Luahan


Subscribe

RSS Feed (xml)

Friday, September 18, 2015

Masjid Ubudiah, Masjid Diraja Perak

Pengenalan ringkas yang diambil dari sumber wikipedia :

Masjid Ubudiah, dikenali sebagai Masjid diraja terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak yang dianggap salah satu masjid terindah di Malaysia dan merupakan simbol kebanggaan dan kepercayaan untuk kaum Muslim di Perak. Kubah emas dan menara masjid adalah bukti dari keindahan senibina Islam. Masjid Ubudiah dirasmikan pembukaannya oleh Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah pada tahun 1917.

Dari segi latar belakang sejarahnya Masjid Ubudiah yang terletak berhampiran dengan Istana Iskandariah ini, adalah merupakan masjid nazar. Ia diasaskan oleh Sultan Idris untuk membayar nazar kerana baginda telah pulih dari penyakitnya. Semasa beristirahat dalam rawatan di Port Dickson, Negeri Sembilan, Sultan Idris Murshidul Adzam Shah I (1887-1916) telah bernazar untuk membina sebuah masjid di Bukit Chandan sekiranya kesihatan baginda pulih.
Setelah berangkat balik ke Kuala Kangsar, baginda telah menitah Kolonel Huxley dari Jabatan Kerja Raya, Kuala Lumpur, untuk mereka bentuk sebuah masjid yang hendak didirikan. Pembangunan Masjid Ubudiah bermula dari zaman Sultan Idris Murshidul Adzam Shah I, Sultan Perak ke-28.
Walau bagaimanapun pembinaannya telah tergendala apabila batu-batu marmar yang dibeli dari Negara Itali telah pecah dipijak oleh dua ekor gajah kepunyaan baginda dan Raja Chulan.
Oleh sebab batu marmar itu telah musnah, maka terpaksalah dipesan semula dari Negara Itali. Tetapi disebabkan Peperangan Dunia Pertama meletus di Eropah, penghantaran batu marmar tersebut telah tergendala. Batu marmar itu telah dibawa melalui Negara Afrika Selatan. Perbelanjaan pembinaan masjid ini adalah kira-kira $22,000.00.
Pada hari Jumaat, 26 September 1913, Sultan Idris Murshidul Adzam Shah I, telah meletakkan batu asas masjid tersebut. Masjid ini telah siap dibina dan dibuka dengan rasminya oleh Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah (1916-1918.), Sultan Perak yang ke-29, pada tahun 1917.
Arkitek yang ditugaskan mereka bentuk masjid ini ialah Encik Hubbeck, yang menggunakan seni reka Moor dan Encik Caulfield, jurutera Negeri Perak, telah ditugas melaksanakan bangunan masjid ini. Seni reka yang diilhamkan oleh Encik Hubbeck telah menjadi Masjid Ubudiah salah satu masjid yang mempunyai nilai seni reka yang bermutu tinggi sehingga ia mendapat tempat dalam peta pelancongan Malaysia.
Masjid ini berbentuk octagon dan mempunyai 4 buah menara setinggi 126 kaki serta dikelilingi oleh kubah-kubah di bahagian dalam yang mana tiap-tiap satu garis pusatnya berukuran sepanjang 60 kaki. Bahagian-bahagian dalam dinding dan lantai masjid ini menggunakan batu marmar berwarna merah dan putih yang dibawa khas dari Itali dan London.
Bentuk bangunan masjid yang berkubah induk besar di tengahnya serta dikelilingi dengan empat buah anjung yang mengandungi sebuah kubah pada pertengahan setiap anjung, lapan buah menara induk dan enam belas menara apit. Jumlah kubah dan menara dikatakan mengambil sempena aturan gelaran Orang Besar-Besar iaitu Orang Besar Ampat, Orang Besar de-lapan dan Orang Besar Enam Belas. Keluasan ruang induknya ialah 20 m x 20 m dan dilingkungi oleh serambi utama selebar 2.5 m yang juga mempunyai sebuah kubah. Sebuah kolah untuk mengambil air sembahyang terletak di sisi timur serambi tersebut.


Sebelum Masjid Sultan ldris Shah II di Ipoh dibina dan dijadikan Masjid Negeri pada 15 November 1968, maka Masjid Ubudiah adalah Masjid Negeri Perak. Masjid Ubudiah sekarang dikenali sebagai Masjid Diraja dan ditadbirkan oleh suatu Jawatankuasa Tadbir Masjid Ubudiah dan dipengerusikan oleh sesiapa yang dilantik oleh Paduka Seri Sultan biasanya penyandang jawatan Orang Kaya Temenggong Paduka Raja mahupun jawatan Orang Kaya-kaya Setia Bijaya Diraja dan jawatan Setiausaha diuruskan oleh seorang pegawai kerajaan yang berkhidmat di Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak (Darul Ridzuan).

 Walaupun sudah hampir 100 tahun, namun kecantikan  masjid ini tetap hebat terserlah. Malah masjid-masjid baru yang dibina tak sampai 10 tahun pun belum tentu fizikalnya utuh seperti Masjid Diraja ini.


Suasana dalam ruang solat yang cukup indah dan nyaman.

No comments :