Luahan


Subscribe

RSS Feed (xml)

Sunday, February 17, 2008

Bangkit Berjuang
Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnianya telah mengurniakan kita dengan pelbagai nikmat yang tidak terhingga banyaknya seperti nikmat kesihatan, nikmat ukhwah, nikmat pendidikan, nikmat keluarga, nikmat kesenangan dan pelbagai lagi nikmat yang tidak dapat kita hitung banyaknya . Namun seharusnya kita perlu sedar dan bertambah bersyukur lagi kerana kita dikurniakan dengan dua kurniaan nikmat yang paling besar dan jauh lebih berharga berbanding dengan nikmat-nikmat lain iaitu nikmat Islam dan Iman.

Rafak Syukur yang tidak terhingga dengan kurniaan dua nikmat ini, Islam dan Iman. Lahir-lahir sahaja ke dunia secara automatik telah kita warisi kedua nikmat ini tanpa perlu kita bersusah payah untuk mendapatkannya. Berbanding golongan terdahulu yang tidak mudah untuk mendapatkan nikmat ini. Namun atas jasa golongan terdahulu yang begitu bersungguh-sungguh berjuang mengembangkan Islam ini akhirnya kini kita mendapat nikmat ajaran Islam ini.

Jika menyelusuri sejarah silam, terbaca kita kisah-kisah para Sahabat, Tabi’en, Ulama-ulama, para Mujahid yang begitu bersungguh-sungguh berjuang untuk mengembangkan Islam. Mereka berjuang sehinggakan ada yang bermatian dan bermandikan darah. Matlamat mereka hanya untuk menyebarkan ajaran Islam ini. Tidak terlintas pun dalam fikiran mereka “sudah cukup aku dan kaum keluargaku sahaja yang beriman” tapi apa yang terlintas di fikiran mereka inginkan seluruh alam ini menerima dan beriman kepada Allah S.W.T.

Teringat nostalgia silam ketika mana Islam berjaya menguasai dan memerintah 3/4 dunia. Ketika itu seolah seluruh dunia mengakui bahawa khalifah (Amirul Mukminin) merupakan BOS dunia dan seluruh umat Islam bersatu di bawah pemerintahan Islam yang ditadbir oleh Khalifah.

Alhamdulillah, kini Islam merupakan agama yang terbesar dan dikenali di seluruh dunia. Boleh dikatakan hampir tiada lagi dalam dunia ini yang tidak pernah mendengar kalimah ISLAM. Begitulah perjuangan dan pengorbanan golongan terdahulu dalam mengembangkan ajaran Islam. Terkenang kita bagaimana jerih payahnya mereka dahulu ketika melaksanakan misi mulia ini, berlayar di lautan samudera (kapal dahulu mana ada enjin), berkuda dalam hujan dan panas di daratan maju menuju ke seluruh pelusuk dunia bermatlamatkan untuk menyebarkan Islam.

Namun begitu, akibat kelalaian kita sendiri, musibah besar telah menimpa kita umat Islam. Bermula dengan kejatuhan kerajaan-kerajaan Islam yang akhirnya membawa kepada jatuh dan lenyapnya pemerintahan Khalifah Islamiah Uthmaniah Turki pada tahun 1924. Sejak dari itu umat Islam menjadi hilang arah seperti anak ayam yang hilang ibunya, tiada khalifah yang menjadi ketua, lalu dunia menyaksikan umat Islam terus ditimpa musibah demi musibah. Musibah terbesar apabila orang Islam yang mengaku beriman sendiri yang memusuhi ajaran Islam yang sebenar. Tindak tanduk mereka seolah-olah mereka bukannya beragama Islam dan kadangkala mereka lebih melampau berbanding dengan orang bukan Islam.

Jadi apa yang perlu kita lakukan sekarang??, ayuh bangkitlah bangun berjuang, kita ambil kembali semangat pejuang-pejuang terdahulu. Kita ingat kembali jerit perih mereka terdahulu dalam menegakkan dan memulakan rantai perjuangan ini. Sedarlah kita hanya menyambung kembali rantai-rantai perjuangan yang telah dimulakan oleh mereka. Menjadi fitnah besar jika sekiranya rantai perjuangan itu tidak mampu kita sambungi apatah lagi rantai itu terputus disebabkan kelalaian kita.

Malu kita kepada mereka, dengan dunia serba canggih dan mudah ini jikalau kita tidak mampu untuk menggalas tugas dalam memastikan rantai perjuangan itu terus bersambung dan bergerak.

InsyaAllah kita akan pastikan bahawa rantai perjuangan itu akan terus bersambung dan bergerak. Untuk itu banyak perkara yang perlu kita ambil berat dalam memastikan arus perjuangan Islam ini terus mekar. Bersedia untuk 8 hari bulan 3 nanti..

wasalam

Thursday, February 14, 2008


KEWAJIPAN MENGUNDI MENGIKUT HUKUM SYARA’

OLEH DATO' HAJI HARUN TAIB

Menegakkan Pemerintahan Islam
Pemerintahan Islam itu berbentuk khilafah atau Imaratul Mukminin ataupun al Imamah al ‘Uzma. Ia merupakan sebuah pemerintahan yang berteraskan kepada syariat Islamiyyah sama ada pada perlembagaannya, undang-undangnya, ekonominya dan lain-lainnya. Ia ditakrifkan oleh Al Mawardi, Abu Yu’la, Ibnu Khaldun dan lain-lain dengan maksud :
“mengalang ganti kenabian dalam urusan menjaga agama dan mentadbirkan dunia dengannya”.
Pengertian ini dibuat berdasarkan kata-kata Abu Bakar Al Siddiq r.a. sesudah wafatnya Rasulullah s.a.w. maksudnya:
“Muhammad sudah wafat, maka agama ini sudah pasti memerlukan orang yang mengurusnya”.
Kata-kata ini terus mendapat sokongan dan persetujuan padu dari kalangan para sahabat yang menghadiri perhimpunan Saqifah Bani Sa’adah yang berakhir dengan pencalonan beliau (Abu Bakar) sebagai khalifah menggantikan Rasulullah s.a.w.

Hukum Menegakkan Pemerintahan Islam
Ramai di kalangan ‘alim ulama’ yang bercakap tentang perkara ini, yang biasa didengari ialah seperti Al Imam Al Mawardi, Abu Yu;la, Ibnu Khaldun, (faqih Siasi), Imam Al Haramain Al Juwaini, (Faqih Ijtima’ie), Imam Al Ghazali, (Faqih Tasawwuf) dan lain-lain lagi. Sebagai contoh kita ambil sahaja kata-kata al Faqih al Ma’ruf Ibnu Hazam Al Andalusi:

“Para ulama’ daripada Ahlu Sunnah wal Jamaah, Al Murji’ah, As Syiah dan Khawarij bersatu pendapat dalam mengatakan bahawa menegakkan Pemerintahan Islam itu adalah wajib, maka seluruh umat berkewajipan melakukan taat kepada Imam yang adil yang menegakkan ke atas mereka hukum hakam Allah, yang mentadbir dan memerintah mereka dengan syariat Allah yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Namun begitu terdapat satu puak daripada Al Khawarij yang bergelar Al Najdat mengatakan bahawa tidak wajibnya menegekkan kerajaan yang serupa itu. Walau bagaimanapun mereka sudah tidak wujud lagi dewasa ini.

Pendapat mereka ditolak oleh Ijma’ mereka yang telah disebutkan itu, lebih-lebih lagi apabila kita dapati Al-Quran dan Al-Sunnah turut menyatakan wajibnya menegakkan pemerintahan yang serupa itu.

Wajibnya menegakkan Pemerintahan Islam itu berdasarkan Syara’ dan berdasarkan ‘Aqal
Kita telah menyatakan bahawa menegakkan pemerintahan Islam itu wajib. Apakah wajibnya itu berdasarkan syara’ atau berdasarkan ‘aqal atau kedua-duanya sekali?

Al Mawardi, Abu Yu’la, Ibnu Hazam dan Ibnu Khaldun menyatakan bahawa syara’ dan ‘aqal sama-sama mewajibkan kita menegakkan pemerintahan Islam. Hal ini berdasarkan Al-Quran, Al-sunnah, Al-Ijma dan ‘aqal (logik).

Ayat ini menfardhukan kepada kita mentaati Allah, Rasul dan Ulu Al Amri yang memerintah kita.
Selain dari Al-Quran dan Al-Sunnah, para sahabat dan tabi’in telah sebulat suara mengatakan wajibnya menegakkan pemerintahan yang serupa itu (Pemerintahan Islam).

Dari segi logiknya pula, manusia itu tidak boleh hidup dalam keadaan porak peranda tanpa tanzim, maka setiap tanzim perlu kepada pihak yang berkuasa, maka yang berkuasa di dalam sesebuah negara ialah pemerintah. Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:
“Jika tiga orang berada dalam pelayaran maka hendaklah mereka melantik seorang ketua”.
Hadis ini menunjukkan bahawa nabi mewajibkan perlantikan ketua dalam kumpulan yang kecil, maka apatah lagi kumpulan yang lebih besar dan tersebar.
Cara-cara Menegakkan Pemerintahan Islam

Sebelum itu, kita telah menyatakan bahawa Pemerintahan Islam itu berbentuk khilafah. Pembentukan dilakukan melalui perlantikan pemimpin tertinggi iaitu khalifah dan khalifah pula akan melantik pembantu-pembantunya sama ada jemaah menteri, ahli syura dan lain-lain.
Dalam keadaan biasa, perlantikan khalifah itu berlaku melalui tiga peringkat pencalonan, penapisan calon dan pungutan suara rakyat yang berhak bersuara. Ia dikenali dengan Bai’ah Ammah.

Hal ini dipetik dari peristiwa perlantikan Saidina Abu Bakar Al Siddiq, di mana beliau dicalonkan dan disahkan pencalonannya di dalam perhimpunan Saqifah Bani Saidah, kemudian selepas itu dilakukan ‘baiah 'ammah’ di masjid Al Nabawi.

Baiah 'ammah itu kadangkala dipanggil pungutan suara ramai, kadangkala digelar dengan nama Al Syahadah iaitu para saksi yang juga dipanggil pengundi memberikan penyaksiannya bahawa calon itu adalah layak memiliki syarat-syarat yang dikehendaki oleh Islam.
Kewajipan Ummah di dalam Menegakkan Pemerintahan Islam

Sama ada persetujuan kepada pencalonan yang kita sebutkan di atas dibuat atas nama ‘Baiah Ammah’ atau ‘Al Syahadah’ maka setiap umat Islam yang aqil baligh wajiblah menyertainya. Atas nama baiah ianya wajib kerana bersandarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang maksudnya:

“Sesiapa yang mati dan tidak pernah melakukan baiah nescaya matinya itu dalam keadaan jahiliyyah”.

Antara maksud lafaz baiah itu ialah:
“Aku memberi baiah kepad kamu dengan syarat kamu menegakkan kepada kami Kitab Allah dan Sunnah Rasulnya”.

Adapun atas nama Al Syahadah, ianya diwajibkan bersandarkan kepada antara lainnya Firman Allah Ta’ala, maksudnya:
“Dan hendaklah kamu persaksikan dua orang yang adil dari kalangan kamu”. (At Talaq:2)
Firman Allah lagi, maksudnya:
“Dan hendaklah menegakkan syahadah semata-mata kerana Allah”. (At-Talaq:2)
Firman Allah Ta’ala lagi, maksudnya:
“Dan janganlah kamu menyembunyikan syahadah dan sesiapa yang menyembunyikannya maka sesungguhnya berdosalah hatinya”. (Al-Baqarah: 283)

Oleh kerana itu para pengundi haruslah mempunyai syarat-syarat yang ada pada saksi, antara lainnya bersifat adil. Mereka memberikan persetujuan kepada seseorang calon itu hanya berdasarkan kelayakan peribadi dan matlamat pencalonan seperti mana hadith Rasulullah s.a.w. yang maksudnya:
“Aku memberi baiah kepada kamu dengan syarat kamu menegakkan kepada kami Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya”.

Mendaftar Diri Sebagai Pemilih
Sayugia diingatkan bahawa menegakkan pemerintahan Islam di Malaysia memerlukan kepada proses mendapat suara majoriti di dalam dewan rakyat atau dewan negeri. Untuk mendapat suara majoriti di dewan rakyat atau dewan undangan negeri mestilah memenangi kerusi terbanyak di dalam dewan-dewan tersebut.

Untuk memenangi kerusi-kerusi yang dipertandingkan di dalam pilihanraya mestilah mempunyai pengundi yang ramai (majority). Undi yang serupa itu tidak akan diperolehi kecuali para pencinta Islam layak menjadi pengundi.

Mereka tidak akan layak mengundi (mengikut peraturan yang ada) kecuali mereka didaftarkan sebagai pemilih. Oleh kerana itu dan berdasarkan kepada fakta-fakta yang telah kita bentangkan di atas dan berdasarkan kaedah fiqh:
“Sesuatu yang wajib tidak sempurna melainkan dengannya maka ia menjadi wajib”.
Maka dengan itu mendaftarkan diri sebagai pengundi di dalam negara Malaysia ini adalah menjadi wajib mengikut hukum syara’.
Kesimpulan dan Penutup
Semua mengetahui bahawa melaksanakan hukum syara’ itu adalah wajib. Ia tidak boleh dilaksanakan kecuali wujudnya kerajaan Islam. Maka mewujudkan kerajaan Islam adalah wajib.
Dalam konteks Malaysia hari ini, proses menegakkan kerajaan Islam dibenarkan oleh undang-undang adalah melalui pilihanraya, maka menyertai pilihanraya untuk tujuan tersebut adalah wajib. Seseorang itu tidak mengundi di dalam pilihanraya kecuali dia adalah seorang yang layak dan berdaftar sebagai pemilih secara sah. Maka mendaftarkan diri sebagai pemilih adalah wajib.
“Sesuatu yang wajib tidak sempurna melainkan dengannya akan ia menjadi wajib”.

12 FEBRUARI
12 FEBRUARI, tarikh yang agak sukar untuk kita congak simboliknya kepada kita. Ada apa dengan 12 februari? Hari memperingati apa?12 februari tidak pernah meminta di sambut kedatangannya, dan laluilah 12 februari seperti mana biasa.Namun 12 februari 1949, telah mencatatkan satu peristiwa penuh tragis, syahidnya Imam Hassan Al-Banna, pergi menghadap Allah untuk selama-lamanya.

Kisah pembunuhan As-syahid Imam Hassan Albanna diceritakan sebagai;Ketika kejadian, Hassan Al Banna berjalan bersendirian di jalan Ramsis, Kaherah berhampiran dengan pejabat Jam'iyatus Syubbanil Muslimin (Persatuan Pemuda Islam). Bukti perancangan mereka terbukti apabila jalan yang biasanya sibuk itu menjadi lengang. Lampu-lampu jalan dipadamkan , semua kedai dan restoran ditutup dan tidak ada kenderaan yang dibenarkan melalui jalan berkenaan kecuali sebuah teksi yang beberapa kali berulang-alik mencari 'sesuatu.'
Oleh kerana tiada kenderaan lain, Imam Al Banna menahan teksi berkenaan untuk pulang ke rumahnya. Dengan tidak disangka-sangka, sebaik sahaja teksi berkenaan berhenti di hadapan beliau, tubuh beliau terus dirobek oleh peluru-peluru yang dimuntahkan oleh senjata pemandu teksi berkenaan.
Bagi menyempurnakan lakonan sendiwara seterusnya, Imam Al Banna di bawa ke Hospital Al Qasrul Aini. Di hospital berkenaan, dengan arahan daripada Raja (Al Malik) Faroq, Imam Al Bana di tinggalkan bersendirian tanpa diberi rawatan kecemasan hinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. Tarikh 12 Februari, lebih 53 tahun yang lalu menjadi saksi pembunuhn kejam dan terancang pihak berkenaan ke atas imamul-jihad, As Syahid Hasan Al Banna.

Dalam aspek lain, seorang raja telah menangguhkan hari jadinya dari 11 Febuari kepada 12 Febuari untuk sama berpesta meraikan dengan mereka yang meraikan kematian Imam al-Banna. Seorang pemikir (Sayid Qutb) menceritakan bahawa dia telah melihat pesta-pesta di salah sebuah hotel di Amerika yang merayakan kegembiraan terhadap kematian Imam al-Banna.
Bukti Perancangan semakin terserlah apabila pada 4/7/49 kerajaan Al Malik Faroq mengisytiharkan anugerah khas kepada konspirator utama yang merancang pembunuhan berkenaan, iaitu ketua di jabatan siasatan jenayah Kementerian Dalam Negeri, Amir Mahmud Bek Abdul Majid dan pemandu serta pemilik teksi berkenaan. Mereka dianugerahkan elaun khas di atas jasa dan kesungguhan berkhidmat memastikan keamanan negara.

Darah seorang syuhada yang harum bak kasturi itu telah menjadi baja kepada sebuah kebangkitan Islam yang akhirnya karya serta fikrah perjuangan yang dicetuskannya menjadi manhaj wajib kepada generasi kebangkitan Islam kini.
Beberapa sedutan komentar mengenai Imam Hasan al-Banna :

Ustaz Umar Tilmisani pernah menyatakan : “Sesungguhnya peranan Hasan al-Banna umpama tiupan angin lembut dan basah kala dinihari, mengibas debu-debu semalam yang telah melekat pada daun-daun pokok bunga yang sedang dilamun mimpi yang enak pada kesepian akhir malam sehinggalah terbitnya matahari pada waktu pagi. Pengajaran Hasan al-Banna menyedarkan orang-orang yang sedang tidur dan lalai. Beliau mendapat sambutan mesra dan hangat ibarat keindahan bunga mawar, jasmin, rerumput aas dan nasrin yang sedang mekar semerbak mewangi, mendatangkan keseronokan kepada orang-orang bertasbih memuji keindahan ciptaan Allah”

Tantawi Jauhari : “Pada pandanganku, Hasan al-Banna lebih hebat daripada Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad Abduh. Beliau adalah contoh gabungan ketakwaan dan kepintaran siasah yang menakjubkan. Beliau berhati saidina Ali dan berakal Muawiyah. Aku melihat pada beliau sifat-sifat pemimpin yang telah kehilangan dari dunia Islam”

Dr. Ishak al-Husaini : “Hasan al-Banna ibarat ensiklopedia yang luas lagi lengkap. Beliau berbicara mengenai semua tajuk biarpun tanpa persediaan. Beliau menggunakan gaya bahasa yang mudah dan ungkapan-ungkapan yang sesuai.”


Perjuangan yang telah beliau tinggalkan tidak akan terpadam begitu sahaja. Rantai perjuangan itu akan terus bersambung. InsyaAllah doakan bersama agar kita semua termasuk dalam kelompok yang menyambung rantai perjuangan itu. Moga kita sentiasa thabat, istiqamah dan bersemangat..
Akhirnya..
Mudahan kita semua dapat menggunakan peluang pilihan raya kali ini sebagai medan jihad untuk kita semakin menghampirkan diri kepada Allah.
Allahuakbar….