Friday, June 02, 2006


Hawa Nafsu
Kita maklumi bahawa semua manusia tidak terlepas dari melakukan salah dan silap. Baik siapa pun dia, perdana menteri, menteri besar, presiden, senator, petani, cendikiawan semuanya tidak terlepas dengan anasir ini. Hanya Baginda Rasulullah s.a.w sahaja yang ma’sum dan Baginda merupakan penunjuk jalan yang benar.
Firman Allah “ Dan tidaklah ia bercakap menurut hawa nafsu semata-mata. Dia tidak bercakap melainkan mengikut wahyu yang diwahyukan”. (an-Najm 3-4)
“dan apa yang datang dari Rasulullah maka terimalah ia dan apa yang ditegah olehnya maka tinggalkanlah ia..” ( al-Hasyr 7)

Oleh kerana kita manusia di muka bumi ini tidak terlepas dari salah dan silap, maka sudah sepatutnya untuk kita mengikuti Rasulullah s.a.w yang ma’sum yang dapat memberikan penunjuk jalan yang benar kepada kita. Imam Malik pernah berkata : “setiap manusia itu pendapatnya kemungkinan diterima dan ditolak, kecuali Rasulullah s.a.w”

Namun timbul masalah setelah kita (baca umat Islam) mengatakan bahawa kita telah mengikuti Rasulullah s.a.w kenapa masih berlaku perkara-perkara negatif yang secara logiknya tidak sepatutnya berlaku kerana kita telah pun mengikuti ajaran Rasulullah s.a.w.

Antara faktor yang menyebabkan masihnya berlaku perkara-perkara yang tidak diingini itu ialah kerana kita mempunyai hawa nafsu yang payah dikekang dan biasanya kita akan lebih terarah untuk mengikutinya walaupun kita tahu perkara yang dilakukan itu adalah salah.
Sabda Nabi s.a.w “tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga hawa nafsunya mengikut apa yang aku bawa”
Kita akui hawa nafsu memang payah untuk dikekang. Diceritakan kepada kita : Pada masa Allah menciptakan hawa nafsu lalu Allah bertanya kepada hawa nafsu siapakah Aku, maka hawa nafsu menjawab aku ialah aku dan kamu ialah kamu. Kemudian dimasukkan hawa nafsu ke dalam neraka selama ratusan tahun, setelah dikeluarkan ditanyakan kepadanya soalan yang sama dan dijawabnya aku ialah aku dan kamu ialah kamu, kemudian dimasukkan lagi ke dalam neraka dan setelah sampai sesuatu tempoh, hawa nafsu dikeluarkan dan perkara yang berulang berlaku. Setelah beberapa kali dimasukkan ke dalam neraka barulah hawa nafsu mengaku dengan mengatakan Allah ialah tuhan aku dan aku adalah hambanya. Dalam riwayat yang lain akhirnya hawa nafsu mengalah setelah ditimpakan kelaparan kepadanya. Nak menceritakan kepada kita bahawa kedegilan hawa nafsu yang begitu tinggi.

Hawa nafsu boleh menjadi seperti tuhan kalau kita tidak berjaya mengekangnya. Sepatutnya kita umat Islam tidak terpengaruh dengan dakyah yang dibawa oleh hawa nafsu kerana Allah telah mengurniakan akal kepada kita. Hanya mereka yang lemah sahaja akan terpengaruh dengan kehendak hawa nafsu.
Firman Allah :“ dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dengan tidak berdasarkan hidayah petunjuk dari Allah” (al Qasas 50)
Masalah yang kita hadapi sekarang ialah kebanyakan daripada golongan pimpinan yang mentadbir dan memimpin mengikut hawa nafsu sesuka hati mereka tanpa berpandukan ajaran agama. Akibatnya dapat kita lihat bersama pelbagai masalah-masalah datang menimpa kita dan mereka. Negara menjadi semakin tidak aman, kita tidak merasa tenteram walaupun berada dalam rumah kita sendiri. Terlalu banyak kes-kes jenayah yang kita dengari, pembunuhan, zina, sumbang mahram, rompakan, rasuah, minum arak, masalah akhlak yang meruncing di kalangan umat Islam khususnya golongan remaja dan pelbagai masalah lagi. InsyaAllah jika kita kembali mengikut ajaran Islam masalah-masalah tersebut dapat diatasi kerana hanya Islamlah sahaja yang mampu menyelesaikannya.
Sabda Rasulullah s.a.w “ Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selamanya selama mana kamu berpegang dengan keduanya iaitu Al-Quran dan Al-Sunnah”


Antara kaedah untuk mengatasi hawa nafsu ialah dengan kita berpuasa, kerana lapar merupakan kelemahan kepada hawa nafsu.
Sabda Rasulullah s.a.w : dari Abdullah bin Mas'ud r. a: Diriwayatkan daripada Alqamah r. a katanya: Aku pernah berjalan-jalan di Mina bersama Abdullah r.a. Kami bertemu dengan Othman r. a yang kemudian menghampiri Abdullah r.a. Setelah berbincang beberapa ketika, Othman r. a bertanya: Wahai Abu Abdul Rahman: Mahukah aku jodohkan kamu dengan seorang perempuan muda? Mudah-mudahan perempuan itu akan dapat mengingatkan kembali masa lampaumu yang indah. Mendengar tawaran itu Abdullah r. a menjawab: Apa yang kamu ucapkan itu adalah sejajar dengan apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w kepada kami: Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan iaitu zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan. Maka sesiapa yang tidak berkemampuan, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat mengawal iaitu benteng nafsu.

Kaedah lain ialah kita mantapkan ukhwah sesama kita. InsyaAllah dengan ukhwah yang mantap kekerapan untuk kita mengikut hawa nafsu agak kecil kerana adanya sahabat-sahabat yang berdampingan memberi nasihat, teguran serta pandangan bernas kepada kita.

Mudahan Allah mengampuni kita bersama di atas kelemahan diri kita.Cuba kita lazimi diri kita untuk bermuhasabah, mengimbau dan meneliti segala kesalahan dan kesilapan kita dan bersegeralah untuk mengubah dan mengatasinya sebelum terlambat dan menjadi tabiat kita. Ingat ! batu yang keras lama-lama lekuk juga dek terkena titisan air yang lembut.
Wasalam.

No comments: