Wednesday, November 13, 2013

Damailah Tuan Haji Ahmad Rafli

Gempar satu negara, apabila Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang, Tuan Haji Ahmad  Rafli  ditembak mati di kediamannya. Barulah macam-macam cadangan timbul dari YB Menteri, Polis, NGO dll. Semoga pihak berkuasa dan kerajaan mengambil iktibar di atas perkara ini. Kita tidak mahu ramai lagi mereka yang ingin menegakkan kebenaran ditimpa perkara yang sama.

Sudah menjadi sunnah perjuangan, mereka yang menegakkan yang haq pasti ditimpa pelbagai mehnah.  sama ada dipenjara, dibuang negeri dan dibunuh. inilah resam perjuangan yang akan ditempuhi oleh para pejuang. Bukan pejuang jika selalu dilayan di permaidani mewah, sentiasa diikuti dengan kesenangan dan kemewahan.

Almarhum Tuan Hj Rafli pernah menjadi bos saya, semasa beliau menjawat KPP Pengurusan Masjid sebelum bertukar  ke bahagian penguatkuasa. Pada zamannya setiap bulan pasti akan diadakan mesyuarat pengurusan Imam-imam daerah serta pelbagai kursus diatur buat kami. Almarhum jugalah satu-satu KPP yang pernah menelefon saya mengucapkan tahniah di atas terbitnya risalah suara masjid daerah Raub & Lipis yang diedarkan ke seluruh Pejabat agama daerah, masjid daerah dan Sekolah-sekolah Menengah agama Kerajaan negeri Pahang beberapa tahun dahulu.

Sesungguhnya seluruh warga Jabatan Agama islam Pahang khususnya terasa kehilangan almarhum. Selamat bersemadi Allahyarham Tuan Haji Ahmad Rafli, Damailah roh Tuan di sana bersama para syuhada'.

Buat sahabatku Asyraf dan Abrar, semoga tabah dan semakin bersemangat meneruskan perjuangan yang ditinggalkan oleh Almarhum ayahanda. InsyaAllah..

Takziah buat seluruh keluarga Allahyarham.
Al-Fatihah..
 Kenangan bersama Allahyarham semasa Festival memasak bubur asyura di daerah Muadzam Shah

Di Seminar Pengurusan Masjid Peringkat Asean 2009-
6 orang wakil Jabatan Agama Islam Pahang, dari kiri Imam Azraie (Masjid Daerah Lipis), Imam Zainuddin (Masjid Daerah Kuantan), Imam Muhazam (Masjid Daerah Raub), Tuan Haji Rafli (KPP Bahagian Pengurusan Masjid & Surau JAIP-Ketua Rombongan), Imam Farik (Masjid Daerah Pekan), Imam Amirul (Masjid Daerah Cameron) dan Ustaz Razali Saibin dari Sabah.




No comments: