Luahan


Subscribe

RSS Feed (xml)

Tuesday, April 15, 2008

'Cerdik'
Sejarah telah membuktikan manusia semakin hari semakin cerdik. Setiap tahun ada sahaja rekod-rekod kecemerlangan akademik yang baru dicipta. Beberapa tahun yang lalu kita telah mendengar seorang pelajar Nor Amalina Che Bakri yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM (17 A). Tahun lepas Siti Fatimah dari Maahad Muhammadi Kelantan mendapat keputusan yang paling banyak ‘A’ dalam peperiksaan SPMnya. Tahun ini lagi banyak ‘A’ yang diperolehi oleh seorang pelajar ‘ Azali Azlan’ dari SMKA Yan Kedah, 21 ‘A’, Jumlah ‘A’ yang tidak pernah terlintas di fikiran orang tahun 80-90 an. Ini baru potensi pelajar-pelajar yang mengikut aliran pendidikan rasmi negara.

Belum lagi kisah-kisah budak-budak genius di negara kita. Kita imbau kembali…permulaan mereka dan pengakhirannya yang masing-masing seolah mempunyai kaitan pengakhiran yang sama.
Dalam pertengahan tahun 70-an, seorang kanak-kanak, Mohd Shukri Hadafi, lebih awal menarik perhatian masyarakat dengan kebolehan yang tidak kurang hebat pada usia muda. Pada zaman masyarakat yang masih ramai buta huruf, Shukri sudah boleh membaca seawal usia 3 tahun dengan situasi pada zaman itu yang agak terbatas alat bantuan pembelajarannya. Disebabkan geniusnya itu beliau telah diambil berlakon bersama seniman Jins Shamsudin dan kemudiannya menjadi anak angkat kepada Prof Diraja Ungku Aziz. Namun di pertengahan zaman persekolahannya beliau telah terjebak dengan dadah yang meruntuhkan hidup dan potensinya. Kini setelah masyarakat melupakan kisahnya, Mohd Shukri hidup dengan bekerja sebagai penebar roti canai di sebuah gerai.

Kan Hun Meng, pelajar genius berasal dari Seremban yang memperoleh ijazah pertama ketika berumur 16 tahun dan menerima doktor falsafah (PhD) ketika berusia 22 tahun.Namun akibat tekanan hidup yang dialami, dia membunuh diri pada usia 32 tahun. Kejadian ini berlaku dua tahun lalu.

Nama Sufiah Yusuf mula meniti bibir masyarakat Malaysia apabila beliau diterima memasuki Universiti Oxford seawal usia 13 tahun. Walaupun Sufiah berwarganegara Britain, namun disebabkan darah ibunya yang berasal dari negara kita turut membanggakan kita rakyat Malaysia...
Beberapa tahun selepas itu, ketika usia Sufiah mencecah 15 tahun, kisahnya kembali menjadi top, disebabkan beliau yang enggan pulang ke rumah dan telah meminta perlindungan di sebuah pertubuhan kebajikan. Kisahnya menjadi reda kembali.. Namun kembali menjadi cukup panas, bukan sekadar hangat mungkin telah hangus pun. Beliau telah melakukan sesuatu yang di luar batas selaku seorang Muslim. Laporan mengejutkan mengenai kisah kehidupan terkini Sufiah itu didedahkan akhbar News of the World pada 31 Mac lalu.

Kisah tragis yang menimpa Sufiah perlu menjadi pengajaran semua pihak mengenai nasib anak genius negara ini kerana selain Sufiah, Malaysia juga mempunyai Adi Putra Abdul Ghani, 8, dari Bagan Serai, Perak.Bagi kebanyakan orang, untuk mengira angka hingga berjuta sudah tentu memerlukan bantuan alat pengira elektronik, tetapi bagi Adi Putra, dia seakan-akan mempunyai mesin pengira dalam kepalanya untuk mengira dan memberikan jawapan tepat dalam masa singkat.

Persoalannya, apakah manusia genius pengakhirannya agak malang ?

Kita tinjau beberapa tokoh ilmuan zaman silam yang kita anggap mereka juga jauh lebih genius berbanding manusia zaman kini.

Antaranya Imam Syafie, beliau bukan sahaja menghafal al-Quran di usia yang muda, beliau mempunyai ingatan yang sangat tajam. Diceritakan sewaktu beliau menuntut ilmu, beliau yang agak miskin tidak mampu untuk membeli peralatan menulis hanya menulis dengan ‘olok-olok’, tetapi apabila disoal oleh gurunya beliau boleh menghuraikan pengajaran gurunya tanpa terkurang sedikit pun. Diberitakan juga ketika beliau membaca buku, beliau terpaksa menutup helaian depan di sebabkan takut terhafal sedangkan di waktu itu beliau baru membaca di helaian sebelumnya.

Ibnu Sina, di waktu remajanya juga sudah mampu mengira pelbagai bentuk objek yang ganjil. Diceritakan pada waktu remajanya beliau agak berlagak disebabkan kecerdikannya. Pada suatu hari beliau telah bertemu dengan gurunya, dengan megah beliau telah menyuakan sebentuk objek dan menyuruh gurunya mengira objek tersebut , dengan tenang gurunya tidak menjawab soalannya tetapi menyuakan kepadanya suatu risalah yang berkaitan dengan akhlak dan adab. Setelah membacanya Ibnu Sina seperti tersedar akan segala kesilapannya, maka beliau telah berubah menjadi Ibnu Sina seperti yang kita kenal sekarang.

Kesimpulannya, genius merupakan kurniaan Ilahi, namun jika ia tidak dikaitkan dengan Islam maka natijahnya seperti yang berlaku pada zaman kini. Pada zaman kegemilangan Islam tempohari ramai genius-genius yang mengkaji ilmu-ilmu, mencipta alat-alat tetapi mereka tidak melupakan agama, bahkan dalam masa yang sama mereka juga merupakan ulama yang terbilang. Akhirnya kita semua perlu, wajib mendalami ilmu agama, menjadi suatu fardu ain bagi semua orang untuk mempelajari ilmu agama, adapun ilmu-ilmu lain menjadi fardu kifayah..
Wasalam…

No comments :