Luahan


Subscribe

RSS Feed (xml)

Sunday, January 10, 2016

Blog dan tulisan

Tabiat manusia boleh berubah-ubah mengikut perkembangan masa dan zaman. Kalau dahulu orang suka mengarang tulisan panjang-panjang, Para ulama silam menyusun buku sampai berjilid-jilid tebalnya. Pelajar sekolah menjadikan menulis sebagai salah satu hobi. Orang  boleh  menulis berkajang-kajang surat . Mereka yang ingin menambah kenalan boleh menyertai ruangan sahabat pena dalam mana-mana majalah. Kini suasana sepertinya sudah berubah.

Orang sekarang lebih suka yang ringkas-ringkas dan cepat. Tulisan pun di ringkas-ringkaskan, tak perlu belajar tulisan trengkas, boleh reka sendiri.
Bagi saya, tak kisahlah nak tulis panjang atau pendek, tetapi yang penting kena membudayakan budaya menulis di kalangan kita semua.

Pelajar sekolah menulis, pelajar IPT menulis, orang dewasa baik apa pun pekerjaannya juga menulis. Mungkin bagi pelajar sekolah dan IPT memang perkara biasa pelajarnya menulis, cuma budaya tersebut mula menurun apabila tidak lagi bergelar pelajar secara formal.

Program-program kuliah agama di masjid cukup banyak di negara kita, cuma pengkuliahnya sahaja yang membawa buku, ada pun para pendengarnya lebih selesa menjadi pendengar sahaja. Walaupun banyak kali pengkuliah memberi kiasan atau pun memberi cadangan kepada anak murid tetapi sangat sukar untuk mengatasi masalah ini.

Ada juga pihak masjid dan surau menyediakan kitab-kitab yang menjadi teks pengkuliah, macam ‘buku Yasin’ yang dibaca malam jumaat. Agaknya kalau ‘buku Yasin’ tidak disediakan ada kemungkinan para Jemaah membawa sendiri dari rumah ? atau tetap bersahaja tidak membawanya.

Sebenarnya untuk menulis sekarang tidak perlu sentiasa membawa buku dan pena. Perkembangan teknologi sangat memudahkan kita. Kita boleh menulis di gadjet sama ada smart phone atau tablet dan lain-lain.

Tulisan yang ditulis juga boleh disimpan untuk tatapan peribadi atau pun dikongsi kepada orang lain. Jika dahulu  ruang yang ada sangat terhad, hanya di buku, majalah dan akhbar itu pun didominasi oleh kebanyakan  mereka yang memang pekerjaannya sebagai penulis. Kini siapa sahaja mampu untuk berkongsi penulisan mereka. Kongsi sahaja di aplikasi media sosial alam maya, tulis di blog, FB, Group Whatsapp dan lain-lain lagi.

Tulisan yang baik insyaa Allah akan menjadi jariah buat si penulis. Tulisan akan terus dapat ditatap walaupun penulisnya sudah lama meninggal dunia, walaupun sudah berusia ratusan tahun, namun hasil tulisan masih terus dapat dinikmati. Lihat sahaja kitab-kitab karya ulama-ulama silam yang tebal berjilid-jilid masih terus dapat dibaca sehingga sekarang.

Sedar tak sedar, tahun baru 2016 telah menjengah. Saya masih belum ‘post’ sebarang tulisan untuk tahun 2016 di blog ini. Mutakhir ini era blog sudah semakin pudar setelah munculnya Facebook yang telah mencipta suatu fanomena baru sehingga menenggelamkan media sosial yang lain seperti My Space dan Friendster.
Ketika saya memulakan membuat blog ini dahulu, ketika itu saya berada dalam ‘biah’ (suasana) semua orang buat blog. Semua hendak digelar sebagai blogger dan mempunyai blog peribadi.

Ketika itu saya belum mempunyai laptop, boleh dikira beberapa orang sahaja di kalangan sahabat kami yang mempunyai laptop. Kebanyakan dari kami hanya membeli Komputer (PC) dan di rumah saya tiada line telefon dan internet. Untuk akses internet , saya beserta sahabat serumah (ahli bayt) perlu ke ‘cyber cafe’.  Untuk ‘update’ blog, saya biasanya menaip di komputer  rumah, kemudian ‘save’ dalam ‘pen drive’ untuk dibawa ke CC dan update blog di CC. Namun saya masih dapat update blog.

Kini saya tidak perlu lagi pergi ke CC, tidak perlu lagi ‘save’ dalam ‘pen drive’ kerana line internet yang semakin meluas berada di sekeliling saya. Sepatutnya blog saya semakin kencang?

Walaupun sudah ramai blogger yang telah bersara dari dunia blog, dan  kini  aktif di Facebook dan Instagram, namun saya tetap cuba untuk tidak mematikan blog ini, kerana ia telah menjadi sebahagian dari nostalgia dari kehidupan saya, bagaimana saya pernah bersusah berjalan kaki berkilo-kilo meter dari rumah ke CC suatu ketika dahulu, tak kan senang-senang saya mahu melupakan blog ini.

Saya bukanlah pandai menulis seperti kebanyakan penulis hebat dan profesional, tetapi saya tetap akan menulis dengan cara dan rentak saya, bukan hanya untuk pembaca tetapi juga untuk kepuasan saya sendiri.

Doakan supaya saya istiqamah menulis dan blog ini sentiasa aktif. 
Insyaa Allah.




2 comments :

Hati Besi said...

Doakan saya juga :)

syababgr said...

Insyaa Allah, sama-sama berdoa..