Thursday, July 06, 2006


Perlis Darul Sunnah wal Jom Heboh?
Wed Jul 05, 06 08:04:18 AM Oleh Bashir Ishak
KANGAR, 5 Julai (Hrkh) - Dalam kesibukan kerajaan Perlis mencanangkan nama Darul Sunnah bagi menggantikan Indera Kayangan, langkah baik tersebut dicemari dengan kemasukan hiburan yang melalaikan serta menggalakkan pergaulan bebas khususnya di kalangan remaja.
Konsert Jom Heboh yang diadakan di pekarangan Stadium Utama dekat sini sebagai majlis penutupan Karnival Jom Heboh yang diadakan pada 1 dan 2 Julai lalu dikatakan telah mengganggu jemaah yang sedang bersolat Isyak di Masjid Putra yang terletak tidak berapa jauh dari tapak karnival diganggu oleh sayup-sayup alunan lagu "Jesnita" nyanyian kumpulan Exist pada rakaat terakhir.
Tidak hairanlah juga semasa solat itu juga keadaan lalu-lintas di hadapan masjid begitu bingit kerana orang ramai berpusu-pusu untuk memeriahkan lagi Konsert Jom Heboh anjuran sebuah stesyen televisyen swasta itu.
Di karnival tersebut jugalah Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Shahidan Kassim menghebohkan kepada orang ramai dalam satu temuramah media yang dibuat di situ tentang perubahan nama negeri ini.
Umum mengetahui tentang penggunaan nama Indera Kayangan yang tidak sesuai sejak sekian lamanya dan perubahan ini adalah satu langkah yang sangat baik.
Namun begitu, perubahan nama yang diambil sempena amalan Ahlus Sunnah di Perlis turut mendapat reaksi yang berbeza daripada pelbagai pihak.
Shahidan sendiri dalam satu perasmian majlis dipetik menyatakan bahawa beliau mendapat SMS yang berbunyi "Perlis Darul Sunnah wal Jom Heboh".
Sementara itu, tokoh agama, Ustaz Ahmad Ali menyambut baik perubahan nama ini tetapi baginya, persoalan yang timbul adakah amalan kerajaan negeri bertepatan dengan nama baru yang dipilih.
"Mereka mengaku mengikut amalan sunnah dan perkara yang bercanggah dengan amalan mereka dianggap seperti qunut, tahlil, lafaz usholli bidaah. Apakah Jomheboh ni tak bidaah?"tanyanya.
Ustaz Ahmad yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis melihat pelaksanaan syariat Islam secara menyeluruh akan menepati lagi nama Darul Sunnah yang dipilih.
"Ini tidak, yang dikatakan sunnah itu hanya dalam bab ibadat sedangkan pelaksanaan syariat Islam tidak secara menyeluruh. Sepatutnya dihidupkan sunnah Nabi s.a.w secara menyeluruh.
"Ianya perlu bertepatan dengan realiti dan amalan sunnah itu sendiri sedangkan kerja-kerja yang menjurus kepada maksiat wajib dihindari khususnya oleh pemerintah," ulasnya.
Dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, wakil tunggal PAS, Ustaz Hashim Jasin pernah menegur kerajaan negeri berkenaan fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa tentang hiburan yang keterlaluan.
"Dulu telah dikeluarkan fatwa tentang hiburan yang keterlaluan, tapi daripada pemerhatian saya ianya ternyata telah dilanggari," demikian petikan ucapannya pada sidang DUN yang lalu.
Mufti Perak, Dato' Seri Dr Harussani Zakaria juga dipetik pernah menyatakan bahawa walaupun ditukar nama daripada konsert 'Sure Heboh' kepada 'Jom Heboh' ianya tetap haram.
"Program itu tetap haram kerana ia boleh melalaikan umat Islam dengan hiburan serta pergaulan bebas," katanya beberapa bulan yang lalu.
Majlis Mufti Malaysia dua tahun lepas telah memutuskan bahawa konsert 'Sure Heboh' adalah haram di sisi Islam kerana ia melalaikan umat dan menggalakkan maksiat di kalangan generasi muda.
Majlis Mufti berpendapat konsert itu merupakan sesuatu yang melalaikan, oleh itu ia wajar dihentikan. - mks.

No comments: