Tuesday, March 22, 2011

Bila Khutbah & Solat Jumaat

Menjadi kelaziman umat Islam terutamanya kaum muslimin mendengar khutbah jumaat sebelum daripada menunaikan solat jumaat. Sebenarnya jika diteliti kita akan mendapati pelbagai ragam manusia ketika suasana khutbah dan solat jumaat.

Golongan Awal
Ada golongan yang akan hadir awal ke masjid. Kalau di tempat saya dalam pukul 12.00 pm mereka telah menjejaki tangga masjid. Biasanya mereka yang sudah berumur lanjut, sudah pencen dan tidak lagi bekerja. Memang sangat bagus dapat datang awal ke masjid. Daripada golongan yang awal ke masjid ini kita dapat pecahkan kepada kategori kecil yang lain lagi. Antaranya i) Mereka yang datang awal, kemudiannya menunaikan solat sunat tahhiyatul masjid, duduk beriktikaf di saf hadapan sambil mengaji al-Quran atau pun berzikir. Biasanya kategori jenis ini paling minoriti jumlahnya, kuantiti yang sangat kecil hampir-hampir tiada.
ii) Mereka yang datang awal, tetapi tidak berada di saf hadapan, mereka lebih memilih untuk berada di barisan terkebelakang, duduk bersandar di dinding sambil melunjurkan kaki berbual mengupas mengenai apa-apa isu yang menarik untuk mereka kupas. Ada yang ulas seperti seorang menteri, ada yang seperti DO, seperti YB, seperti seorang ahli politik yang berpengalaman dan macam-macam lagi. Katogeri jenis ini pun tak lah ramai mana jumlahnya.

Golongan Yang ramai
Golongan yang agak ramai ialah kelompok pertengahan, dekat-dekat nak azan barulah mereka sampai. Tak boleh juga nak salahkan mereka, mungkin ada yang bercita-cita untuk hadir awal tetapi tidak kesampaian. Mungkin mereka terikat dengan komitmen lain seperti bekerja, waktu keluar pejabat lambat, jalan sesak, ambil anak dahulu di sekolah yang menyebabkan mereka tidak boleh datang awal ke masjid. Tetapi oleh sebab menjadi suatu kelaziman yang biasa, menyebabkan apabila hari jumaat cuti pun telah menjadi tabiat mereka untuk hadir lewat ke masjid. Kadang-kadang lebih lewat daripada hari mereka bekerja.

Suasana Ketika Khutbah Jumaat
Pelbagai jenis manusia yang mendengar khutbah ini. Ada kelompok yang bila waktu khutbah memanfaatkannya dengan melelapkan mata. Mungkin letih bekerja, sebab itu ada negeri-negeri yang bercuti pada hari jumaat. Memberi ruang yang seluas-luasnya kepada orang ramai untuk berehat dan beribadah.

Kadang-kadang tajuk khutbah yang tidak sesuai dengan zaman dan keadaan. Tambahan pula dibacakan pula oleh khatib yang tidak membuat persediaan rapi. Bagi negeri Pahang, teks khutbah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti sebulan sekali. Tajuk khutbah biasanya telah ditetapkan tarikh untuk sesuatu tajuk. Kadang-kadang tajuk tersebut tiada kaitan dengan isu semasa yang sedang hangat berlaku. Ataupun tidak releven dengan tempat tersebut. Contohnya ada khutbah yang bertajuk jagalah binatang ternakan dan jangan bagi berkeliaran di jalan dan di tempat awam. Tajuk tersebut sangat sesuai dibacakan di kampung-kampung, tetapi di bandar-bandar besar seperti tiada faedahnya. Mungkin perlu ada pilihan untuk kategori bandar atau kampung.

Peranan yang tebesar juga perlu dimainkan oleh khatib yang menyampaikan khutbah. Bukan nak memperlekehkan tetapi itulah yang berlaku, ramai khatib dan imam yang sudah terlalu uzur untuk jawatan tersebut. Ada yang nak berdiri pun sudah terketar-ketar, percakapan yang sudah tidak berbutir, baca khutbah lambat merangkak-rangkak mengeja huruf-huruf jawi yang kadangkala disertakan dengan bahasa-bahasa moden.

Antara masalah khatib jumaat ialah :
i) Khatib tidak lancar menyampaikan khutbah. Bukannya apa, tidak ada persediaan dan ulang kaji. Naik mimbar masa tu lah baru tengok teks.. Teks pula dalam tulisan jawi itu yang keluar macam-macam.. contohnya perkataan etika jadi itik, bumi jadi bom.

ii) Khatib tidak mahir membaca al-Quran. Itu yang salah tajwid, baris, salah sebutan ketika membaca ayat al-Quran, sedangkan membaca ayat al-Quran juga termasuk dalam rukun khutbah. Saya pernah menemuduga calon imam masjid qaryah yang tidak tahu membaca al-Quran, Dia hanya boleh membaca al-Quran secara hafazan beberapa surah-surah lazim yang pendek. Bila suruh baca al-Quran tak boleh..tapi dia kata Tuan Qadi yang suruh dia datang temuduga.

iii) Khatib tidak boleh membaca jawi. Teks khutbah ditulis dalam bahasa jawi. Ada juga yang tidak boleh membacanya.. dia akan suruh orang lain salin semula dalam tulisan rumi. Ayat al-Quran pun dirumikan..macamana agaknya nak kenal rupa panjang pendek, dengung bila ayat al quran yang dirumikan.

Pemilihan Imam dan Khatib
Berkaitan pemilihan imam dan khatib ada beberapa isu. Antaranya : i) Ada imam dan khatib yang walaupun sudah uzur tetapi seperti tidak mahu melepaskan jawatan. Mungkin soal elaun bulanan yang diperolehi, senang-senang dapat RM 800 sebulan. Dan yang lebih penting status di khalayak masyarakat, status imam yang disegani dan dihormati. Itu yang rasa berat nak melepaskan jawatan.

ii)Pemilihan imam di masjid-masjid qaryah perlu mendapat restu daripada Tok empat. Kadang-kadang bukan tidak ada calon lain yang lebih layak. Tetapi disebabkan berlaga angin dengan Tok Empat maka calon yang lebih layak dinafikan. Pernah dalam satu sesi temuduga pemilihan imam qaryah di daerah saya, ada calon yang kurang baik pendengarannya.. orang tua biasalah..jadi panel tanya lain dia jawab lain.. gelak dalam hati panel-panel penemuduga, macam mana nak uji tanya lain jawab lain..dan dia sentiasa menegaskan saya ini dah tak berapa dengar..tetapi dia hadir temuduga sebab Tok Empat yang rekmenkan…

iii) Orang muda yang mempunyai kebolehan untuk menjadi imam dan khatib tidak mesra dengan masjid. Biasanya di sesebuah mukim atau kampung bukannya tidak ada sekolah rendah mahupun menengah. Di sekolah-sekolah ada ustaz yang akan mengajar agama di sekolah. Maka sepatutnya ustaz-ustaz ini mengambil peranan dalam masyarakat antaranya menjadi imam di masjid. Tak tahulah kalau tak dapat restu dari Tok Empat..

iv) Memang sudah tidak ada orang yang layak. Yang ada itu kira yang paling baik di kampung tersebut. Biasa ketika sesi temuduga pemilihan imam masjid qaryah, ramai calon yang mengutarakan.. saya ini tak lah layak mana pun tetapi dah tak ada orang lain dah…


Begitulah antara ragam manusia semasa hari jumaat. Makmum dengan cara makmum, imam dan khatib dengan cara mereka. Mudahan kita dapat koreksi diri untuk menjadi lebih baik selagi Allah masih mendatangkan ruang dan peluang untuk kita.




No comments: