yang masyhur iaitu Syu’bah dan Hafs.
Kata Imam 'Asim : Qiraat yang aku bacakan pada Hafs berdasarkan apa yang aku ambil daripada Abi Abdul Rahman al-Sulami daripada Ali bin Abi Talib.
Manakala qiraat yang aku bacakan kepada Syu’bah ialah apa yang aku ambil daripada Zirr bin Hubaisy daripada Abdullah bin Mas'ud.

Kerajaan Brunei Darussalam telah lama mencetak Al Quran Riwayat Syu'bah dan telah dibaca oleh rakyat Brunei dengan meluasnya. Kita harap suatu hari nanti orang Malaysia akan terdedah dengan Mushaf Riwayat Syu'bah  kerana Syu'bah dan Hafs adalah dari Imam yang sama iaitu 'Asim An-Najjud .
Oleh kerana kedua-dua Rawi iaitu Syu'bah dan Hafs adalah dari Imam yang sama, maka keseluruhan bacaan kedua-duanya adalah hampir sama . Hanya ada beberapa khilaf  dari segi Usul Qiraat. 


Insya-Allah projek ngaji Qiraat Imam Syukbah kita akan mulakan tahun hadapan di Masjid Sultan Mahmud, Insya-Allah.

#PermaiMenulis #PermaiDiHati #Syu'bah #Qiraat #LoveQuran #AlQuran

Monday, November 14, 2016

Cerita Kelas Qiraat di Masjid


Baru selesai kelas Qiraat bagi Imam Nafi' Al-Madani untuk riwayat Imam Qalun dan Warsy. Walaupun kurang sambutan tetapi saya  tetap berazam untuk teruskan. Paling tidak saya dapat  murajaah  semula, jika tak buat kelas ini alamatnya memang tinggal terus. Berbeza jika mengajar di Maahad qiraat, nak tak nak akan 'bermain' dengan manhaj ini.

Hari ini datang  seorang lelaki sebagai 'murid' baru. Murid dewasa yang lain semuanya perempuan. Sebelum ni ada juga lelaki, 2 orang pelajar persijilan IP (Institut Pertanian), depa dah tamat belajar di IP kini balik ke kampung halaman masing-masing.

Seorang lagi lelaki yang cukup konsisten ialah  Dr pakar Hospital Lipis, tapi dah beberapa bulan bertukar ke hospital Terengganu. Maka jadilah semua pelajar solid perempuan.

Brother ni pulak lepasan pondok di Kelantan. Sekarang dalam proses ‘cari balik’ katanya setelah  lama meninggalkan pondok.



Kesimpulannya, saya petik kata-kata mereka :

Jangan pernah jemu @ putus asa dalam menyampaikan dan mencari Ilmu. -Adawiah-

Tuntutlah ilmu barangsiapa yang berjalan untuk menuntut ilmu maka Allah akan mudahkan jalan untuknya ke syurga" –Wazin-

Takde henti dalam tuntut ilmu –Fahmi-

Jangan pernah berhenti menimba ilmu. Ilmu itu akan betul-betul dirasai apabila anak murid melepaskan egonya lalu merendah diri dihadapan gurunya. –Sakinah-

Nak betul-betul dapat hadam ilmu tu, kene ajar semula kat orang lain. Seperti hadis :
خيركم من تعلم القرآن وعلم Belajar & mengajarkannya. – Diana –

Belajar dan terus belajar supaya ilmu yang pernah dipelajari tak hilang begitu sahaja – Fatiemah –
Ilmu dan Amal  -Hanis-

Tak kira Ler..ade pangkat ke kerje baguh ke, kalau boleh bace Quran baguh..Mantop dah. –Adlin-

Moga istiqomah dengan amalan yang dilakukan – Aina –

Apapun pekerjaan kita, apa pun pun status kita, jangan tinggal untuk kita berdamping dengan Allah.. Berhubung dengan Allah melalui ayat-ayat suciNya. –Aqem-     

#PermaiMenulis  #PermaiDiHati #LoveQuran




Sunday, November 13, 2016

Sepotong kek


Menjamu sepotong kek, jadilah..huhu.. Bersama Syeikh Faqar yang baru seminggu di Malaysia.
Sambil mendengar kisah rakyat Mesir yang 'kekurangan gula', terpaksa beratur panjang untuk membeli gula.
Rakyat negara kita pula ramai yang terlebih gula!.

Saturday, November 05, 2016

Geng (Ashab) Sabtu

Salam Sabtu
Pagi Sabtu ni sambil-sambil mengeteh dengan kawan-kawan (ops, ada yang ambik Muet hari ni) mari kita berkenalan dengan Ashab Sabtu..
{وَاسْأَلْهُمْ عَنِ الْقَرْيَةِ الَّتِي كَانَتْ حَاضِرَةَ الْبَحْرِ إِذْ يَعْدُونَ فِي السَّبْتِ إِذْ تَأْتِيهِمْ حِيتَانُهُمْ يَوْمَ سَبْتِهِمْ شُرَّعًا وَيَوْمَ لَا يَسْبِتُونَ لَا تَأْتِيهِمْ كَذَلِكَ نَبْلُوهُمْ بِمَا كَانُوا يَفْسُقُونَ } 
Maksudnya : Dan tanyakanlah kepada Bani Israil tentang kota yang terletak di dekat laut ketika mereka melanggar aturan pada hari Sabtu, di waktu datang kepada mereka ikan-ikan (yang berada di sekitar) mereka terapung-apung di permukaan air, dan di hari-hari yang bukan Sabtu, ikan-ikan itu tidak datang kepada mereka. Demikianlah Kami mencuba mereka disebabkan mereka berlaku fasik
Al-A'raf :163

Siapa ? : Mereka adalah kaum Bani Israil.
Di mana ? : Tinggal di Ailah (berdekatan dengan Laut Merah di antara Madyan dan Tur Sina).

Mereka diperintahkan untuk beribadah dan tidak dibenarkan keluar bekerja dan menangkap ikan pada hari sabtu.

Allah uji mereka dengan mendatangkan ikan yang sangat banyak pada hari Sabtu.
Akhirnya ada di kalangan mereka yang telah melanggar peraturan yang ditetapkan dengan keluar menangkap ikan.

Walaupun kisah ini berkaitan Bani Israil, namun pengajarannya perlu diambil oleh kita semua.

Antaranya : Ujian dari Allah adakalanya berupa kemewahan,kesenangan dan dikurniakan rezeki yang banyak.

Keberkatan dalam mencari rezeki yang halal. Biar sedikit tetapi berkat dari hasil yang banyak tetapi meragukan.

Thursday, November 03, 2016

Anak panah Islam




Kalam masyhur yang mampu menggerunkan musuh-musuh Islam :
"Aku adalah anak panah, daripada anak-anak panah Islam. Campakkanlah aku ke mana sahaja, aku tetap berjuang demi Islam."-Saad bin Abi Waqas-
Ketika Khalifah Saidina Abu Bakar al-Siddiq meminta Amru al-Ash mengetuai tentera untuk pembukaan Syam, kata beliau :
" Sesungguhnya aku adalah anak panah daripada anak-anak panah Islam, sementara kamu adalah pemanahnya. Panahlah dengan menggunakan anak panah tersebut di mana sahaja yang kamu mahu".

Jom memanah, saya juga masih baru belajar memanah. 

Tuesday, November 01, 2016

Setalam bersama Delegasi Kolej Yayasan Pahang



Hari ini kami makan dalam talam bersama :
1. Dato' Norhishamuddin bin Yaacob - Pengarah Urusan Kolej Yayasan Pahang.
2. Ustaz Mohd Rashimi bin Mohamed - Dekan Akademi Pengajian Islam dan Bahasa Arab KYP
3. Ustaz Mohamad bin Razali - Guru Smart Tahfiz Kolej Yayasan Pahang
Sempena kunjungan pihak pengurusan KYP ke Maahad Tahfiz Al-Istiqamah, Temerloh. Semoga jalinan Ukhwah bertambah erat.

Friday, October 21, 2016

Kome Promosikan Syam Pomen


Baru ni saya berkesempatan mengeteh dengan Tuan Hj Shamsuddin atau lebih terkenal dengan panggilan Syam Pomen. Rasanya lebih 5 tahun saya tak mengeteh dengan beliau. Dulu ketika saya masih belum berkerjaya seusai tamat pengajian di Mesir, hampir setiap hari akan mengeteh dengan beliau dan pastinya bersarapan di Oldtown Temerloh sesudah solat subuh. Lebih menarik beliaulah yang akan belanja dan payung saya. haha.

Sehingga sekarang saya masih menghantar kenderaan untuk  servis di bengkel Syam Pomen. Bengkelnya yang terletak di Taman Temerloh Jaya berdekatan dengan Masjid Taman Temerloh Jaya sentiasa dipenuhi oleh pelanggan. Saya syorkan anda servis kenderaan di sini.


Boleh melawat ke Blog Tuan Hj Syam yang dah bersawang : http://syampomen.blogspot.my

FB : https://www.facebook.com/Bengkel-Syam-Temerloh-161205480745284/

#PermaiMenulis #PermaiDiHati #ServisKenderaan #SyamPomen #Ruu355 #KelanaJalanan

Thursday, October 20, 2016

Festival Memasak Asyura dalam kenangan

Bila tiba bulan Muharam, menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita membuat bubur Asyura. Jabatan Agama Islam Pahang juga ada menganjurkan pertandingan memasak bubur Asyura peringkat negeri. Kami atas nama Pejabat Agama Islam Daerah Lipis bergabung dengan jemaah Masjid Daerah turut sama mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.

Saya telah berkesempatan untuk turut serta pada tahun 2009, tahun 2010 dan 2011. Kebiasaannya saya menjadi ketua kumpulan. Bukan kerana saya pandai memasak bubur Asyura tetapi disebabkan jawatan yang saya sandang. 

Sekarang pertandingan memasak bubur Asyura sudah lama tidak diadakan. Mungkin kerana tidak mendapat tajaan kewangan. Apa pun saya telah mendapat pengalaman menyertai suatu pertandingan bercorak masakan secara berkumpulan.

 Tahun 2010 di Muadzam Shah
Tahun 2011 di Raub

Tahun 2012 di Lipis. Cuma sedihnya gambar saya hilang dari simpanan disebabkan pen drive diserang virus. Jika saya perolehi semula saya akan update semula nanti. huhu..