Monday, September 03, 2007

MERDEKA
Ogos telah pun kita tinggalkan. Bersempena bulan kemerdekaan tersebut pelbagai program mega telah dilangsungkan bersempena meraikan hari kemerdekaan Negara kita yang ke 50 tahun. Semua golongan meraikannya walaupun teknik merayakannya kadangkala agak pelik dan seolah tiada kaitannya dengan hari kemerdekaan. Orang tua dengan cara orang tua, golongan belia dengan style mereka dan tidak terkecuali golongan kanak-kanak juga merayakannya.

Amat baik sebenarnya untuk kita merayakan sambutan hari kemerdekaan sebagai memperingati hari yang penuh bersejarah itu, namun apakah konsep sambutan-sambutan yang dilangsungkan itu bertepatan dan kena dengan tema untuk hari kemerdekaan. Sebagai contoh bersempena dengan kemerdekaan diadakan konsert-konsert yang dihidangkan dengan pelbagai bentuk genre hiburan yang melalaikan dan sesungguhnya tidak ada kaitan langsung penghayatannya dengan hari kemerdekaan. Begitu juga diadakan acara-acara sukan, pertandingan-pertandingan seperti mewarna dan melukis untuk kanak-kanak. Bagi kaum ibu diadakan pertandingan menganyam, memasak dan pelbagai lagi.

Persoalan yang kita ingin timbulkan ialah sejauh mana penghayatan masyarakat terhadap mengenang hari kemerdekaan . Adakah matlamat sebenar program-program yang dilangsungkan itu bertujuan untuk menimbulkan penghayatan masyarakat terhadap kemerdekaan atau pun hanya sekadar program-program biasa yang menumpang dan mengambil kesempatan di atas berlangsungnya hari kemerdekaan seperti kata pepatah melayu menangguk di air keroh. Hanya penganjur program-program tersebut sahaja yang tahu matlamat asal mereka menjayakan program-program tersebut dan mungkin terdapat juga segelintir penganjur yang tidak mempunyai matlamat yang jelas mengenai program-program anjuran mereka itu.

Setakat penelitian kita setelah 50 tahun Negara mencapai kemerdekaan, majoriti rakyat masih lagi jahil dan tiada nilai sensitiviti kenegaraan walaupun kita melihat setiap kali tibanya bulan Ogos bendera-bendera berlambak-lambak dipasang di merata-rata tempat sehinggakan di kenderaan pun terpacak bendera Negara kita. Tapi hanya sekadar bendera sahaja, nilai kemerdekaan yang sebenar mungkin terlalu tipis dalam benak masyarakat.

Pejuang-pejuang dahulu, memang mereka tiada bendera-bendera untuk dipacakkan namun semangat mereka menentang penjajah hinggakan bermandian darah bahkan ramai yang menggadaikan nyawa mereka demi memastikan kedaulatan Negara tercinta . Namun kini jasa-jasa mereka banyak yang telah kita lupakan dan kadangkala nama-nama mereka pun tidak pernah kita mendengarnya. Terdapat juga pejuang-pejuang sebenar kemerdekaan yang jasa mereka seolah-olah tidak diiktiraf.Kebanyakannya terdiri dari golongan muda dan ulama seperti Dr. Burhanuddin al-Helmy, Ibrahim Yaakub, Sheikh Ahmad Muhammad Zain, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Maulana Abdullah Noh, Abu Bakar al-Baqir dan ramai lagi tokoh-tokoh sebenar yang tidak diketengahkan jasa- jasa mereka. Yang kita kenal dan di’highlightkan biasanya Dato Onn dan Tunku Abdul Rahman tidak lebih dari itu.

Setelah diisytiharkan 50 tahun kita telah merdeka, persoalan yang timbul benarkah kita sebenarnya telah merdeka? Atau hanya merdeka dari segi istilah sahaja? Kita melihat sehingga sekarang rakyat masih belum ‘merdeka’ (bebas)dari makhluk, Kakitangan kerajaan dan mahasiswa belum ‘merdeka’ dari Akujanji. Bayangkan setelah 50 tahun merdeka tiba-tiba sahaja pelajar-pelajar sekolah kita terpaksa belajar sains dan matematik dalam bahasa penjajah. Tiada Negara dalam dunia ini yang telah merdeka tapi masih mengagongkan bahasa luar.kita lihat Negara lain contohnya Jepun, semua rakyatnya menggunakan bahasa mereka dalam segala urusan rasmi dan tidak rasmi. Diplomat-diplomat mereka juga menggunakan bahasa mereka walaupun ketika berurusan dengan Negara luar. Pihak luar terpaksa menggunakan para penterjermah untuk berurusan dengan mereka, bukan mereka tidak belajar bahasa Inggeris tetapi semangat kebangsaan mereka begitu tinggi.

Sedarlah walaupun usia kemerdekaan Negara kita telah genap 50 tahun iaitu satu usia yang boleh dikatakan sangat matang bagi seseorang manusia, tetapi Negara kita sebenarnya tidak sepenuhnya merdeka apalagi boleh diistilahkan sebagai matang samada dari segi system pemerintahan, pendidikan dan juga daya pemikiran. Semuanya masih bergantung kepada system penjajah. Kemerdekaan yang dilaung-laungkan hanyalah atas nama sahaja sedangkan etinya yang sebenar tidak dihayati sepenuhnya.
Wasalam.

No comments: