Friday, December 28, 2012

Luahan Penggerak Masyarakat

Beberapa minggu yang lalu, disebabkan menteri hendak datang melawat ke kampung orang asal (asli) di Pos Pantos, saya turut sama hadir bersama-sama dengan sahabat penggerak masyarakat orang asli. Di penempatan orang asli, JAKIM ada menyediakan pegawainya yang berjawatan sebagai Penggerak Masyarakat orang asli, cuma jawatannya sehingga sekarang masih lagi berstatus kontrak. Di negeri Pahang, selain Penggerak turut terdapat jawatan pembantu penggerak yang diselenggarakan oleh MUIP dan Yayasan Pahang.

Biasalah, di mana-mana pun bila menteri datang, pelbagai permintaan dan kehendak orang kampung diluahkan. Ketika ucapan aluan Pegawai JKOA, beliau menyuarakan yang penduduk kampung ini inginkan pencawang telefon dipasang supaya kampung mereka ada 'line', tak kisahlah Celcom, Digi atau pun apa-apa syarikat, paling penting mereka nak ada 'line'.

Menjadi kelaziman dan sudah seperti kemestian, bila program dengan orang asli ada 4 agenda yang 'wajib'.
- mesti ada jamuan makan
- mesti ada acara karoke
- pembahagian bantuan makanan seperti beras, garam dan gula
- lobi kepada orang kampung supaya mengundi ahli politik sekian-sekian.

Saya berkesempatan berbual dengan penggerak-penggerak (daie) masyarakat di sini, kata mereka :
masyarakat orang asli sudah dibiasakan dengan bila orang luar (bandar) datang mesti bagi barang dan duit. Ada barang dan duit baru mereka layan disebabkan tabiat itu telah disebatikan sekian lama oleh golongan pemerintah.

Sehinggakan, para penggerak ini sudah menjadi seperti YB, tempat untuk mereka meminta-minta (baca bukan kesemuanya penduduk kampung begitu). 'Ustaz duit saya sudah habis, sudah dua hari saya tak dapat beli susu anak, minum air teh sahaja ' antara perbualan yang biasa dialami oleh penggerak. Nak tak nak Penggerak kenalah hulur duit buat mereka.

Hasrat dan luahan hati penggerak supaya mereka diberikan petty cash yang dapat dihulurkan, ketika berhadapan dengan permintaan orang asli. Sudahlah gaji kecil, jarak perjalanan yang jauh, kadang-kadang berasa payah juga, nak beri duit sendiri dah pokai, tak beri mereka akan jauh dengan kita, sebab budaya sentiasa diberi telah sebati dengan mereka.

Ancaman yang lain lagi ialah kesungguhan pendakyah kristian masuk kampung orang asli untuk menyebarkan ajaran mereka. Ada di kalangan pendakyah mereka yang sanggup hidup duduk bersama orang kampung bertahun-tahun, mereka buatkan generator elektrik, mereka buatkan empangan air, misi bantuan mereka yang tidak putus-putus, bekalan makanan lagi..duit, Dr-Dr yang mereka hantar ke kampung-kampung tidak terlawan oleh para Penggerak.

Kebiasaannya, di setiap negeri, Orng dari pejabat agama, majlis agama datang buat program pengislaman, buat surau..habis satu kampung masuk islam. Lepas itu mereka tinggalkan penduduk kampung, sekali sekala jenguk..berbeza dengan komitmen yang diberikan oleh pendakyah kristian.

Ada suara-suara yang biasa kita dengar menyebutkan : memang ada pihak yang hendakkan supaya masyarakat orang asli ini kurang berilmu pengetahuan dan jauh dari agama Islam, supaya senang mereka nak guna untuk mengundi dan menyokong Parti mereka. Wallahua'lam kebenarannya...

Namun begitu, tidak dinafikan semakin ramai yang sudah pandai dan belajar tinggi termasuklah dalam bidang pengajian Islam. Yayasan Pahang ada membuat PETAMA, lepasan dari Petama ada yang melanjutkan lagi ke Kelantan, dan ada yang telah melanjutkan pengajian ke pusat pengajian tinggi.

Rakan kami, Johari (orang asli) lepasan PETAMA yang turut mengaji dan menghafal al-Quran  ketika kami belajar di Maahad Tahfiz dahulu. Sekarang beliau menjadi tenaga pengajar PETAMA dan IKIP. 

Baru-baru ini, ketika temuduga guru KAFA, terdapat calon dari kampong orang asli dan pernah belajar agama di PETAMA, ketika ditemu uji jauh lebih baik berbanding sebahagian  lepasan pelajar agama yang mempunyai STAM.

Kesimpulannya : Penggerak (daie) perlu diperbanyakkan dan dibantu, terutamanya dari sudut kewangan. Program-program berbentuk pengisian ilmu perlu digiatkan di kampung-kampung supaya penduduk dapat memahami ajaran agama dan tidak lagi diperbodohkan oleh mereka-mereka yang mengambil kesempatan hanya untuk menjaga karier dan periuk nasi mereka sahaja.

Wasalam. 

Bersama Penggerak-pengerak berjalan di penempatan POS Pantos
Gelanggang futsal menteri dah bagi, mereka nak line telefon pula.


Ketika program berlangsung.
 

Thursday, December 20, 2012

Tazkirah minum Arak

Minggu lalu, saya mempunyai slot tazkirah khas bersama-sama 7 orang yang 'terpilih'. Mereka telah ditangkap di pusat hiburan dan disyaki telah mengambil minuman yang memabukkan. 6 lelaki dan seorang perempuan dan lingkungan umur hampir sebaya antara 20an-40an. Kebanyakan dari mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap. Turut bersama dalam sesi tazkirah tersebut ialah penjamin-penjamin kepada 7 orang yang 'terpilih' tadi.

Di sini saya tidak bercadang untuk menceritakan isi tazkirah tersebut, cuma sekadar menimbulkan beberapa muhasabah buat kita semua.

-Teks khutbah jumaat yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti negeri Pahang baru sahaja berbicara perihal 'minum arak' dan ini bukanlah kali pertama tajuk khutbah seperti itu, sudah kerap dan berulang-ulang saban tahun. Jenuh Khatib 'membaca' dan menyeru  para makmum sekalian supaya menjauhi minuman tersebut. Nampak gayanya peratus keberkesanan menyedarkan orang di mimbar khutbah jumaat sangat tipis, mungkin hampir-hampir sifar. Tidak menunding pada orang lain, rasanya termasuk saya ketika mendengar khutbah jumaat sepertinya kurang 'something feel' yang boleh menyebabkan orang boleh berubah bila mendengar khutbah jumaat.

-Boleh jadi, mereka yang terlibat dengan gejala minum arak tidak pergi menunaikan solat jumaat. Tidak menunaikan solat jumaat bukanlah sesuatu yang pelik sekarang ini. Manusia bebas dan tidak ada rasa segan untuk tidak solat jumaat. Biasa sahaja ketika waktu solat jumaat, kaum lelaki bebas berkeliaran di pusat membeli belah, kedai makan. Nak 'husnu dzan' sebagai musafir macam bukan. Seorang pakcik yang berniaga kedai makan sering bercerita, bila hari jumaat penuh meja-meja kedai makan dengan orang. Ada tokey kedai yang tidak kisah pun, turut sama  menjual makanan pada waktu solat jumaat. Kata pakcik itu lagi, di kedai dia, masuk waktu jumaat, dia tidak lagi menjual makanan, tapi dia tidak ada kuasa untuk larang orang dari duduk-duduk di kerusi kedai makan.
Kedai koperasi masjid yang terletak agak berjauhan dengan masjid di bandar baru, juga sering didatangi orang untuk minum-minum ketika hari jumaat, sebelum kami memutuskan untuk OFF buka kedai pada hari jumaat.

-Minuman arak mudah untuk diperolehi. Pergi sahaja ke kedai 'seven eleven' sesiapa pun boleh membelinya. Yang kesiannya casher dan pekerja di kedai seven e kebiasaannya orang islam.

-Untuk membenteras, kalau nak harap kepada penguatkuasa agama susahlah. Kalau di daerah-daerah di Pahang, setiap daerah hanya ada seorang dua sahaja penguatkuasa agama. Nak 'cover' suatu daerah yang besar ? (memang disengajakan penguatkuasa agama ini disikitkan oleh pemerintah)

-Hukuman yang dijatuhkan hanya kepada mereka yang minum, yang jual tidak ada apa-apa, lesen besar lagi. Yang kena hukum  pun kategori ikan bilis sahaja. Jerung dan paus penguatkuasa agama pun tak lepas nak tangkap. Silap-silap penguatkuasa ini yang bersalah.  

-Hukuman bila sabit kesalahan pun bagi negeri Pahang denda RM 5000, setahun penjara dan 6 kali sebatan. Tak lepas lagi dengan mahkamah Allah. itu pun boleh diskaun. Contoh macam kes Kartika, hukuman hanya buat khidmat masyarakat di rumah anak yatim sahaja.

Kesimpulan.
Bukan salah peminum sahaja : 
-kalau arak mudah nak dapat  dan beli.
-Pelajaran agama tidak menjadi teras dan keutamaan dalam sistem pendidikan.  
-Lesen menjual dan kilang arak bebas di dalam 'negara islam' ini.

Semua pihak perlu memainkan peranan di semua peringkat. Dari rumah, sekolah, tempat kerja, bandar, negeri, negara dan dunia Islam.  

wasalam.

Friday, December 07, 2012

Terus Berlari ; jangan tersungkur rebah!

Orang biasa mendengar Ceramah Motivasi, terutamanya golongan pelajar. Boleh dikatakan hampir 
100 % pelajar sekolah sekarang pernah mengikuti ceramah, kursus, program motivasi. Sama ada anjuran sekolah atau pun program anjuran mana-mana agensi.

Bila hampir peperiksaan, slot motivasi diperhebat.. Kata-kata taujihat penuh hamasah dilontarkan oleh si penceramah, oleh guru, oleh ibu bapa, adik beradik dan rakan taulan.

Saya juga pernah melalui zaman belajar formal yang bersistemkan peperiksaan. Bila hampir peperiksaan memang lumrahnya orang akan tertekan... Semangat dan perangsang memang sedikit sebanyak dapat menghilangkan kegusaran.

Antara kata yang selalu kami para senior ucapkan kepada generasi adik-adik kami :

"Terus berlari memegang Baton menuju ke garisan penamat... jangan tersungkur rebah..Bertahan..Larian perlu diteruskan, kita telah lama training untuk saat ini..Ayuh terus berlari"



Saya tertarik dengan kisah Derek Redmond seorang pemegang rekod kebangsaan Inggeris 400 meter. Pada sukan Olimpik 1992 beliau adalah calon untuk menjuarai acara 400 meter.

Namun dipertengahan lariannya, beliau mengalami kekejangan otot. Akan tetapi beliau tidak meninggalkan trek..Bahkan tetap meneruskan perjuangannya hingga ke garisan penamat.

Perjuangannya memukau 65 000 penonton, walaupun Derek telah kalah dalam acara perlumbaan tersebut, tetapi semua penonton bangun dan bertepuk tangan saat beliau sampai ke garisan penamat.


Klip ini dapat memberi suatu motivasi kepada kita semua, untuk terus bangkit..jangan rebah. Ini baru kisah Si Derek yang bukan Islam...Umat Islam tidak pernah tandus ikon-ikon pejuang yang dapat memotivasikan diri. 
Dalam menghayati kisah pejuang-pejuang Islam yang penuh dengan motivasi..Terlalu banyak kisah dan pengalaman buat pedoman kita semua. Seperti kisah yang masyhur, Semangatnya sahabat Rasulullah Sallallahu'alaihi wasallam, Mus'ab bin Umair R.A yang membawa panji dalam peperangan Uhud. Tangan kanan terpotong, panji berpindah ke tangan kiri, tangan kiri terpotong panji tetap dipeluk dengan kedua belah lengannya yang telah kudung.. Sehinggalah bumi Uhud menyaksikan kesyahidan Mus'ab bin Umair R.A.

Buat Sahabat-sahabat, Adik-adikKu, juga khusus buat AJK KONPIP, teruskan perjuangan kita yang tiada noktah akhirnya. Kalam yang masyhur "Kita bukanlah yang memulakan jalan perjuangan ini, jalan ini telah dimulakan oleh generasi sebelum daripada kita, kita hanyalah penerus kepada rantai perjuangan ini.

Wasalam..