Tuesday, October 12, 2010

Islam yang begitu, bukan begini

Bagi sesetengah masyarakat awam di tempat kita, takrifan pengamalan Islam mereka sangat mudah dan senang. Takrifan yang diperolehi berdasarkan pemerhatian turun temurun warisan tok nenek moyang. Hafal rukun Islam dan rukun Iman, ada yang mengikut susunan dan ada yang tunggang terbalik. (soalan rukun Iman dan rukun Islam ada ditanya dalam temuduga kerja, antaranya temuduga guru KAFA, temuduga imam,bilal dan siak masjid qaryah).

Selain itu, menganjurkan majlis kenduri doa selamat, kenduri doa arwah, majlis tahlil, marhaban dan berzanji semasa cukur jambul bayi, solat hajat dan beberapa lagi amalan lazim yang diwarisi.

Saya sangat akrab dengan kehidupan masyarakat begini. Saya lihat bila mereka telah laksanakan dan sentiasa laksanakan amalan-amalan ini, rasa macam sudah sempurna pengamalan Islam mereka.

Ada orang itu, dia bukannya selalu hadir ke masjid pun, dia masuk ke rumah baru. Lalu dia anjurkan program masuk ke rumah baru, agendanya solat hajat, baca Yaasin, tahlil dan doa selamat. Dalam senarai jemputannya selain saudara maranya, jiran tetangganya yang juga penting ialah orang masjid (saya juga bercadang untuk menulis berkaitan orang masjid, mungkin di masa-masa akan datang insyaAllah). Si isteri sentiasa mengingatkan kepada suaminya supaya jangan lupa menjemput orang masjid. Lalu si suami yang jarang-jarang ke masjid pergi ke masjid untuk mengajak orang masjid ke rumahnya.

Saya selalu dijemput ke program sebegini, semenjak saya di alam student lagi. Sekarang, biasanya saya akan memilih dan memberi syarat untuk hadir selepas solat Isya’. Alasannya jika saya berserta orang masjid pergi siapa yang akan ada di masjid untuk solat maghrib dan isya’.

Kadang-kadang kita melihat, ada imam, bilal dan ahli jemaah yang bila dapat jemputan sebegini melonjak sangat kegirangannya. Ialah, bukan selalu orang nak hargai khidmat si Imam ini. Bila orang jemput dia pulak yang lebih-lebih, sampai bagi cadangan kepada si penjemput supaya elok kita buat lepas maghrib, cepat sikit habisnya. Bila situasi ini berlaku, biasa di kampung-kampung tradisional, maka siapa agaknya yang akan berada di masjid untuk waktu maghrib dan isya’ itu. Mungkin ada orang, tapi sangat sedikit dengan Imam dan bilalnya yang sudah lesap, awal-awal lagi ke rumah kenduri itu.

Kebiasaan juga, apabila program majlis solat hajat, kenduri arwah, doa selamat ini sedang berlangsung... si tuan rumah dan ahli keluarganya sibuk menguruskan hal-hal yang lain, sibuk mengalukan tetamu, sibuk menguruskan urusan lauk pauk sampaikan mereka tak membaca yasin dan solat hajat. Tetamu sahaja yang tolong mendoakan dan membacakan yasin, mereka mengaminkan pun ada yang tak sempat. Tetapi bagi mereka, mereka merasa puas kerana dapat mengadakan bagi takrifan mereka upacara agama ini.

Biasa juga, apabila program-program ini berlangsung, selain orang masjid yang dipanggil, ada juga golongan yang sangat suka ke program sebegini, seperti jiran tetangga di kalangan kaum wanita. Dalam bahasa orang masjidnya kita gelarkan kaum muslimat. Mereka juga suka hadir tetapi lazimnya tidak ikut serta dalam agenda program itu, tidak solat hajat, tidak berapa nak baca yaasin, tetapi mereka akan rancak berborak. Saya pernah menjadi imam solat hajat di sebuah rumah, yang mana time solat itu, kedengaran sangat riuh bunyi dari dapor, suara orang perempuan berbual-bual, bergelak ketawa. Sudah pasti solat saya tidak focus, rasa mahu sound sahaja mereka. Bila mereka akan diam. Biasanya time berdoa, baru masing-masing akan diam, tunduk penuh khusyuk menadah tangan mengaminkan doa.

Memang orang kita, agak khusyuk bila berdoa ini. Pernah saya melihat ada pelakon perempuan yang pakai skirt atas dari paras lutut, dalam pelancaran suatu filem , bersama krew yang lain tunduk khusyuk mengaminkan doa, terlupa agaknya yang dia sedang pakai skirt pendek.

Kadang-kadang ada juga upacara agama ini yang agak pelik, tetapi sifunya adalah tok lebai, tok imam, ustaz yang menjadi kepala untuk upacara ini. Antaranya ialah.. biasanya bila bayi baru lahir, orang kita akan buat upacara yang dipanggil belah mulut. Program ini ok, mengikut amalan Sunnah Rasul yang menyuruh kita melaksanakan tahnik kepada bayi yang baru lahir. Tahnik merupakan perbuatan menyapu manisan seperti kurma, madu dan susu. Tetapi yang canggihnya dalam masyarakat kita, bukan hanya manisan sahaja, ada bermacam lagi perasa lain. Ada garam, cengkih..macam-macam la perasa manis, masin, pahit. Maka tok imam pun taruhlah perasa-perasa ini ke mulut bayi..

Ada juga masyarakat kita yang buat upacara menjejakkan kaki bayi ke tanah, sebagai simbolik bayi dah nak boleh berjalan. Upacara dimulakan dengan tahlil dan doa selamat. Selepas itu tok imam, tok lebai akan mendirikan bayi di atas talam yang telah dipenuhkan tanah di dalam talam tersebut. Bayi itu pun pelik, kenapa agaknya dia diperlakukan begitu.. tapi semua orang puas..tok imam puas, tok bilal puas, tetamu puas, kaum keluarga lagilah puasnya.. Puas dapat melaksanakan suatu amalan agama yang bagi mereka sangat mulia.

Beginilah masyarakat kita. Bagi mereka Islam ini, adalah begitu… cukup dengan doa selamat, tahlil, baca yasin..begitulah…Maka tugas bagi kita yang faham akan Islam ini mesti memahamkan mereka.. Fahamkan kepada mereka Islam adalah begini bukan begitu.




No comments: