Luahan


Subscribe

RSS Feed (xml)

Tuesday, December 09, 2008

Tetamu Aidil Adha

Sehari sebelum aidil adha, ketika hari mendung hujan renyai-renyai sepanjang hari, saya telah didatangi oleh dua orang tetamu. Tetamu pertama sampai kira-kira waktu tengah hari manakala tetamu kedua sampai sedang-sedang waktu asar.

Tetamu pertama saya, kelihatan cukup tidak bermaya, berjalan perlahan-lahan ke arahku sambil bersalaman, bercakap perlahan-lahan. Nampak agak payah sekali menuturkan bahasa Melayu. Tetamu mula memperkenalkan diri, beliau berasal dari Raub dan tiba ke sini dengan menumpang lori. Sebelum ini dan kini masih menuntut di sebuah pusat pengajian Islam di negeri Kedah. Sekejap-sekejap tetamuku itu seperti kesesakan nafas, dan dia memberitahu mengalami masalah asma yang begitu teruk sekali.

Tetamu kedua saya pula, berjalan terhencot-hencot kerana sebelah kakinya mengalami masalah, namun agak fasih berbicara walaupun sedikit pelat. Beliau dari Kelantan dan dalam perjalanan ke Seremban dan singgah sebentar di sini sementara menunggu kereta api lewat malam nanti. Beliau kini masih mendalami ajaran Islam di Pondok Lubuk Tabah,Kelantan.. sebuah pusat pengajian agama yang menggunakan style pondok yang agak terkemuka di Malaysia ini.

Kedua-dua tetamu ini mempunyai maksud yang sama iaitu memohon sumbangan orang ramai bagi membiayai kehidupan mereka. Keduanya mempunyai persamaan iaitu merupakan non malay (Chinese) yang telah kembali kepada ajaran Islam. Keduanya juga mempunyai persamaan dari segi bahasa diistilahkan sebagai ‘dibuang’ keluarga sendiri.

Banyak sekali pengalaman dan cabaran yang telah ditempuhi oleh mereka. Kalaulah tiada iman yang kuat mungkin sudah kembali kepada agama mereka. Keluarga masing-masing menyebut.. mahu harta atau kekal dalam Islam.

Sebenarnya bukan mereka berdua sahaja, tetapi rata-rata saudara baru kita mengalami fenomena yang sama. Setakat ini secara amnya boleh dikatakan kita tiada suatu pasak yang kuat dalam membantu mereka. Memang wujud persatuan cina muslim, perkim dan badan-badan ngo lain.. tetapi kekuatannya amatlah lemah kerana tidak pendapat perhatian dan peruntukan yang secukupnya..hanya mempunyai beberapa aktiviti bermusim sahaja sepanjang tahun.

Masalah lagi, saudara-saudara baru yang telah memeluk agama Islam tidak diprogramkan dan dijaga, dibiarkan bergerak bebas bertebaran tidak dapat dikesan. Mudahan kita semua selaku Muslim asli ini dapat sentiasa membantu saudara baru kita. Marilah kita merangka dan menyusun langkah mengatur strategi dalam menyebarkan ajaran Islam dan pada masa yang sama, bagi mereka yang telah memeluk ke dalam ad Deen ini..tidak dibiarkan terkapa-kapai seorang diri.
Wasalam..



No comments :