Wednesday, September 09, 2015

Sejarah di SMATAF

Dalam negeri pahang terdapat 19 buah sekolah menengah agama di bawah kerajaan negeri Pahang yang diletakkan di bawah Jabatan agama Islam Pahang. Salah satunya ialah Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah (SMATAF). 
Sedikit pengenalan mengenai sekolah SMATAF yang dipetik dari laman web http://smataf.pahang.edu.my/index.php/mengenai-kami/sejarah-sekolah  
"Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah ( SMATAF) adalah sebuah sekolah menengah agama perempuan pertama dan tunggal di negeri Pahang Darul Makmur yang terletak di Bandar Diraja Pekan. 
Sekolah ini diasaskan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang pada tahun 1959 bertempat di Istana Kuning yang telah dikurniakan KDYMM Sultan Pahang Al-Marhum Sultan Abu Bakar Al-Muadzam Shah. Sekolah ini telah mendapat bantuan Kerajaan Pusat untuk mendirikan sebuah bangunan yang bernilai RM 120,000.00. Nama asal sekolah ini ialah Kuliah Tengku Ampuan Fatimah Pahang. Nama ini di ambil sempena nama Tengku Ampuan Pahang pada ketika itu. Sekolah ini dirasmikan oleh KDYMM Sultan Pahang Al-Marhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah pada 1 Februari tahun 1960. 
Pada tahun 1996 sekolah ini telah di ambil alih oleh kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur.  Pada tahun 70-an, sekolah ini telah membuka peluang kepada pelajar lelaki sehinggalah tahun 1984 kerana ketandusan pelajar. Mulai tahun 1985 sehinggalah ke hari ini, sekolah ini hanya menerima pelajar perempuan sahaja.
Pada tahun 1985, sebuah asrama pasang siap telah di bina oleh Yayasan Pahang di dalam kawasan sekolah yang dapat menampung kira-kira 120 orang pelajar dan telah dirasmikan oleh KDYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah pada 6 September 1986 serentak dengan sambutan suku abad Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah, Pekan. Penambahan telah dibuat pada tahun 1987 iaitu sebuah bangunan baru tiga tingkat yang mempunyai bilik darjah, bilik guru, bilik mesyuarat, pejabat, makmal.
Pada awal tahun 1989, sekolah ini telah mendapat penambahan asrama di belakang kawasan sekolah yang telah dikurniakan KDYMM Sultan Pahang yang boleh menampung 80 orang pelajar. Pada tahun 1991 telah didirikan sebuah surau yang boleh memuatkan 200 orang jamaah. Pembelajaran di sekolah ini berjalan lebih selesa dengan penambahan kelas dan asrama tersebut. Secara tidak langsung pencapaian prestasi pelajar semakin meningkat dari tahun ke tahun dengan adanya kemudahan-kemudahan tempat belajar, tempat tinggal dan tempat makan yang sederhana.
Sekali lagi KDYMM telah bermurah hati mengurniakan tapak Istana Inderapuri untuk didirikan kompleks asrama yang lengkap, dengan peruntukan perbelanjaan daripada kerajaan negeri berjumlah RM6.2 juta. Asrama ini mampu menempatkan kira-kira 300 orang pelajar dan telah diduduki dengan rasminya pada 7 Februari 1998. Pada hari ini sekali lagi, sekolah ini mencatat sejarah dengan perasmian Asrama Puteri Inderapuri oleh KDYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustaiin Billah. Alhamdulillah dengan siapnya kompleks asrama ini telah memberi  peluang kepada pelajar-pelajar untuk menikmati kemudahan yang selesa.

 Bangunan SMATAF terkini (2015)

Lebih menarik, di SMATAF terdapat suatu sejarah silam yang mungkin tiada di sekolah-sekolah yang lain. Penemuan patung Buddha yang dikatakan berasal dari Siam dijumpai di SMATAF semasa kerja-kerja gotong royong membersih kawasan asrama dan surau pada tahun 1993. Patung ini dikaitkan dengan zaman pengaruh Siam di negeri Pahang pada kurun ke 14 dan awal kurun ke 15.

Maklumat yang dipamerkan di Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan

Dipamerkan di Muzium Sultan Abu Bakar Pekan


Mungkin di sekolah-sekolah yang lain juga terdapat sejarah silam yang penting. Ayuh kita kongsi bersama-sama.


1 comment:

Anonymous said...

dulu mak abah saya sekolah kt sini. abah citer abah la generasi terakhir student lelaki kat sekolah tu. ���� tak pernah dengar pun cerita pasal patung buddha tu. tq share ustaz✌