Thursday, August 30, 2012

29 Ogos-Mengenang As Syahid Sayyid Qutb

29 Ogos 1966 yang lalu,  tarikh berlakunya peristiwa tragis bagi umat Islam. Tarikh di mana as-Syahid Sayyid Qutb dihukum mati di tali gantung. 

Sayyid Qutb telah dilahirkan di Asyut, Mesir pada tahun 1906, menghafal al-Quran dan menamatkan hafazan semasa berumur 10 tahun. Beliau dididik oleh ibu bapanya dengan tegas berkaitan syakhsiah dan pengamalan Islam.

Sayyid Qutb pernah merakamkan keberkesanan ibu bapanya dalam mengasuhnya semasa kecil dalam tulisannya :

"Wahai ayahku, kutujukan tulisan ini kepada rohmu. Aku masih kecil ketika engkau menanamkan ke dalam jiwaku rasa takut kepada hari akhirat. Tidak pernah engkau mengherdikku, namun engkau mempamerkan hidupmu di depanku. Hari akhirat menjadi perhitungan dan peringatanmu, di hati dan di lidahmu. Engkau bersungguh menunaikan hak orang ke atasmu, namun engkau berlebih kurang dengan hakmu di atas orang lain, kerana engkau takut pada hari akhirat. Engkau memaafkan kesalahan orang lain, Walaupun engkau mampu membalasnya, lantaran mengharapkan ia menjadi kifarat di hari akhirat. Engkau selalu mengenepikan keperluanmu agar mendapat ganjaran akhirat. Wajahmu terbayang dalam ingatanku, setiap kali kita selesai makan malam, engkau membacakan al-Fatihah dan engkau menujukan kepada roh kedua ibubapamu di negeri akhirat. Dan kami anak-anakmu yang kecil turut bersamamu membacanya, terputus di sana sini kerana kami masih belum menghafalnya dengan sempurna".

"Kepadamu wahai ibu, kutujukan buku ini (Al-Taswir al-fanni fil Quran), ketika desa ini berkumandang dengan bacaan al-Quran dari rumah kita, sepanjang bulan Ramadhan, engkau bersungguh-sungguh mendengarnya dari balik tirai. Apabila aku yang duduk di sisimu turut menakal sebagai anak-anak yang lain, engkau segera memberi isyarat tegas dan aku segera mengerti lalu turut bersamamu menghayati alunan bacaan al-Quran walaupun aku tidak mengerti maknanya. ketika aku membesar di dalam belaianmu, engkau menghantarku ke sekolah asas di desa. Impian pertamamu padaku ialah agar aku menghafal al-Quran dan dengan anugerah Allah aku menghafalnya serta membacakannya kepadamu setiap masa"

Kisah Sayyid Qutb dengan Ikhwan bermula ketika beliau sedang berada di Amerika di atas urusan kerja (ketika itu beliau sedang berkhidmat dengan Kementerian Pendidikan Mesir). Beliau cukup terkejut melihat masyarakat Amerika yang bergembira dan berpesta meraikan kematian seorang musuh mereka iaitu Hasan al-Banna. Sayyid Qutb merasa ingin mengenali susuk lelaki tersebut. Sekembalinya dari Amerika beliau mencari jawapan 'siapa lelaki hebat' yang sangat dibenci oleh golongan kuffar tersebut. Akhirnya beliau menemui jawapannya dan bersegera beliau bernekad untuk menyambung tugas yang pernah dilalui oleh almarhum as-Syahid Hasan al Banna walaupun akhirnya beliau terpaksa membayar dengan harga nyawa beliau sendiri.

Secara rasmi beliau menyertai ikhwan pada tahun 1951. Beliau merupakan orang pertama yang memberikan baiah kepada Hasan Hudaibi selaku Musyridul am Ikhwan. Beliau telah dilantik menjadi ketua lajnah Dakwah Ikhwan.

Sayyid Qutb menulis dan bercakap dengan menjiwai sepenuhnya perjuangan Ikhwan. Ideanya telah dicurahkan di dalam buku-buku harakah dan dakwah. Karyanya telah tersebar luas ke seluruh pelusuk alam. Antara karyanya yang masyhur ialah :
Maalim fil Tariq, Tafsir fil zilal al-Quran dan puluhan lagi yang lain.

Beliau telah dipenjarakan pada tahun 1954 dan dihukum mati pada tahun 1966.

Beberapa Kalam Akhir  As-Syahid Sayyid Qutb :

Surat yang ditulis kepada adiknya Hamidah Qutb sebelum beliau digantung sampai mati :-
"Wahai adikku, barangkali sekarang ini engkau sedang melihat dengan gerun tali gantung yang akan menjerat leherku. Kita akan merasakan perjuangan kita ini sempit apabila kita memikirkan bahawa kita yang memulakan perjuangan dan kita yang akan mengakhiri perjuangan ini tetapi apabila kita memikirkan bahawa bukan kita yang memulakan perjuangan ini dan bukan kita yang menamatkannya, maka ketika itu terasalah bagaimana luasnya perjuangan kita, bagaimana luasnya keluarga kita kerana keluarga kita bukan keluarga yang diikat oleh keturunan darah tetapi keturunan kita diikat oleh kesatuan akidah La ilaha illallah Muhammad Rasulullah"

Puisi yang ditulis beberapa ketika sebelum menemui syahid :-

Saudara!
Seandainya kau tangisi kematianKu
Dan kau siram pusaraku dengan air matamu
maka di atas tulang-tulangku
yang hancur luluh
nyalakanlah obor buat umat ini
dan..
teruskan perjalanan ke gerbang jaya

Saudara!
kematianku adalah suatu perjalanan
mendapatkan kekasih yang sedang merindu
taman-taman syurga Tuhanku bangga menerimaku
burung-burungnya berkicau riang menyambutku
bahagialah hidupku di alam abadi

Saudara!
Puaka kegelapan pasti akan hancur
dan alam ini akan disinari fajar lagi
biarlah Rohku terbang mendapatkan rindunya

Janganlah gentar berkelana di alam abadi
nun di sana fajar sedang memancar.


kini telah 46 tahun Ulama haraki ini telah meninggalkan kita. Namun gerak kerjanya akan terus disambung dari generasi ke generasi..termasuklah diri kita yang kerdil ini..insyaAllah..

P/s: salam kemerdekaan ke 55 buat sahabat-sahabat semua.

No comments: