Luahan


Subscribe

RSS Feed (xml)

Wednesday, July 31, 2013

Selawat semasa solat terawih


Dalam bulan Ramadhan kita disunatkan untuk melaksanakan solat sunat terawih, ada masjid yang buat 8 rakaat dan ada yang buat 20 rakaat. Bagi saya terpulang nak buat berapa rakaat, yang penting jangan saling  salah menyalah antara satu sama lain. 

Kita biasa dengar kata-kata dari  kelompok yang buat 8 rakaat berhujah Nabi S.a.w dahulu hanya buat 8 rakaat. Ketika saya di Mesir dahulu memang kebanyakan masjid buat 8 rakaat. Walaupun 8 rakaat tetapi 1 juz semalaman. Tempat kita 8 rakaat, baca ayat lazim yang pendek-pendek. Pukul 9.30 dah boleh moreh. 

Bagi yang buat 20 rakaat, jangan pandang serong pada yang buat 8 rakaat. Berlambak lagi manusia di luar sana yang tak buat walau 2 rakaat pun solat terawih.

Kebiasaan di tempat kita, selang antara 2 rakaat, para jemaah akan sama-sama berselawat. Timbul isu setempat, ada surau & masjid yang pentadbirnya tak bagi berselawat. Alasannya zaman Nabi dahulu tak buat.. 

Bagi yang berselawat, selawatlah elok-elok..insyaAllah ada pahalanya bagi mereka yang sentiasa berselawat buat junjungan Rasulullah s.a.w.

Di Bandar Lipis, ada masjid tertua di sini yang pernah bergelar Masjid Negeri Pahang suatu ketika dahulu semasa Kuala Lipis menjadi ibu negeri Pahang. Sekarang masjid ini ditadbir oleh Persatuan India Muslim sehingga masjid ini masyhur dengan panggilan masjid India. Uniknya, Persatuan ini membiayai dan mendatangkan imam tetap masjid dari negara India.

Bagi yang berkesempatan, boleh singgah bersolat terawih di sini. Lafaz Selawat yang dialunkan oleh imam dan para jemaah tidak sama dengan kebiasaan yang dibaca di masjid dan surau. Memang lafaz selawat dibawa khas dari negara India.

Monday, July 29, 2013

Minyak Diesel Habis?


Pelik betul, Malaysia sebagai negara pengeluar minyak boleh kehabisan minyak diesel  di stesen-stesen minyak. Detik sukar bagi pengguna diesel termasuk saya. Boleh jadi musafir yang kehabisan bekalan..tersadai menunggu bekalan. 

Apapun perkara ini sangat menyukarkan..Malaysia yang mendakwa semakin maju di bawah pemerintahan Dato' Sri Najib, sewajarnya perkara seperti ini tidak berlaku. Pihak kerajaan yang dipilih sewajarnya mengatasi masalah ini dengan segera. Jangan pula ada menteri yang berkata ' tak payah pakai minyak diesel' seperti ada menteri yang berkata sebelum ini ' tak payah makan ayam'.

Tuesday, July 23, 2013

Berbuka Puasa matlamat utama?


Dalam bulan Ramadan, saya perhatikan
kelas-kelas pengajian al-Quran (kelas mengaji) yang biasa dilaksanakan pada bulan-bulan biasa tergendala dalam bulan Ramadan. Kebiasaan kelas mengaji baik untuk dewasa, remaja atau kanak-kanak dijalankan pada waktu petang sama ada mula pukul 3.00 ataupun selepas asar. Ada juga kelas yang dijalankan pada waktu malam, selepas maghrib atau pun Isyak.

Antara punca kelas mengaji petang tertangguh dalam bulan Ramadan, kerana masing-masing memberi alasan untuk membuat persiapan berbuka puasa. Jadi semua program lain tidak boleh dijalankan disebabkan persiapan untuk berbuka puasa.

Kita berpuasa dalam bulan Ramadan bukanlah matlamat utamanya untuk berbuka puasa. Bila kita meletakkan matlamat utama kita berpuasa hanya untuk  berbuka puasa semata-mata, itu yang kelas mengaji sampai stop. Separuh dari masa petang kononnya dihabiskan untuk persiapan berbuka puasa.

Sampaikan penyakit ini merebak kepada pegawai masjid seperti imam dan bilal. Ada imam dan bilal sepanjang bulan Ramadan tidak hadir untuk menjalankan tugas di waktu maghrib. Puncanya kerana hendak berbuka puasa di rumah. Mereka meletakkan keutamaan berbuka puasa lebih dari amanah tugas yang digalas untuk memimpin perjalanan solat maghrib di masjid.

Hendak buat perbandingan, amanah lagi DJ radio, duduk berbuka di konti berbanding pegawai masjid yang tidak hadir maghrib di masjid.

Ramadan ini, saya tetap jalankan kelas mengaji di waktu petang, dan alhamdulillah anak murid tiada masalah untuk hadir, dan boleh juga berbuka puasa sama macam orang lain juga.

Semoga Ramadan yang berbaki ini, kita lipat gandakan amalan kita..jangan banyak masa tergendala disebabkan persiapan untuk berbuka puasa. 
Pengajian selepas asar di Masjid

Tuesday, July 16, 2013

Inilah Intima' Kita



Almarhum Dr Fathi Yakan menyebut dalam bukunya yang sangat popular di kalangan kita, APA ERTINYA SAYA MENGANUT ISLAM ; suatu fasal yang penting iaitu SAYA MESTI MEMAHAMI SEJAUH MANA INTIMA’ KITA DENGAN GERAKAN ISLAM.

Antaranya :
Intima’ kita tidak memadai dengan sekadar membuat permohonan menjadi ahli dan mendaftar nama sahaja. Bukan hanya sekadar berulang alik ke markaz dan menghadiri program Jemaah sahaja..Intima’ kita jauh lebih dari itu.

Intima’ kita adalah Intima’ Aqidah. Intima’ yang mengorbankan seluruh kehidupan, kekuatan dan kemampuan, kepentingan diri semuanya kepada Jemaah Islam.

Intima’ kita adalah pada masa senang dan susah. Tidak terbatas hanya pada zaman belajar sahaja, kemudian berhenti apabila telah bekerjaya.

Begitulah pesanan dan pengalaman ulama haraki buat semua pendokong Islam. Cuma betapa ramai di kalangan kita yang telah diberi pengisian kefahaman bahkan mampu menjadi pengisi dalam kehidupan realiti sebenarnya masih belum melaksanakan tuntutan tersebut.

Ada yang kelibatnya tenggelam timbul, tidak lagi menjadi pemain dalam stadium, cuma menjadi penonton melihat aksi gerit perih temannya.. Lebih parah jika langsung tidak mahu terlibat dengan pelbagai alasan seperti tertakluk dengan akta sekian-sekian, sebagai penjawat awam dan bla..bla…

Yang tenggelam timbul, tanpa disedari diasyikkan dengan pelbagai agenda lain, rujuk  Firman ALLah dalam surah al Imran ayat 14.

Ingatlah Firman ALLAH bermaksud : Sesungguhnya orang-orang yang berbaiah dengan kamu sebenarnya mereka berbaiah dengan Allah. Tangan Allah di atas tangan mereka, barang siapa yang melanggar baiahnya nescaya akibatnya akan menimpa dirinya sendiri, dan siapa yang menepati janjinya kepada Allah, maka Allah akan memeberinya pahala yang besar. (AL-FATH : 10)

Maka, marilah kita sama-sama mengistiqamahkan diri kita untuk terus berintima’ dengan Jemaah ini sehingga ke akhir hayat kita. Kita sangat perlukan Jemaah ini, Kerana ianya bukanlah suatu pilihan tetapi merupakan suatu taklifan dari Allah.

Monday, July 15, 2013

Ragam Tadarus al-Quran


Amalan tadarus al-Quran dalam bulan ramadhan memang sudah menjadi kelaziman bagi umat Islam termasuklah di Negara kita. Pelbagai versi tadarus yang popular  diamalkan di tempat kita, antaranya :

i)             Bahagikan 30 kumpulan, setiap kumpulan baca 1 juz. Tak sampai 2 jam dah boleh buat majlis khatam. Saya tidak sarankan kaedah ini melainkan setiap kumpulan ahlinya memang mahir baca al-Quran ataupun sekurangnya setiap kumpulan mempunyai seorang munabbih yang akan menegur dan mengajar ahli kumpulan yang lain. Jika tidak..semua akan baca ikut selera masing-masing, hukum hakam tajwid habis dilanggar..yang penting khatam. Tadarus seperti ini biasanya digelarkan dengan Tadarus perdana, sebab dibuat secara besaran dan majlis khatam dapat dilakukan hanya dalam 2 jam bertadarus.

ii)             Tadarus secara harian dalam kumpulan, ada yang baca selepas solat terawih ataupun pada waktu pagi. Rutinnya sejuzu’ satu hari. Dalam kumpulan juga perlu ada yang boleh menjadi guru kepada yang lain.

iii)           Tadarus Fardi, secara sendiri-sendiri..kalau boleh perlu dilazimi oleh setiap muslim..terpulang nak baca banyak ataupun sedikit mengikut kemampuan. Jangan tak baca langsung al-Quran.

Kita bertadarus dengan bacaan yang betul, tidak gopoh..jangan hanya disebabkan nak cepat khatam bacaan kita jadi tunggang langgang..Jika tidak dapat khatam pun tidak mengapa asalkan  dapat membacanya dengan baik. Lebih elok selain kita membacanya ruangkan masa juga untuk meneliti tafsiran ayat-ayat yang telah dibaca.

Sahabat saya, mengajar di sebuah sekolah menengah..dalam bulan Ramadan setiap pagi pelajar dikehendaki bertadarus bersama-sama. Adalah beberapa orang pelajar yang dapat ditangkap kerana ponteng tadarus. Alasannya tiada al-Quran dan sebenarnya memang betul pun dirumahnya langsung tiada al-Quran.

Mereka dirotan oleh Pengetua di punggung. Nak jadikan cerita ada pula yang semasa dirotan menepis rotan dengan tangan. Akibatnya tangannya luka..Siap report ke Balai polis. Pengetua pun dipanggil untuk  memberi keterangan di balai.

Bila selidiki mak ayah pelajar tersebut, memang merupakan kaki judi, tidak menunaikan solat jumaat ..kasihan kepada anaknya..anak menjadi begitu mungkin  kesan dari  persekitaran keluarganya. Dan dirumahnya memang  tiada al-Quran.

Jom kita bertadarus..jadikan membaca al-Quran sebagai rutin dan wirid harian kita.. inilah bacaan yang terbaik berbanding kita membaca apa jenis buku dan akhbar yang lain.

ps : Masjid kami menganjurkan tadarus bermula jam 8.00 pagi. Siapa yang berada di kawasan sekitar boleh lah join..

Wednesday, July 10, 2013

Aktiviti Ambang Ramadan



Ambang Ramadhan



1.  Saya menjadi hakim tilawah al-Quran di Program Ihtifal Kafa peringkat daerah Lipis. Komentar saya, masih ramai peserta yang tidak dapat membaca al-Quran dengan baik. Peserta yang mewakili sekolah Kafa masing-masing sudah pastinya mereka yang terbaik di sekolah tersebut. Jika mereka yang terbaik itu pun tidak dapat membaca al-Quran dengan baik, bayangkan pelajar lain yang tidak terpilih mewakili sekolahnya..lagi lah..

Antara yang ketara ialah :

-membaca sambil mencuri nafas
- Kadar mad yang tidak teratur
-waqaf & Ibtida yang bermasalah
-hukum 5 (ikhfa, iqlab, idgham, Izhar) masih tak settle
-hukum lam ta’rif

Peranan besar kepada guru yang mengajar mereka. Saya tahu benar status keupayaan guru kafa sebab saya terlibat untuk menemuduga mereka. Walaupun markah rendah..tetapi disebabkan kekosongan yang banyak..biasanya semua akan dipilih oleh HQ. Hasilnya jadilah macam ketam mengajar anak berjalan. Bukan semua guru Kafa begitu. Harapannya para guru dapat mempertingkatkan ilmu dan cara PnP mereka.

Peranan juga buat JAIP, kena sentiasa menganjurkan kelas/ bengkel/ seminar buat guru. Memang ada, tetapi kalau setahun sekali sahaja rasanya tidak memadai. Mungkin ada di kalangan guru yang membuat inisiatif sendiri mencari guru untuk belajar, tetapi peratusannya hampir tiada..kebanyakannya sudah merasa alim.


2.  sehari sebelum berterawih, kami menganjurkan jamuan makan nasi arab mandi di masjid. Konon nak dedahkan dengan orang sini kesedapan nasi arab. Nasi arab disediakan oleh Chef Hasbullah dari Kg Berchang. Kisah beliau yang menarik iaitu pernah dihujani beberapa tembakan oleh  polis yang mengalami masalah mental.







3.    Kedai Koperasi Masjid mula beroperasi di Masjid. Jemput siapa-siapa singgah di kedai koperasi yang terletak  di perkarangan masjid Sultan Mahmud.


4.     Solat terawih di masjid kami  tahun ini diimami oleh dua pelajar dari Maahad Imam Syatibi, Kedah, dahulunya lebih dikenali dengan nama Maahad Qiraat Azhar, Amal Aimi. Mereka ialah Hakim bin Che Soh dan Umair bin Dato’ Ahmad Faizul.

5. InsyaAllah tahun ini, iftar jamaie akan diadakan setiap hari di masjid, Jom semua kita beriftar di masjid.

6.   Tengahari tadi, saya berjumpa dengan Setiusaha UMNO Bahagian Lipis, depa terlambat untuk booking tarikh untuk taja iftar. Terlepas pandang katanya. Banyak lagi jabatan yang tidak membuat tajaan tahun ini..mungkin ada halangan tersendiri terutamanya apabila melibatkan kewangan. Cuma kali ini ramai ahli Jemaah yang membuat grouping sesame ahli jemaah untuk  berpakat  kongsi duit membuat tajaan.
Baru selesai gotong royong bersama ahli jemaah prihatin..terima kasih pada Majlis Daerah Lipis, memberi pinjam kerusi dan meja. JKR bagi 'dixon sit' .