Luahan


Subscribe

RSS Feed (xml)

Sunday, August 27, 2006

Jom Boikot
Oleh Azamin
KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Hrkh) - Setelah beberapa siri demonstrasi di depan Kedutaan Amerika Syarikat dan British, kini umat Islam melancarkan 'serangan' dan menyatakan kemarahan dengan memboikot produk terpilih yang menyumbang kepada kekejaman Israel membunuh umat Islam di Lubnan dan Palestin.
Seusai solat Jumaat, di pekarangan Masjid India di sini, lebih 500 orang berhimpun bagi memulakan usaha memulaukan barangan terpilih anjuran bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM ), Aman Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Kongres Indian Muslim Malaysia dan Persatuan Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.
Tiga produk terpilih yang diboikot ialah minuman berjenama Coke (Coca-Cola), ubat gigi Colgate dan restoran Starbucks.
Orang ramai bersama-sama melaungkan 'Boikot Coke, Boikot Colgate daan Boikot Starbucks' seiring laungan takbir 'Allahu Akbar' sambil mengangkat kain rentang dan sepanduk yang 'menyuarakan' kebencian dan bantahan terhadap produk tersebut.
Selepas beberapa ucapan, beberapa peserta perhimpunan bertindak memijak serta membakar produk Colgate, Coke sebagai satu cara simbolik dan isyarat membuktikan kemarahan mereka kepada syarikat pengeluar yang bersengkokol dengan rejim Zionis.
Koordinator Komunikasi dan Perhubungan Awam PPIM, Noor Nirwandy Mat Noor menggesa masyarakat pengguna Islam dan penganut agama lain memboikot produk Amerika-Israel bagi menghantar satu amaran jelas kepada Zionis dan sekutunya bahawa masyarakat negara ini sudah tidak dapat menerima kekejaman mereka.
"Kita ada bukti bahawa syarikat pengeluar produk-produk ini menyumbang dana dan membiayai rejim Yahudi untuk membunuh umat Islam di sana," katanya sewaktu ditemu ramah.
"Kita 'target' (sasarkan) tiga produk saja sebab kita nak dapat 'impact' (kesan) maksimum," katanya.
"Kita tidak main-main, satu isyarat jelas kepada Israel, mereka mesti 'stop' (berhenti) jika tidak umat Islam akan 'wallop' (menghukum) ekonomi mereka," katanya.
PPIM meminta umat Islam berkerjasama supaya tidak lagi membeli, menggunakan produk terbabait dan tidak lagi mengunjungi restoran Starbucks.
"Hanya dengan cara menggunakan kuasa 'purchasing power' (kuasa membeli) pengguna sahaja yang mampu menghentikan kekejaman dan memberikan tekanan kepada pembuli dunia," kata Nirwandy.
Katanya Presma memberi jaminan bahawa sejumlah 8,000 restoran di bawah naugannya tidak lagi menjual minuman Coca-Cola.
Timbalan Presiden Kimma, Amir Amsaa, pula berkata tindakan boikot ini sebagai salah satu cara simpati kepada kesengsaraan umat Islam di Lubnan dan Palestin.
"Kita mesti menarik balik barangan ini daripada dijual dan kita akan beritahu pengusaha restoran-restoran kaum India Muslim supaya tidak menjual barangan yang telah disenaraikan," katanya.
Turut menyatakan kemarahan ialah Setiausaha Kehormat PPIM, Dato' Nadzim Johan yang menyatakan bahawa kempen ini merupakan tindakan bijaksana di samping menyarankan umat Islam membeli produk alternatif yang dikeluarkan oleh umat Islam sendiri.
"Kalau tak ada produk ini, kita boleh mati ke? Tak ada pun tak pa, Malaysia banyak lagi produk lain," katanya.
"Ini boikot bijaksana, jangan bimbang kalau tak minum Coke, tak mati punya," katanya lagi.
Turut menarik perhatian seorang kanak-kanak, Shaedul Basha, 13, yang memegang 'speaker' sambil melaungkan 'Boikot Coke, Boikot Colgate' dan bertakbir 'Allahu Akbar'.

No comments :