Ketika kecil di bangku sekolah.. Pelajar sering memberikan jawapan kepada gurunya.. bila tak siap kerja sekolah kata si murid kepada guru, buku tertinggal di rumah. Bila lambat datang sekolah kata murid bas lambat, basikal pancit. Bila tak datang sekolah murid berkata tak sihat, baju basah. Bila tak pakai stokin si murid berkata stokin basah.
Ketika dewasa bekerja dengan majikan.. berkata kepada majikan apabila lambat ke pejabat… trafik jem. Bila tak siap tugasan yang diberi, setelah ditanya oleh majikan tala kan pula kepada staf yang lebih bawah atau unit-unit lain. Apabila dalam mesyuarat ketika dipertanggungjawabkan ke atas sesuatu perkara atau program maka ada helahnya untuk melepaskan diri. Dikatanya ada urusan keluarga yang penting untuk diselesaikan.
Begitulah tabiat manusia, sering membuat alasan. Alasan yang direka untuk melepaskan diri. Kenapa manusia sering membuat alasan? Agaknya untuk menjaga maruah diri supaya manusia lain tak nampak kesalahan, kemalasan dan kelemahan kita.
Dalam realiti dunia kini, kita maklum bahawa tugas untuk menegakkan Islam terletak atas bahu semua orang Islam. Selepas kejatuhan Khilafah Islamiah Turki maka tiada siapa yang terkecuali bertanggungjawab untuk memastikan Khilafah Islam akan kembali tertegak.
Maka dalam menghadapi suasana untuk menegakkan Islam ini. Masalah utama yang melanda ialah kurangnya tenaga sumber manusia yang sanggup melaksanakan tugas ini. Mungkin kalau mereka orang kampung yang buta huruf, tak pernah bersekolah alasan mereka boleh lagi kita dengar…
Akan tetapi banyak juga mereka yang terdiri dari kalangan cerdik pandai yang gemar mengeluarkan alasan menyelamatkan diri untuk tidak bersama-sama dalam menegakkan Islam. Bila cerdik otak ligat berfikir mereka-reka alasan berbanding orang sederhana yang menjadi pak turut.
Yang paling bermasalah, kelompok ustaz-ustazah yang mengaji tinggi tentang Islam, tentang kewajipan dakwah, tentang kewajipan Amar Makruf Nahi Mungkar tetapi masih mengeluarkan alasan. Pelajaran yang mereka perolehi hanya sekadar teori semata-mata disebabkan mereka ‘terpaksa’ memilih aliran pengajian Islam mungkin disebabkan tiada pilihan lain lagi.
Contohnya, sangat sukar untuk mencari pengisi-pengisi kuliah di Masjid. Bila dihubungi ada yang berkata tak layak, ilmu tak cukup lagi, bagi orang lama dulu, letih bekerja di siang hari dan bermacam-macam lagi.
Begitu juga dalam program-program Amal Islami, ada bermacam-macam alasan yang dikemukakan. Antara kata-kata biasa, saya sibuk dengan kerja, masalah keluarga, ada program lain..dsb.. Orang yang sama bila diajak ke program yang berbeza seperti futsal, sukaneka, memancing, berburu, berborak di warung kopi boleh sahaja tidak menguzurkan diri bahkan menjadi penganjur dan tonggak pula kepada program-program seumpama itu.
Suatu kisah yang masyhur di zaman Rasulullah iaitu peristiwa orang-orang yang tidak ikut serta dalam perang tabuk. Selain orang-orang munafik, ada tiga orang Islam yang tidak ikut serta dalam peperangan Tabuk iaitu Kaab bin Malik, Murarah bin Rabi’ dan Hilal bin Umayyah. Setelah peperangan tamat dan Rasulullah pulang ke Madinah maka orang-orang munafik datang berjumpa dengan Rasulullah memeberikan alasan sebab kenapa mereka tidak ikut serta dalam peperangan. Adapun Kaab bin Malik dia menceritakan pada awalnya dia merasa hendak mencari alasan bagi mengelakkan kemarahan Rasulullah. Dia meminta pertolongan dari ahli keluarganya yang cerdik pandai untuk memberi buah fikiran yang matang untuk memberikan alasan yang paling munasabah. Tetapi akhirnya dia tidak jadi untuk memberikan alasan dan dia yakin bahawa dia tidak akan terlepas dari kemarahan Rasulullah kecuali dengan bercakap benar. Kaab berkata depan Rasulullah bahawa dia tidak ada sebarang alasan, dia masih sihat dan kuat serta mempunyai kemampuan. Kemudiannya Rasulullah menyatakan benar kata kamu, bangunlah sehingga Allah menghukumkan kamu. Akhirnya dalam kisah ini Kaab berserta dua lagi sahabatnya dihukum dengan mereka dipulau dari orang ramai selama 50 hari.
Firman Allah (Al-Ahzab, ayat 36) bermaksud:
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمْ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلالا مُبِينًا
"Dan tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan tidak (pula) bagi perempuan yang beriman, apabila Allah telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan rasulnya, maka sesungguhnyalah dia telah sesat, sesat yang nyata"
Mudah-mudahan kita semua dijauhkan dari gejala suka mengeluarkan alasan yang sememangnya semenjak dari kecil lagi kita telah terlatih untuk melakukannya.
1 comment:
artikel yang bagus!!!
Post a Comment