Wednesday, January 31, 2018

Remaja pilihan

Perasaan bersua dengan remaja yang bersedia untuk dibentuk menjadi manusia rabbani sangat mengujakan. 
Sukarno pernah berkata : Beri aku 10 orang pemuda. Nescaya akan kugoncangkan dunia. 
Waktu remaja dan muda, potensi dan keupayaan sedang mekar.
Masih berasa girang dan baru hendak mengenal dunia.
Kebanyakan tenggelam dalam arus duniawi.
Berasa usia masih jauh dengan kematian.

Namun..masih ada di sana para remaja dan anak muda yang ingin diproses. Proses memanusiakan manusia.
Mereka adalah manusia pilihan yang terpilih. Sejahteralah mereka.


#capen

Back To School

Sesi persekolahan tahun 2018 telah dibuka. Sedar tak sedar bulan Januari hampir bertemu dengan bulan Febuari. Agak terlambat untuk saya mengucapkan selamat kembali ke sekolah atau dalam bahasa inggerisnya disebut “back to school’ .
Zaman ini, ketika hari pertama persekolahan. Pelbagai ragam ‘luar biasa’  pelajar, guru mahupun ibu bapa penjaga ditularkan.
Ada guru yang memakai kostum super hero seperti SpiderMan dengan harapan dapat menceriakan pelajar khususnya pelajar pra atau tahun satu yang diistilahkan baru belajar nak ‘bercerai’ dengan mak ayah.
Ragam para pelajar sudah tentu sangat menarik untuk dirakamkan  bagi para jurufoto. Ada yang bawa bantal, bawa botol susu, merengek, menangis dan pelbagai karenah lagi.
Ibu bapa ?
Juga tidak terkecuali. Baru ini tular terdapat ibu bapa yang memenuhi kerusi di kantin sekolah.  Sehinggakan para pelajar tidak ada tempat untuk duduk. Macam-macam.

Kata orang dewasa : Alam yang menyeronokkan ialah ketika di bangku persekolahan. Cuma di sisi kanak-kanak dan para remaja, mereka berangan untuk menjadi orang dewasa. Bagi mereka orang dewasa tidak perlu lagi membuat ‘homework’ , tidak perlu ‘study’, tidak perlu ‘exam’, tidak dimarahi cikgu, tidak kena denda atas kesalahan-kesalahan seperti tidak bawa buku dan datang lewat. 

Saya sentiasa teringat kenangan semasa bersekolah dahulu. Saya percaya masing-masing juga mempunyai kenangan terindah yang kini menjadi nostalgia.
Akan saya cuba  hikayatkan kisah semasa saya di tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah. 
Semoga menjadi kenangan saya sendiri selain rujukan buat generasi akan datang.


#PermaiMenulis
#backtoschool
#seputarmemorisilam

Sunday, January 28, 2018

Timulak Kapal Perang

Timulak Kapal Perang

Sebuah novel remaja yang ditulis oleh Azmah Nordin. Mendapat tempat ketiga peraduan Anugerah Novel Sejarah Kebangsaan 1988. Uniknya tiada pemenang untuk tempat pertama dan kedua.
Novel ini mula diterbitkan pada tahun 1989 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Kemudiannya dicetak beberapa kali. Pernah digunakan sebagai buku komsas tingkatan dua.
Saya mempunyai novel keluaran 1989 yang dibeli di kedai buku BACA Temerloh.
Cetakan tahun 1989

Cetakan tahun 2008


Sinopsisnya saya petik dari blog : http://duniapuisiku.blogspot.my


Andayu, Unong, Suri dan Sirah adalah anak-anak gadis di daerah Inanam yang berani dan bersemangat waja dalam menentang penjajah Inggeris. Mereka berjuang bersama-sama dengan pejuang yang lain di bawah pimpinan Penghulu Inanam, iaitu Paduka Mat Salleh. Penduduk Inanam tidak senang dengan tindak-tanduk penjajah Inggeris yang memaksa mereka membayar cukai. Dalam pertempuran dengan pihak Inggeris di Pulau Gaya, pengikut Paduka Mat Salleh berjaya menewaskan pihak Inggeris. Pihak Inggeris kemudiannya bertindak balas dengan membakar harta benda orang kampung. Selepas itu, pihak Inggeris menyerang kubu kuat Paduka Mat Salleh di lereng Gunung Kinabalu.
Dalam pertempuran tersebut, banyak askar upahan Inggeris yang mati. Namun, Paduka Mat Salleh mengarahkan para pengikutnya supaya berundur ke tempat yang lebih selamat. Dia ingin menyusun strategi pertempuran bagi menghadapi kemungkinan serangan daripada pihak Inggeris kelak.

TEMA

Tema bagi novel ini ialah perjuangan seorang gadis remaja dan rakan-rakannya dengan memberi kerjasama kepada Paduka Mat Salleh dalam perjuangan membebaskan bangsa dan tanah air daripada penjajah Inggeris.
Dalam novel ini, watak utama Andayu dan beberapa orang rakannya telah berjuang membebaskan bangsa dan tanahairnya daripada cengkaman penjajah Inggeris semasa campur tangan Inggeris di negeri Sabah. Penjajah Inggeris yang bernaung di bawah Syarikat British Borneo Utara. Andayu menerima tentangan hebat daripada bapanya yang tidak menyokong perjuangannya itu. Walaubagaimanapun, Andayu dan rakan-rakannya telah berjaya menentang penjajah Inggeris hasil daripada semangat keberanian, kegigihan dan semangat patriotik yang padu dalam diri mereka beserta bantuan Paduka Mat Salleh dan orang-orangnya.



WATAK UTAMA

ANDAYU
(a) Berusia 15 tahun.
(b) Anak yatim piatu.
(c) Berbadan langsing dan cantik.
(d) Taat pada perintah Tuhan.
(e) Berani dan kuat semangat.
(f) Tetap pendirian.
(g) Rajin.
(h) Antipenjajah.

WATAK SAMPINGAN
PADUKA MAT SALLEH
(a) Penghulu di daerah Inanam.
(b) Berketurunan bangsawan.
(c) Handal dalam ilmu persilatan dan ilmu batin.
(d) Bijak mengatur strategi peperangan.


HALIPAN
(a) Anak saudara Paduka Mat Salleh.
(b) Tubuhnya tegap dan tinggi.
(c) Handal bersilat dan menggunakan senjata.
(d) Bersemangat tinggi untuk berjuang.

PAK CIK TIDUNG
(a) Bapa saudara Andayu.
(b) Peniaga garam di desa.
(c) Bengis dan panas baran.
(d) Berani.
(e) Berjaya membunuh Jones.

MAK CIK MALA
(a) Emak saudara Andayu.
(b) Pembantu rumah Paduka Mat Salleh.
(c) Memelihara Andayu sejak kecil.
(d) Penyayang.
(e) Pandai bercerita.



AYAH ANDAYU
(a) Asalnya nelayan.
(b) Kemudiannya menjadi penolong pegawai pemungut cukai bagi pihak Inggeris.
(c) Penyayang.
(d) Sensitif dan mudah tersinggung.
(e) Meninggal dunia kerana dipatuk ular senduk.

DAYANG BANDAN
Dayang Bandan ialah Puteri Bangsawan Sulu dan ibu saudara kepada Sultan Jamalul Kiram, Sultan Sulu. Dia juga merupakan isteri Datu Paduka Mat Salleh. Dia memiliki pelbagai ilmu seperti ilmu kebal, ilmu penunduk dan ilmu penggerun. Selain itu, Dayang Bandan berkebolehan menguasai orang halus dan orang bunian, malahan segala ilmu itu diturunkan pula kepada suaminya Datu Paduka Mat Salleh. Puteri bangsawan ini dipantangkan memijak tanah kerana jika dilanggar, keluarganya akan ditimpa bencana.

NILAI

(a) Keberanian.
Nilai keberanian telah digambar oleh pengarang menerusi watak-watak seperti Andayu serta rakan-rakan seperjuangannya. Keberanian mereka berjuang menentang pihak Inggeris serta konco-konconya menyerlah. Begitu juga dengan keberanian pejuang-pejuang seperti Datu Paduka Mat Salleh, Pak Cik Tidung, Pak Cik Ali, Pak Cik Jonan dan ramai lagi semasa berjuang menentang campur tangan orang-orang Inggeris.

(b) Kerjasama.
Pengarang berjaya menonjolkan nilai kerjasama menerusi novel ini. Semangat kerjasama digambarkan melalui watak pengikut-pengikut Datu Paduka Mat Salleh dalam menghadapi sesuatu kesukaran atau rintangan. Misalnya semasa bertempur, ada yang bertempur dan ada pula yang merawat mangsa yang tercedera.

(c) Kebijaksanaan.
Sesuatu tindakan atau keputusan yang dibuat memerlukan kebijaksanaan seseorang menilai kembali tindak tanduknya. Andayu merupakan gambaran tentang kebijaksanaan seorang gadis dalam menghadapi detik-detik perjuangannya. Kebijaksanaannya boleh dilihat apabila dia berjaya mendapatkan maklumat tentang penangkapan Pak Cik Tidung.

(d) Kesabaran.
Kesabaran Andayu serta rakan-rakannya semasa bersembunyi di celah-celah daun simpur berhampiran pangkalan untuk menyiasat peristiwa penangkapan Pak Cik Tidung serta pengikut-pengikutnya. Kesabaran mereka banyak membantu Datu Paduka Mat Salleh mengatur strategi seterusnya.

(e) Kesetiaan.
Semangat setiakawan negara ini merupakan satu nilai yang ingin disampaikan oleh pengarang. Menerusi watak Andayu, Halipan, Datu Paduka Mat Salleh, Pak Cik Tidung dan Haji Utih dapat kita lihat bagaimana nilai tersebut digambarkan. Misalnya, Andayu merupakan watak yang banyak membantu Datu Paduka Mat Salleh kerana semangatnya yang cintakan negara dan tidak mahu orang Inggeris menjadi tuan di daerahnya. Begitu juga dengan Haji Utih, yang bukan sahaja menyumbangkan tenaganya tetapi juga memberikan sumbangan moral dan material kepada pasukan pejuang keamanan secara sukarela.

(f) Kasih sayang.
Perasaan kasih sayang ini telah digambarkan oleh pengarang melalui beberapa watak. Perasaan kasih dan sayang seseorang bapa kepada anaknya, perasaan kasih ibu saudara kepada anak saudaranya, perasaan kasih isteri kepada suami dan perasaan kasih sayang sesama ahli masyarakat, semuanya dapat dilihat dengan jelas dalam novel ini dan digarap dengan baik serta berkesan.

LATAR

1. Latar Masa
- Karya ini memaparkan latar masa lalu, iaitu zaman campur tangan Inggeris di negeri Sabah. Peristiwa-peristiwa yang digambarkan hanya berlaku dalam masa beberapa hari sahaja tetapi melalui teknik imbas kembali sama ada secara penceritaan atau ingatan watak-watak, pengarang membawa ceritanya ke satu latar masa yang terdahulu, misalnya sebelum kematian bapa Andayu.

2. Latar Tempat
- Daerah Inanam, Ranau, Sungai Sugut, Mengkabung, Gunung Kinabalu, Pulau Gaya, Sandakan. - Di rumah Paduka Mat Salleh, rumah Andayu, kubu di lereng Gunung Kinabalu, kota Pulau Gaya.

3. Latar Masyarakat
- Latar masyarakat dalam novel ini merujuk kepada masyarakat Bajau yang diketuai oleh Datu Paduka Mat Salleh, penghulu di daerah Inanam dan menjadi pejuang dalam menentang campur tangan Inggeris di Sabah. Masyarakat ini berpecah menjadi dua kelompok, iaitu yang menentang pihak Inggeris dan kelompok yang menjadi penyokong orang-orang Inggeris. Pengarang juga memaparkan masyarakat orang asli yang menjadi askar upahan orang-orang Inggeris semasa menentang Datu Paduka Mat Salleh serta pengikut-pengikutnya



PLOT

(a) Permulaan - Andayu dan rakan-rakannya secara sukarela menganggotai pasukan keamanan di bawah pimpinan Paduka Mat Salleh.

(b) Konflik - Ayah Andayu tidak suka Andayu menyertai pasukan keamanan sebaliknya dia mahu Andayu memupuk sifat-sifat kewanitaan dalam diri. Pak Cik Tidung mendesak Paduka Mat Salleh menentang pihak Inggeris secepat mungkin.

(c) Klimaks - Pengikut Paduka Mat Salleh bertempur dengan pihak Inggeris di Pulau Gaya untuk membebaskan Pak Cik Tidung dan rakan-rakannya yang dipenjarakan. Pihak Inggeris bertindak balas dengan menyerang daerah Inanam. Kemudiannya pihak Inggeris menyerang pengikut-pengikut Paduka Mat Salleh di lereng Gunung Kinabalu.

(d) Peleraian - Pihak Inggeris mengalami kekalahan ketika bertempur dengan pengikut-pengikut Paduka Mat Salleh di lereng Gunung Kinabalu. Walaupun pihak Inggeris berundur, Paduka Mat Salleh mengarahkan para pengikutnya berpindah ke kawasan yang lebih selamat untuk bersiap sedia menentang pihak Inggeris kelak.

Ulasan saya :
-Perjuangan bukan hanya orang yang tertentu sahaja, misalnya hanya orang lelaki, hanya orang dewasa. Tetapi semua pihak termasuk remaja dan orang perempuan.
-Kesedaran perlu dibentuk sejak dari awal, terutama ketika di zaman remaja lagi.
-Jika ada kehendak dan keinginan untuk berjuang, segala macam ranjau dapat diatasi.

Buku-buku seperti ini sangat baik untuk dibaca, berbanding novel-novel yang hilang jati diri bangsa, agama serta tidak berpijak di bumi yang nyata.


#PermaiMenulis
#BacaBuku
#novel
#sejarah
#pahlawan

#Perjuangan

Saturday, January 27, 2018

Orang kaya mati Orang miskin mati semuanya mati

Orang kaya mati
Orang miskin mati
Raja-raja mati
Semuanya mati

Antara sebahagian lirik lagu yang dinyanyikan oleh Derry Sulaiman.
Sahibul Samahah Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri ada menceritakan perihal Derry dalam kuliahnya ketika beliau secara kebetulan  bertemu dengannya.



Namun..
Tulisan terus hidup.
Walau penulisnya telah lama mati.
Lihat !
Karya ulama silam yang telah berusia ratusan tahun.
Sehingga kini terus dibaca, dikaji dan disyarahkan..

Maka,
Sebelum kita mati.
Ayuh menulis..


#PermaiMenulis
#hidup
#mati


Thursday, January 25, 2018

Jamu dengan makanan tradisi

Setiap  daerah dan negeri biasanya mempunyai makanan tradisi tempatan yang tersohor, sedap dan unik.
Rugi kalau kita bertandang ke tempat orang tetapi makan yang biasa-biasa sahaja. Sebabnya bukannya selalu kita berpeluang nak makan makanan tempatan tersebut.
Sempena jaulah Sahibul Samahah Datuk Dr Zulkifli bin Muhammad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan ke Masjid Daerah Lipis, kami jamu beliau dengan menu tempatan.
Sarapan pulut dan rendang hitam. Orang sini gelarkan pulut tuanku.
Makan tengahari berlaukkan gulai patin masak tempoyak dan pais ikan patin. Al-Fadhil Dr sangat gemar ikan patin.
Beliau juga suka untuk merasa makanan tempatan  di tempat yang dikunjunginya.
Katanya semasa berkunjung ke Mesir, beliau makan merpati sumbat atau dalam bahasa Mesirnya dikenali dengan Hamam Mahsyi. Kalau ke Kedah beliau akan mencari laksa Kedah. 
Pesanan dan cadangan kami buat penganjur program dan ceramah. Jika boleh hidangkan  menu yang agak special buat tenaga penceramah. Seronok dapat menjamu orang dan insya-Allah ganjarannya pun besar di sisi Allah.









#PermaiMenulis
#makan
#sedap
#Lipis
#patin