Luahan


Subscribe

RSS Feed (xml)

Thursday, November 24, 2011

Cuti Sekolah


Cuti sekolah memang cukup menyeronokkan buat insan yang bergelar pelajar sekolah. Baik tadika, sekolah rendah hinggalah menengah memang sangat-sangat menanti hari cuti terutamanya cuti akhir tahun.

Pelbagai agenda dan program dirancang, sama ada bersama rakan taulan, kaum keluarga, atau pun agenda sendiri-sendiri sahaja.

Ada yang merancang untuk balik kampung, berjalan ke tempat-tempat bersejarah, bekerja sambilan mencari wang poket, menjadi pengunjung tetap perpustakaan  dan pelbagai ribu macam lagi agenda yang dirancang.

Saya tertarik karya sasterawan Negara, Dato’ A. Samad Said yang menulis buku cerita siri apresiasi remaja seperti Bendera di atas bukit, Rumah rahsia, Jangan ikut jalan ini, Yang berat sama dipikul, Mengejar tetamu di waktu senja. Ceritanya mengisahkan  kanak-kanak yang membuat pelbagai aktiviti yang menarik semasa cuti sekolah. Cukup menarik jika dapat dibaca oleh para pelajar tidak terkecuali golongan dewasa juga.

Namun, ramai juga yang menghabisi musim cuti sekolah dengan aktiviti yang tidak bermanfaat dan kadang-kadang sampai memudaratkan. Contohnya melepak di perhentian bas di kampung, dari pagi sampai ke malam, sampai menyukarkan orang untuk menunggu bas. Ada yang merempit ke hulu hilir kampung.

Juga di musim cuti ini, kebiasaannya  musim tengkujuh dan banjir di pantai timur, wajarlah ibu bapa mengawasi anak mereka dan kalau boleh tak perlulah berjalan ke tempat-tempat air terjun, pantai, sungai dan tasik. Jangan nanti datang dengan suka balik dengan duka.   

Maka supaya para pelajar  dapat mengisi waktu cuti dengan berfaedah dan berkualiti, menjadi tanggungjawab ibu bapa berperanan dalam menyusun dan memberi panduan anak masing-masing mengisi program cuti sekolah mereka. Jangan biarkan sahaja atau terlampau menurut kata-kata mereka. Ramai juga ibu bapa yang menurutkan sangat pendapat dan kehendak anaknya.

Contoh, sempena cuti sekolah pelbagai program yang disusun oleh masjid, surau, NGO, Konsulten untuk  pelajar sekolah seperti Kem ibadah, kem motivasi. Bila kita tanya kepada ibu bapa.. “tak hantar ke anak ke program ini” jawab ibu bapa “ hajat nak hantar, tapi budak-budak ini tak nak”.
Contoh lain lagi : bila habis sekolah rendah, saya sentiasa syorkan ibu bapa supaya menghantar anak mereka ke sekolah agama atau ke maahad tahfiz. Macam-macam kebaikan kita sebut kepada mereka. Ada ibu bapa yang kata “ memang saya ini hajat sangat anak ni masuk ke sekolah agama, tapi si anak yang tak nak”. Bukanlah menjadi ibu bapa yang baik bila semua pendapat dan kehendak anak dituruti.

Sabda Rasulullah yang bermaksud : Tiadalah seorang anak yang dilahirkan melainkan ia dilahirkan di atas fitrah. Maka ibu bapanya bertanggungjawab menjadikan anaknya yahudi, nasrani atau majusi.

Wallahua’lam..

No comments :