Dr. Syeikh Mohamad Idris bin Abdul Rauf Al-Marbawi, AMP (10 Mei 1896- 13 Oktober 1989) ialah
seorang tokoh di dalam bidang persuratan yang tidak asing lagi bukan sahaja di Nusantara,
malah di Mesir
dan Makkah
terutamanya dalam bidang bahasa Arab, ilmu Hadith, tafsir dan fiqah. Kamus Al-Marbawi, hasil
nukilannya adalah kamus Arab-Melayu yang terunggul sekali di Nusantara sehingga
hari ini.
Riwayat hidup
Syeikh Idris dilahirkan di sebuah kampung bernama Misfallah di Makkah pada 28 Zulkaedah 1313 Hijrah bersamaan 10 Mei 1896. Ibu bapa beliau berasal ari kampung Lubuk Merbau, Kuala Kangsar Perak.
Sekembalinya ke Malaysia, beliau meneruskan pengajiannya di Sekolah
Melayu Lubok Merbau (kini dikenali Sekolah Kebangsaan Syeikh
Mohd Idris Al-Marbawi). Seterusnya beliau melanjutkan pengajiannya
di beberapa buah sekolah pondok, antaranya Pondok Wan Mohammad, Bukit Chandan,
Kuala Kangsar (kini dikenali sebagai Madrasah
Idrisiah), Pondok Tuan Hussien Al-Masudi (Kedah), Pondok Syeikh
Ahmad al-Fatani (Bukit Mertajam) dan Pondok Tok Kenali (Kelantan).
Setelah menamatkan pengajian, beliau bertugas sebagai guru agama di Perak.
Pada tahun 1924, beliau menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir, dan berjaya
memperoleh Ijazah 'Aliyah (tertinggi). Beliau merupakan anak jati Perak pertama
berjaya melanjutkan pengajiannya di Makkah. Semasa berada di sana, beliau
menyusun kamus Arab-Melayu atau dikenali sebagai Kamus Al-Marbawi yang
diterbitkan dalam tahun 1937 dan telah diulang cetak lebih daripada 24 kali.
Kamus ini pada mulanya disusun oleh tiga orang iaitu beliau sendiri, Syeikh Juned
Tola, dan Syeikh Tahir Jalaluddin. Namun, ketika dua
tokoh yang terakhir ini kembali ke tanah air, karya itu diteruskan sendiri oleh
Syeikh Idris al-Marbawi sebagai pengarang kamus tersebut.
Anugerah dan
sumbangan
Atas sumbangan dan jasa besar dalam keagamaan dan persuratan,
Syeikh Idris dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM) pada 5 Julai 1980. Pada 1 Muharram 1408 Hijrah bersamaan 28 Ogos 1987,
beliau diisytihar sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Kebangsaan
yang pertama.
Pada 19 April 1988, beliau telah dianugerahkan Pingat Ahli Mahkota
Perak (AMP) oleh Sultan Perak, Paduka Seri Sultan Azlan
Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Yussuf Izzuddin Shah sempena hari
keputeraan baginda.
Beliau adalah seorang tokoh ilmuan yang warak dan amat mementingkan
hubungan kekeluargaan. Orang ramai yang mengenali beliau ternyata amat
menyenangi dan menghormatinya. Keperibadian mulia di samping ketajaman fikiran
walaupun telah berusia 90-an, merupakan aset beliau yang amat berharga.
Penghayatan beliau terhadap ilmu, sifat rendah diri, di samping sifat dahagakan
ilmu yang dimiliki, tidak dapat dinafikan lagi.
Bahkan semasa diminta berucap setelah dianugerahkan Tokoh Ma’al
Hijrah, beliau dengan terus terang menyatakan yang beliau tidak layak berucap
di situ kerana merasakan dirinya masih kekurangan ilmu. Dalam satu kejadian
lain pula, beliau telah dilihat mengambil wudhu’ dengan menggunakan air yang
sangat minimum yang tidak habis segayung air.
