Monday, April 30, 2007

Sesak Dada
Barangsiapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, niscaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya[503], niscaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit(sesak), seolah-olah ia sedang mendaki langit. Begitulah Allah menimpakan siksa kepada orang-orang yang tidak beriman. (125 : al-An’am)

Perumpamaan dalam ayat ini cukup unik, Allah mengumpamakan orang yang dalam kesesatan dadanya akan menjadi sempit (sesak) seolah mendaki ke langit. Dalam ilmu sains moden, kita memang telah mengetahui bahawa semakin kita tinggi (jauh) dari bumi tarikan graviti semakin berkurangan dan kita akan mengalami kesukaran untuk bernafas, menjadi semput dan sesak nafas, bila kita payah nak bernafas kesannya akan dirasai di dada kita.
Kita tahu kalau angkasawan yang ingin meneroka angkasa lepas memerlukan bekalan oksigen buatan kerana tiadanya oksigen di sana begitu juga pendaki yang ingin mendaki ke gunung yang tinggi seperti gunung Everest juga memerlukan bekalan oksigen buatan kerana mereka berada di tempat yang semakin tinggi.

Maha suci Allah yang maha hebat, membuat perumpamaan seperti ini. Selepas berkurun-kurun al-Quran diturunkan barulah manusia berjaya menaiki, mendaki ke tempat yang tinggi, meneroka angkasa lepas walaupun ada yang berpendapat masih belum berjaya sampai ke langit, tetapi mungkin suatu ketika nanti manusia berjaya berbuat demikian.
Kesimpulannya kita wajib beriman dengan seluruh al-Quran tanpa mempertikaikannya, mungkin orang dulu-dulu boleh berhujah kenapa Allah buat perumpamaan mendaki ke langit, boleh ke naik ke langit ?, tiada contoh lain ke ? bayangkan kalau kita dilahirkan di zaman dahulu kala mungkin kita lah antara yang akan menimbulkan persoalan seperti itu. Tapi kini di zaman serba canggih ini, perumpamaan-perumpamaan ini telah pun dibuktikan Cuma masalahnya bukan kaum muslim yang menemukannya. Kenapa begitu ? persoalan sebegini sebenarnya kita sendiri lebih termaklum akan jawapannya.
Wasalam..

Sunday, April 22, 2007

Untuk lebih Jelas Klik Image...

Thursday, April 19, 2007


Kenapa ye?

Dan (ingatkanlah) hari Tuhan menghimpunkan mereka (yang kafir) dan makhluk-makhluk yang mereka sembah yang lain dari Allah, lalu Dia bertanya (kepada makhluk-makhluk yang telah dipuja dan disembah itu): Kamukah yang menyesatkan hamba-hambaKu itu atau mereka yang sesat jalan? (17: al-Furqan)

Surah Furqan mempunyai 77 ayat. Seluruh ayat dalam surah al-Furqan waqaf dengan alif dan tanwin melainkan pada ayat yang ke 17 ini sahaja yang waqafnya bukan tanwin dan alif. Maha Suci Allah.
Kalau kita teliti lebih kurang macam pantun-pantun kita la, yang sama hujung ayatnya.
Cuma persoalannya kenapa hanya ayat 17 waqafnya ganjil berbanding ayat-ayat lain dalam surah Furqan. Mudah sahaja bagi Allah untuk bagi ayat itu kelihatan sama, tetapi sebaliknya..
Sungguh !!
Allah Maha Kuasa..
Banyak hikmahnya yang masih menjadi rahsia buat kita…
Apa yang penting…Kita selaku HambaNya wajib beriman dengan keseluruhan al-Quran tanpa banyak soal….
Wasalam..

Sunday, April 08, 2007

UMMAH UMMI

"Dia lah Yang telah mengutuskan Dalam kalangan orang-orang (Arab) Yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, Yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad Yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan Yang mendalam mengenai hukum-hukum Syarak). dan Sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah Dalam kesesatan Yang nyata"
(al-Jumuah :2).

Kita masih dalam bulan Rabiul Awal, bulan mulia yang menyaksikan kelahiran junjungan besar Rasulullah s.a.w dilahirkan. Dengan lahirnya Baginda S.A.W bermulanya suatu era baru yang mengubah dunia. Jika sebelum-sebelum ini umat manusia hidup dalam keadaan yang begitu jahil sehinggakan majoriti dikalangan mereka tidak tahu membaca dan menulis yang merupakan kunci kepada ilmu pengetahuan.

Tugas dan Peranan Baginda Rasulullah s.a.w yang sebenarnya turut dikongsi oleh para Daie menurut ayat kedua dalam surah al-Jumuah ini secara pointnya ialah :
- Membacakan ayat-ayat Allah.
(para Daie perlu mahir dalam ilmu al-Quran bukan hanya setakat tahu menafsirkan dan syarah ayat-ayat sahaja tetapi juga perlu mahir membacanya dengan baik dan betul, kerana menjadi sesuatu yang dipandang lekeh oleh masyarakat kalau para Daie masih membaca al-Quran dengan merangkak-rangkak)
-Membersihkan jiwa-jiwa mad’u.
(Istilah lain yang popular ialah ‘tazkiatul nafs’, Daie perlu menunjukkan contoh teladan yang terbaik agar tidak menimbulkan fitnah kepada mad’u.)
-Mengajar mereka berpandukan al-Quran dan Hikmah
(perlu telus dan jujur dengan ilmu walaupun masyarakat @ orang berkedudukan tidak senang dengan kita. Jangan kerana ingin menjaga ‘rice cooker’ maka Daie ‘mengadjust’ ilmu-ilmu yang ingin diajar.)

Sebenarnya saya ingin menceritakan serba ringkas asal usul tulisan arab.
Terdapat dua pendapat :

Riwayat Imam Ad-Dani :
Guru ilmu tulis menulis kepada orang-orang Quraisy yang ‘ummi’ ialah Harb bin Umayyah (Bapa Abu Sufyan). Beliau belajar dari seorang yang bernama Abdullah bin Juda’an. Abdullah bin Juda’an mengambil ilmu ini dari penduduk-penduduk negeri Anbar yang mengambil dari perantau dari negeri Yaman yang datang ke negeri mereka. Perantau (tidak dapat dipastikan identitinya) belajar dari Al-Khaljan bin Muham yang merupakan jurutulis wahyu Nabi Allah Hud a.s.

Riwayat Imam Al-Kalbi :
Harb bin Umayyah<< >> Bisyr bin Abdul Malik<<>>Penduduk Anbar<<>>Maramir bin Murrah, Aslam bin Sidrah, Amir bin Judrah <<>> Jurutulis Wahyu Nabi Allah Hud a.s.

Daripada dua riwayat ini Jelas kepada kita Harb bin Umayyah adalah tokoh penting yang meminkan peranan dalam ilmu tulis menulis.
Wallahua’lam.

Tuesday, April 03, 2007

Maulidul Rasul
Sudah menjadi suatu pengetahuan turun temurun yang begitu lama sehingga menjadi sebati dalam masyarakat dunia amnya dan khasnya Malaysia mengetahui hari Maulidul Rasul jatuh pada hari isnin 12 Rabiul Awal.
Kita juga diajar dengan tarikh yang sama. Serta banyak buku-buku sejarah popular juga menyebutkan tarikh yang sama antaranya kitab yang ditulis oleh Muhammad bin Ishaq.
Ahli sejarah sendiri telah menganggap kitab sejarah Ibnu Ishak adalah yang paling benar dan diakui namun kitab asalnya telah hilang. Setelah itu muncul pula Abu Muhammad Abdul Malek yang lebih dikenali dengan gelaran Ibnu Hisyam yang meringkaskan kandungan kitab Ibnu Ishaq.
Di zaman sekarang banyak buku-buku sejarah moden mengambil rujukan dari kedua-dua kitab sejarah tersebut antaranya Fiqh Sirah (Dr. Said Ramadhan Al Buthi), Sirah Nabawiah, Mustapa Sibai’ (durus wa ibarah) ..
Muncul juga pendapat lain yang mengatakan bahawa hari lahir Baginda Rasulullah bukanlah pada 12 Rabiul Awal seperti kebiasaannya. Pendapat ini menyebut tarikh 12 Rabiul Awal adalah tarikh yang dipopularkan oleh golongan Syiah. Seperti dimaklumi angka 12 adalah angka keramat bagi golongan syiah, seperti terdapat 12 imam besar bagi puak-puak mereka.
Jangan kita jadikan khilaf tarikh sebagai persoalan yang paling utama. Sebenarnya banyak perkara-perkara khilaf di dalam agama. Ada pendapat mengatakan bahawa Khilaf adalah rahmat dan supaya tidak membebankan umat Islam sendiri. Kerana itu wujudnya pelbagai Mazhab yang diterima pakai..
Contoh perkara-perkara khilaf : Bilangan ayat al Quran, banyak sekali pendapatnya , Binatang yang halal dan haram dimakan (berbeza menurut mazhab-mazhab).
Pokoknya mencintai Baginda bukan hanya setakat tahu tarikh kelahiran dan kewafatannya serta mengadakan perarakan sempena hari Maulid Baginda tapi sesungguhnya ia adalah jauh lebih dari itu..
Antara perkara-perkara yang dapat menunjukkan kita cinta pada Baginda Rasulullah ialah, Kita Perlu :

-Mengamalkan, melazimi dan istiqamah dalam melaksanakan ajaran Islam (al Quran dan Sunnah) secara Ikhlas bukannya terpaksa kerana sebab-sebab mendatang yang lain seperti ikut-ikut kawan, malu alah dengan kawan, terpaksa ikut etika kerja seperti mesti bertudung ketika bekerja, takut orang kata…dsb. (Rujuk surah Zumar :55 yang bermaksud ; " Dan turutlah al-Quran, sebaik-baik panduan hidup yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya" )
- Sentiasa berselawat kepada Baginda serta mengamalkan zikir-zikir yang warid dari Baginda. – (Hadis Abu Hurairah r. a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman: Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Aku bersamanya ketika dia mengingati-Ku. Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diri-Ku. Apabila dia mengingati-Ku dalam suatu kaum, nescaya Aku juga akan mengingatinya dalam suatu kaum yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekati-Ku dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekati-Ku sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepada-Ku dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya dalam keadaan berlari-lari anak)
-Menjadikan Baginda Rasulullah saw sebagai Idola dalam semua aspek.
-Mengasihi serta mendampingi para alim ulama’ amilin (kerana ulama’ pun banyak jenisnya ada ulama’ suuq), -Ulama’ adalah pewaris Nabi. (maksud hadis).
-Mengasihi, mendampingi serta turut serta dengan pejuang-pejuang amilin dalam menegakkan Islam tetapi berkeras dengan penentang musuh2 Islam. (Rujuk al Fath :29)
- Menjadi Daie dengan melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar. Biar pun dipandang serong oleh masyarakat.
- Melaksanakan pemboikotan terhadap barang-barang musuh Islam sehabis boleh, seperti contoh yang simple KFC, Pepsi dsb...
Penutup
Sebenarnya banyak lagi perkara yang boleh dilakukan untuk menggambarkan perasaan cinta kita kepada Rasulullah. Ingat kepada Baginda bukanlah hanya pada hari lahirnya sahaja tetapi setiap waktu dan keadaan. Jangan hanya berpunca dari khilaf dari segi tarikh akan menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam. Ketahuilah musuh-musuh Islam sekarang sedang bergelak ketawa melihat Umat Islam yang berpecah dengan faktor-faktor yang remeh dan sebenarnya apa yang berlaku ini adalah dirancang oleh kelompok mereka sendiri. Ayuh kita selaku pendokong lagi pejuang Agama ini bangkit untuk memperjuangkan Islam yang tercinta. Ingat, Tertegaknya Khilafah Islam adalah cita-cita Kita.
Wasalam.