Tuesday, April 17, 2012

Temuduga jawatan pegawai masjid


Khamis lalu, sesi temuduga jawatan imam, bilal dan siak masjid qaryah dalam daerah Lipis. Biasanya dalam setahun 2 kali atau 1 kali sesi pengambilan. Kebiasaannya calon yang datang memang telah pun menjalankan tugas tersebut. Ada yang telah 4 bulan, ada yang setahun bahkan ada yang telah bertahun-tahun. Kalau yang telah bertahun-tahun mereka kata pernah datang temuduga sebelum daripada ini, tetapi tiada jawapan. Sebenarnya kalau tiada jawapan maknanya calon tersebut tidak lulus dalam temuduga tersebut. Pengamalan JAIP & PAID yang lulus sahaja mendapat surat jawapan.
Calon-calon yang datang sama ada telah & akan menjawat jawatan yang dipohon biasanya diminta, disokong dan disyorkan oleh tok empat (ketua kampong). Kebanyakan masjid qaryah memang menjadikan tok empat mereka sebagai pengerusi Masjid @ tok empat menjadikan diri mereka sebagai pengerusi masjid. Ada calon yang memang betul-betul layak dan ada calon yang tidak berapa layak tetapi menjadi sekutu kepada tok empat maka dia dicadangkan.
Tok empat/ pengerusi masjid pula hanya mencadangkan satu nama untuk temuduga. Maka calon yang datang memang merasakan bahawa mereka memang confirm dapat jawatan tersebut. Sepatutnya tok empat mencadangkan 3-4 nama untuk ditemuduga, barulah yang terbaik akan dipilih.
Bagi jawatan imam, pemilihan akan lebih teliti sedikit supaya tidak timbul masalah dan fitnah kemudian hari. Kalau pohon jawatan imam tetapi baca jawi tak reti masalah juga sebab teks khutbah dalam tulisan jawi. Pohon jawatan imam tetapi baca al-quran tak boleh lagi masalah. Hanya harap surah-surah lazim yang dihafal semenjak kecil.

Biasanya tahap imam dan bilal agak sama jika nak dibandingkan dengan siak. Masyarakat faham tugas siak seperti tukang kebun sekolah, tebas semak, cuci longkang, bentang sejadah. Walhal yang sebenarnya  hasrat Jabatan Agama semua jawatan tadi saling ‘cover’ meng ‘cover’. Maknanya bila imam tiada siak mampu ambil tugas sebagai imam dan bilal.

Realiti juga, generasi muda lahir 70an- sekarang sangat sedikit meminati tugas sebagai pegawai masjid walaupun mereka ada kelayakan, ada bacis agama, lulusan tinggi pengajian islam, memang sudah pun bertugas sebagai ‘ustaz’ di sekolah. Tetapi masih tidak meminati tugas sebagai pegawai masjid. Ada bukannya tiada tetapi sedikit. Contoh yang sering diucapkan oleh Timbalan Pengarah JAIP, orang agama sekarang tidak minat menjadi pegawai masjid. Mereka lebih suka memohon menjadi penguatkuasa. Ada yang semasa temuduga  bila ditanya jawatan apa yang dipohon dan kalau ditawarkan menjadi pegawai masjid sanggup menolak kerja tersebut. Mungkin semasa mereka bersekolah dahulu, memang tiada minat mendampingi masjid dan surau. Waktu itu mereka suka ‘raging’ buli junior. Sebab itu jawatan yang diminati sebagai penguatkuasa, boleh tangkap orang, kejar orang.
Tinggallah generasi veteran yang memohon menjadi pegawai masjid. Ada yang sudah kurang pendengaran, tidak berapa nampak. Lain yang ditanya lain pula jawapannya. Ada calon imam yang berkata, saya malam  dan subuh tak pergi ke masjid sebab dari rumah nak ke masjid  kena melintas jalan besar. Gelap-gelap tidak berapa yakin nak bawa motor dan melintas jalan. Maknanya dia pergi masjid waktu siang sahaja itupun bukannya selalu kadang-kadang sahaja sebab selalu uzur pula.
Maka, perubahan perlu dilakukan demi untuk menaikkan syiar Islam, identity dan karisma masjid perlu dibina dan tonggaknya mestilah pegawai masjid perlu dibentuk terlebih dahulu. Pegawai masjid mantap akan lahirkan masjid yang hebat dan bila institusi masjid hebat maka potensi syiar Islam untuk menguasai alam akan cukup terang.
Wasalam.

Thursday, April 12, 2012

Kedai koperasi Masjid


Proses memasang rak untuk kedai koperasi masjid. Borang permohonan kebenaran berniaga dah dihantar ke Majlis Daerah Lipis. Lulus lah hendaknya, orang bumiputera hendak mula berniaga, Islam pula. Kalau dengan bangsa lain senang-senang sahaja depa dapat lesen besar untuk berniaga.


Tuesday, April 10, 2012

Ragam Masjid..speaker rosak


Sudah dekat 3 minggu sistem pembesar suara masjid kami rosak. Mujur ada seorang jemaah menginfakkan portable mic, boleh lah cover sikit-sikit. Hari-hari biasa selain dari Jumaat, makmum muslimat mungkin antara dengar tak dengar pada  waktu solat dan kuliah maghrib.
Masjid selain dari hari jumaat tak lah penuh, sesuku ruangan solat belum tentu penuh. Menjelang jumaat barulah penuh, sampai melimpahi beranda masjid. Masa solat jumaat  pasti ramai yang tak dengar satu habuk pun sama ada masa khutbah ataupun solat jumaat. Tak mampu portable yang kecil tu nak cover.
Setiap pagi sabtu pula sekarang ini dalam tempoh musim kursus haji, ratusan juga pesertanya. Peserta teramainya dari warga veteran tentulah juga tak berapa nak dengar. Pihak Tabung haji ada lah bawa portable speaker mereka yang diikat di pinggang, mana nak dapat dengar satu masjid. Yang tu dalam bas dan biasanya  pemandu pelancong yang guna.

Bukan pihak pegawai masjid rasa 'hepi' dengan perkara yang berlaku ini. Orang awam pastinya menyuarakan kepada pegawai masjid. Seolah-olah pegawai masjid tidak ada sensitiviti, atau lemah sangat dalam tindakan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Sebenarnya pegawai masjid pun boleh jadi tersepit dan tertekan. Orang awam mengadu hal kepada mereka tetapi mereka tidak dapat berbuat apa pun. Mereka tahu masalah tersebut tetapi ruang untuk bertindak menyelesaikannya sangat sempit dan terhad. Bukan berlaku di Masjid kami sahaja, realitinya di hampir keseluruhan masjid-masjid daerah dan qaryah  dalam negeri Pahang ini.
Isunya ialah, suatu pihak lain yang digelarkan sebagai AJK masjid yang merasakan diri mereka cukup berkuasa di masjid. Kalau di masjid-masjid daerah lagilah, tak perlu ada mesyuarat agong, perlantikannya pun main pakai kroni sahaja. Kalau mereka ini betul-betul menjalankan tugas kira ok lah.. Ini ramainya yang tidak ambil peduli pun berkaitan masjid. Belum sebut lagi pasal kehadiran ke masjid. Majoritinya solat jumaat sahaja. Sekali seminggu sahaja datang ke masjid. Itupun mujur.
Dalam masalah sistem pembesar suara masjid kami, kena pantak dahulu baru lah terhegeh nak bertindak. Macam tak boleh dah nak berfikir cergas untuk bertindak menangani masalah yang perlu 'urgent' diselesaikan.
Itu pun bagi cek sahaja, berkira sangat kosnya. Padahal bukan duit depa sendiri pun, duit sedekah orang ramai. Sudah tentu orang yang bersedekah harapkan supaya duit mereka digunakan untuk kepentingan masjid dan agama. Bukannya disimpan dalam bank sampai ratus ribu. Lepas itu pihak pegawai masjid lah yang jadi kulinya pergi ke sana ke mari membeli speaker. Bila speaker atau mikrofon rosak, kita minta beli yang baru, depa ungkit balik kos pembelian yang lepas. Pergi beli sendiri bukannya tak nak, tapi tak boleh nak fikir dalam diri untuk bertindak sampai ke tahap itu. Jadi AJK yang naknya…kalau boleh seumur hidup.
Nak buat macamana…Tuan puan yang pilih depa jadi AJK…..

Friday, April 06, 2012

Koop Masjid akan buka kedai..


4.4.2012, Rabu baru ini, saya mewakili koperasi masjid Sultan Mahmud Berhad  menandatangani agreement  sewaan bangunan kedai  bersama 'Tok empat' Ahmad yang mewakili koperasi Felcra Sungai Kambang selaku pemilik bangunan di hadapan KADO Rushdi.

InsyaAllah, Koperasi masjid akan memulakan langkah baru yang sangat mencabar dengan membuka kedai serbanika di Bandar baru Kuala Lipis. Dengan keahlian dan syer ahli yang kecil sudah tentu menyukarkan usaha untuk menjalankan perniagaan yang modalnya agak besar juga.

Namun, jika tidak mula lagi, bila lagi koperasi ini akan berkembang. Kebanyakan orang biasanya mula berminat untuk masuk koperasi apabila mereka nampak perniagaan dan  pelaburan mereka akan menguntungkan mereka. Tak ramai orang yang sanggup melakukan pengorbanan dengan mengeluarkan modal awal untuk memulakan perniagaan kerjasama ini.

Syabas kepada mereka yang sudi dan sanggup menempuh cabaran ini dengan mendahulukan wang mereka sebagai modal awal perniagaan kedai koperasi yang akan dibuka nanti..
Sekian.