Sepanjang hampir 60 tahun berada di Timur Tengah,
beliau banyak menjelajah dan menyaksikan pelbagai bentuk kebangkitan Islam
selain daripada menjalankan kerja berdakwah. Ini telah banyak memberi kesedaran
dan pengalaman berguna kepada beliau. Atas dasar ingin melihat lebih ramai muda
mudi memperolehi pendidikan yang sempurna, beliau telah menggunakan wang ganjaran
Tokoh Ma’al Hijrah untuk membolehkan anaknya menubuhkan sebuah Kolej Pengajian
Islam yang dinamakan Kolej Idris Al-Marbawi Al-Islami
di Ipoh,
Perak. Tenaga pengajarnya terdiri daripada anaknya, Mariam dan cucu-cucunya
serta beberapa orang tenaga pengajar luar.
Meninggal
Walaupun belum puas mencurahkan bakti dan ilmu kepada seluruh umat
manusia, ternyata Allah SWT lebih menyayangi beliau. Beliau telah kembali ke
Rahmatullah ketika berusia 93/96 tahun pada hari Jumaat, 13 Oktober 1989, jam
8.30 pagi di Hospital Besar Ipoh, Perak. Jenazah beliau disemadikan di Tanah
Perkuburan Islam Kampung Lubok Merbau, Kuala Kangsar, Perak, bersebelahan
pusara isteri beliau, Khadijah binti Mohamad Idham yang telah meninggal dunia
14 bulan sebelum itu. Beliau telah meninggalkan seorang anak perempuan, tiga orang
cucu dan tujuh orang cicit yang tinggal di Malaysia. Di samping itu beliau
telah meninggalkan balu kedua, Hajjah Munirah binti Abdul Wahab yang menetap di
Mesir.
Bagi mengenang jasa beliau, namanya telah diabadikan di sebuah
kolej kediaman di Universiti Kebangsaan Malaysia dengan dikenali sebagai Kolej
Idris al-Marbawi. Namanya juga diabadikan di sekolah tempat beliau menuntut
ilmu di Kampung Lubok Merbau iaitu Sekolah Kebangsaan Syeikh
Mohd Idris Al-Marbawi
Hasil karya
- Kamus al-Marbawi
- Kitab Bahrul Mazi
- Tafsir Quran Al Marbawi
- Tafsir Surah Yasin
- Tafsir Nurul Yaqin
- Tafsir Fathul Qadir
- Kitab Bulughul Maram
- Kitab Jami'ul Ulum
- Usulul Islam
- Nizamul Hayah
- Mu'jamul Ka'inat ( 4 Jilid ) dan lain-lain.
Sheikh Idris al-Marbawi meninggalkan karya-karya yang tidak kurang
banyaknya. Terdapat dua karya beliau yang sangat terkenal, sehingga masih
digunakan sehingga ke hari ini iaitu Qamus al-Marbawi dan Bahrul Mazi.
Keterangan maklumat mengenai kedua-dua karya tersebut adalah berikut:
Qamus Idris al-Marbawi
Sebagai angkatan pertama yang baru mengenal suasana di sana, al-Marbawi mendapati masalah komunikasi dengan bahasa Arab menjadi masalah utama dalam kalangan anak Melayu. Bermula dari sinilah timbul idea untuk menyusun sebuah kamus Arab-Melayu dan usaha tersebut telah dimulakan secara kolektif bersama lima orang lagi rakannya. Tetapi usaha tersebut terpaksa disiapkan bersendirian lantaran penarikan diri rakan-rakannya. Walaupun bersendirian, beliau tetap nekad untuk menyiapkan kamus tersebut.
Akhirnya, kamus Arab-Melayu tersebut yang terkenal sebagai 'Kamus al-Marbawi' itu, berjaya disiapkan pada tahun 1927. Kamus itu diulang cetak berpuluh-puluh kali kerana sambutan yang amat menggalakkan dalam kalangan pelajar Asia Tenggara. Kamus al-Marbawi menjadi terkenal sehingga ke hari ini. Kejayaan menyusun kamus ini telah menjadi langkah pertama kepada al-Marbawi untuk mengorak langkah seterusnya dalam penghasilan karya Islam yang lain.
Qamus Idris al-Marbawi adalah judul sebenar dalam persuratan. Dalam
percakapan umum dinamakan kamus Marbawi. Kamus ini bukan kamus Arab-Melayu yang
pertama ditulis. Terdapat kamus lain ditulis sekitar tahun berhampirannya.
Namun, kamus ini mendapat tempat tersendiri dalam bidang perkamusan.
Paling luas penyebarannya
Antara keistimewaan kamus ini berbanding yang lainnya adalah kamus
Arab-Melayu yang ditulis dengan Melayu-Jawi dan yang pertama paling luas
penyebarannya di seluruh dunia Melayu. Bahkan ia turut digunakan oleh
masyarakat Melayu di Mekah, Mesir dan beberapa tempat lain.
Ia turut digunakan oleh hampir semua orang yang belajar bahasa Arab
dari kalangan suku kaum Melayu, Jawa, Bugis dan sebagainya.
Dalam mukadimahnya, beliau meluahkan yang terkandung dalam hatinya
demi kemajuan bangsa Melayu, iaitu katanya: “Kemudian dari itu, maka sebelum
masuk mengarang kamus ini, lebih dulu menerangkan maksudku mengadakannya, ialah
memajukan bangsaku Melayu, sekiranya menuntut bahasa Arab adalah kamus
penyuluhnya yang diharap, mendapatkan pelajarannya umpama nahu dan saraf.”
Kamus ini mengandungi dua juzuk. Juzuk pertama yang mengandungi 384
halaman dimulakan huruf Alif dan berakhir dengan Zha, yang mengandungi 18,000
kosa kata perkataan Arab yang diberi takrif atau ertinya ke dalam bahasa
Melayu, dan terdapat juga 700 yang diisyaratkan dalam bentuk gambar.
Dalam juzuk kedua pula mengandungi 401 halaman, yang dimulakan
daripada huruf ‘Ain dan berakhir dengan huruf Ya, juga terdapat 18,000 kosa
kata Arab dan 500 yang diisyaratkan dalam bentuk gambar.
Ianya dicetak oleh Matba`ah Mustafa al-Babiy
al-Halbi Wa Awladihi di Mesir. Kamus ini menjadi rujukan pelajar di Malaysia
bagi setiap peringkat sama ada peringkat rendah, menengah mahu pun universiti.
Kitab Bahrul Mazi
MUKHTASAR SAHIH AL-TURMUDZI WA SYARHUHU BI LUGHAH AL-JAWI AL-MALAYU AL-MUSAMMA BAHRUL MAZI atau di dalam bahasa Melayunya Ringkasan Sahih Tarmizi dan Huraiannya di Dalam Bahasa Melayu Jawi Yang Dinamakan Bahrul Mazi. Di dalam alam Melayu, ia hanya dikenali sebagai Bahrul Mazi. Uniknya, kitab yang berbahasa Melayu ini dicetak dan diterbitkan di Mesir, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum dan sesudahnya. Kitab ini adalah terjemahan dan ulasan lengkap sesudah diringkaskan daripada Sahih al-Tirmizi. Ia merupakan karya yang pertama sekali di dalam bahasa Melayu yang seumpama dengannya.
Terjemahan Sahih Tarmizi secara lengkap ini adalah merupakan yang
pertama sekali dilaksanakan dalam bahasa Melayu.
Kitab ini
mengandungi 22 jilid (11 buah buku) dan kitab ini sudah diterbitkan. Ia
mengandungi 8200 permasalahan agama yang berkaitan dengan hal ehwal dunia dan
akhirat. Kesungguhan, minat dan kecintaan penulisnya untuk menyempurnakan
kitab ini dapat dilihat daripada muqaddimah kitab yang telah beliau tulis
sebelum memulakan penulisan, antaranya beliau menyatakan :
“Adalah daripasa sudah aku mengaji kitab yang bernama Sahih
al-Turmudzi, sudahlah jatuh dalam hatiku berahi dan suka kepadanya oleh
aturannya dan kenyataan pada segala hukum syariat Nabi kita Muhammad SAW..”.
Maklumat ringkas tentang keseluruhan jilidnya, adalah seperti
berikut:
- Jilid I : Tanpa menyebut tarikh. Tebal 227 halaman. Menerangkan
bicara bersuci dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 126 hadis dan
591 masalah.
- Jilid II: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan
bicara sembahyang dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 138 hadis
dan 454 masalah.
- Jilid III: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 240 halaman. Menerangkan
bicara sembahyang dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 161 hadis
dan 558 masalah.
- Jilid IV: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan
bicara sembahyang; zakat dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 115
hadis dan 519 masalah.
- Jilid V: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 208 halaman. Menerangkan
bicara puasa dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 110 hadis dan
473 masalah.
- Jilid VI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan
bicara haji dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 108 hadis dan
458 masalah.
- Jilid VII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan
bicara umrah dan jenayah. Terdiri daripada 114 hadis dan 483 masalah.
- Jilid VIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan
baki bab-bab jenayah dan membicarakan Kitabun Nikah. Terdiri daripada 99 hadis
dan 330 masalah.
- Jilid IX: Tarikh selesai menulis malam Rabu, 29 Syawal 1357 H di
rumah berdekatan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Tebal 224 halaman.
Menerangkan bab-bab talak, li’an dan jual beli. Terdiri daripada 117 hadis dan
226 masalah.
- Jilid X: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Menerangkan baki bab-bab
jualan, bab-bab kadi, diat dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada
180 hadis dan 259 masalah.
- Jilid XI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan
korban, nazar-nazar, sumpah-sumpah, perjalanan Nabi dan barang yang takluk
dengannya. Terdiri daripada 151 hadis dan 486 masalah.
- Jilid XII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan
perang sabil, pakaian, makanan dan barang yang takluk dengannya. Terdiri
daripada 170 hadis dan 353 masalah.
- Jilid XIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan
minum-minuman, kebaktian, perhubungan rahim dan barang yang takluk dengannya.
Terdiri daripada 152 hadis dan 472 masalah.
- Jilid XVI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Melengkapi
atas baki bab-bab perhubungan rahim, perubatan, faraid, wala’, hibah, qadar dan
barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 138 hadis dan 395 masalah.
- Jilid XV: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 248 halaman. Melengkapi
bab-bab huru-hara, ta’bir mimpi dan saksi-saksi. Terdiri dari 105 hadis dan 301
masalah.
- Jilid XVI: Tarikh akhir Bab ar-Ru‘ya dan mengiringi bab-bab
syahadah. Selesai malam Rabu, 21 Ramadan 1359 H/1940 M. Melengkapi atas bab-bab
mimpi, saksi-saksi dan zuhud. Terdiri daripada 128 hadis dan 237 masalah.
- Jilid XVII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Melengkapi
atas bab-bab sifat kiamat; pelembut hati, wara’ dan barang yang takluk
dengannya. Terdiri daripada 100 hadis dan 210 masalah.
- Jilid XVIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Melengkapi
atas bab-bab sifat syurga, neraka, iman dan barang yang takluk dengannya.
Terdiri daripada 109 hadis dan 210 masalah.
- Jilid XIX: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Melengkapi atas bab-bab
ilmu, minta izin dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 148 hadis
dan 266 masalah.
- Jilid XX: Tarikh dicatat oleh pengarangnya, katanya: “Telah
selesai hamba daripada menulis dan mengarangkan juzuk yang kedua puluh ini
dengan kurnia Allah SWT kemudian daripada tergendala mengarangnya 16 tahun.
Iaitu mula perang Inggeris dengan Jerman dan Jepun dan Itali pada tahun 1949,
dan sudah juzuk ini pada malam Rabu 25 Ramadan dan 1373 bersamaan 18 Mei 1955.”
Melengkapi atas baki bab-bab adab, misal-misal, bab-bab pahala Quran dan barang
yang takluk dengannya. Terdiri daripada 127 hadis dan 311 masalah.
- Jilid XXI: Mulai penulisan pada hari Khamis, 26 Syaaban 1374 H/19
Mei 1955 M, dan diselesaikan pada 25 Rabiulakhir 1376 H/10 Disember 1955 M.
Tebal 255 halaman. Melengkapi atas segala bab tafsir. Terdiri daripada 92 hadis
dan 335 masalah.
- Jilid XXII: Dimulai 25 Rabiulakhir 1376 H/10 Disember 1955 M, dan
selesai pada malam 2 Jamadilakhir 1377 H/24 Disember 1957 M. Tebal 242 halaman.
Melengkapi atas tafsir setengah-setengah ayat di dalam surah al-Maidah dan
lain-lainnya. Terdiri daripada 95 hadis dan 351 masalah.
Penerbitan keseluruhan diusahakan oleh Syarkah wa Maktabah wa
Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir, mulai tahun 1352 H/1933
M.
Pada kata aluan jilid pertama, pengarangnya menerangkan bahawa
beliau telah belajar ilmu hadis daripada Sheikh Muhammad Ibrahim as-Samaluti,
iaitu guru hadis yang mengajar berpuluh-puluh tahun di Jami’ Saiyidina Husein
di Kaherah, Mesir. Bahawa ketika pulang ke rumah, beliau terus mencatat
pelajarannya sehingga tersusunlah kitab besar Bahrul Mazi tersebut.
METOD PENULISAN
Syeikh Idris al-Marbawi mendahului tulisannya dengan menggarap sebuah
mukaddimah yang agak ringkas. Ia didahuli dengan puji-pujian kepada Allah SWT
serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan
seterusnya menyatakan minat beliau yang amat mendalam terhadap isi kandungan
Sahih Tirmizi. Beliau juga menegaskan bahawa tujuan kitab ini dikarang adalah
ikhlas semata-mata kerana Allah SWT untuk meninggikan kalimah Allah serta
menyebarkan hadis-hadis nabi kepada masyarakat yang tidak memahami bahasa Arab.
Kitab ini ditulis menggunakan kaedah penulisan jawi lama yang mengandungi 3,016
hadith serta menghuraikan 8200 permasalahan yang berlainan hukum hakam yang
berkaitan dengan hidup manusia di dunia dan akhirat. Ia dimulakan engan hadith
niat yang membawa 30 masalah-masalah berkaitan dengan niat.
Di dalam persoalan sanad, beliau hanya meletakkan seorang sahaja perawi (rawi
a’la) sebelum menyatakan nama hadith. Seterusnya beliau menyatakan makna hadith
di bawah matan hadith. Ia diikuti dengan huraian hadith dan juga
pandangan-pandangan hukum menurut mazhab Syafie di samping menjaga maksud yang
ingin disampaikan oleh Imam Tirmizi selaku penulis asal.
Di dalam menghuraikan permasalahan yang terdapat di dalam hadith, beliau tidak
lupa untuk membawa pandangan-pandangan ulama lain yang berbeza dengan
diletakkan pandangan mazhab Syafie sebagai keutamaan. Sekiranya terdapat
masalah yang berkaitan antara satu sama lain, beliau akan meminta pembaca
merujuk semula kepada masalah-masalah yang lalu dengan katanya, “lihat
masalah nombor sekian…”
Di dalam menjelaskan status hadith, al-Marbawi tidak mengulangi penegasan yang
dibuat oleh Imam Tirmizi di mana Imam Tirmizi sering memberikan komentar
terhadap status mana-mana hadis yang ditulis di dalam sahihnya. Dengan kata
lain, penulisan Bahrul Mazi tidak memasukkan komen Imam Tirmizi terhadap
satu-satu hadis. Namun, al-Marbawi mengingatkan pembaca berhatihati dari
sebarang penyelwengan kerana beliau tidak mengulangi komentar yang dibuat oleh
Imam Tirmizi. Oleh kerana itu, beliau turut menulis sedikit mengenai maksud
sahih, hasan dan gharib di dalam ilmu hadis selepas muqaddimah kitabnya.
KESIMPULAN
Secara umumnya, kitab ini merupakan kitab yang mempunyai nilai sejarahnya yang
tersendiri kerana merupakan kitab pertama di dalam bahasa Melayu yang
membicarakan isu-isu fiqh yang disandarkan kepada hadis. Lebih dari itu, ia
merupakan satu pencapaian yang cukup membanggakan bagi seorang anak Melayu
dapat menghasilkan karya seperti ini. Sehingga ke hari ini, ia masih relevan
untuk dijadikan bahan pengajian dan juga teks kajian oleh masyarakat awam dan
juga para pengkaji.
Tafsir Surah Yasin
Kurang tersebar sebuah lagi karangan Sheikh Idris al-Marbawi yang kurang tersebar ialah kitab Tafsir Surah Yasin. Asal kitab ini adalah karangan Imam Muhammad bin Ali bin Muhammad asy-Syaukani dan diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Sheikh Idris al-Marbawi atas permintaan Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir pada tahun 1353H.
Pada mukadimah Sheikh Idris al-Marbawi menulis: “Adapun kemudian daripada itu, maka telah menuntut kepada hamba oleh Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir bahwa hamba terjemahkan tafsir yasin karangan asy-Syaukani daripada Arab kepada Melayu…”.
Kitab ini telah diterbitkan oleh Mathba‘ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir pada tahun 1353H/ 1935 M.
Kredit kepada :
-http://ahmadfadhli.wordpress.com/2007/11/12/bahrul-mazi-susunan-al-marbawi/
-Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
1 comment:
Hey sir, can i know your full name, its for my assignment :’)
Post a Comment