Luahan


Subscribe

RSS Feed (xml)

Tuesday, September 06, 2016

SEPUTAR MEMORI SILAM : Syafawi Al Quran ketika SMA

Hari ini bermula imtihan Syafawi Al-Quran bagi pelajar yang mengambil  Sijil Menengah Agama (SMA) yang dikelolakan oleh Jabatan Agama Islam Pahang. Peperiksaan  SMA dijalankan untuk pelajar tingkatan 4 Sekolah Menengah Agama di Negeri Pahang.

SMA merupakan sijil agama peringkat menengah yang menggunakan sukatan dari Al-Azhar Mesir. Mata pelajaran yang terkandung dalam SMA ialah Al-Quran, Nahu & Saraf, Balaghah, Tafsir, Mantiq, Tauhid, Fekah, Adab & Nusus, Insya’ & Mutalaah dan hadis.

Pemegang sijil SMA layak untuk mengambil STAM (Sijil Tinggi Agama Malaysia) ketika di tingkatan 6.  Jika ingin memohon pekerjaan sebagai guru KAFA, kelayakan mempunyai sijil SMA diambil kira. Jika hanya ada sijil SPM tetapi tidak mengambil SMA kebiasaannya sukar untuk mendapat kerja sebagai guru Kafa melainkan jika ada kelayakan agama yang lain.

Suatu ketika dahulu, pelajar Sekolah Menengah Agama perlu mengambil peperiksaan SRA (Sijil Rendah Agama) sebelum menduduki peperiksaan SMA. Disebabkan peperiksaan  SRA tersebut  diadakan dalam tahun yang sama dengan SRP (Sijil Rendah Pelajaran) maka akhirnya peperiksaan SRA dimansuhkan.

SEPUTAR MEMORI SILAM : Syafawi Al Quran ketika SMA
Saya juga pernah mengambil peperiksaan SMA. Sedikit catatan mengenainya :

-Suatu pagi semasa perhimpunan di SMA Al-Khairiah (SMAKT) di bulan pertama sesi persekolahan semasa saya dalam tingkatan 4, cikgu (saya rasa cikgu Lotepi) menyebut nama-nama pelajar yang dimintanya tunggu selepas tamat perhimpunan dan nama saya termasuk sekali dalam senarai tersebut.

-Rupanya nama-nama yang disebut itu ditawarkan oleh JAIP untuk masuk ke kelas aliran sains di SMA Al-Ihsan (SMAI). Pada masa itu, JAIP hanya membuka  kelas aliran sains di SMAI sahaja. Maka pelajar-pelajar dari SMAN  lain (Sekolah menengah Agama Negeri di bawah kerajaan negeri Pahang) yang mendapat keputusan PMR yang agak baik akan ditawarkan masuk ke SMAI untuk masuk ke kelas aliran sains tersebut.

-Saya bersama beberapa rakan dari SMAKT pun berhijrahlah ke SMAI. Ketika awal-awal di SMAI, saya perhatikan pelajar tingkatan 4 di sana sudah memulakan hafalan surah-surah pilihan yang terkandung dalam subjek Al-Quran SMA sedangkan saya satu ayat pun belum hafal lagi.

-Saya masih ingat surah-surah yang menjadi silibus SMA ketika itu sebanyak 5 surah iaitu surah Az Zumar, Ghafir, Fussilat, As-Syura dan Az Zukhruf. Saya pernah diberitahu kini surah-surah pilihan untuk SMA sudah ditukar kepada surah lain.
-Saya pun mula lah menghafal dengan perlahan-lahan, tasmi’ (memperdengarkan bacaan) dengan Ustaz Makhtar di dalam kelas. Suatu ketika Ustaz Makhtar bising kerana kelas kami agak ‘slow’ tasmi’ dengan beliau.
-Saya lihat ada pelajar yang advance dengan tasmi’ dengan ustaz di bilik guru ketika ada masa-masa kosong. Sudah pasti pelajar tersebut bersungguh dan hafalannya sudah banyak.
-Akhirnya kadang-kadang saya juga mengambil peluang tasmi’ dengan Ustaz di bilik guru, tetapi saya tidak pernah pergi seorang, mesti bersama dengan rakan-rakan..haha
Menariknya di penghujung-hujung sebelum menjelangnya peperiksaan SMA, saya telah mendapat hadiah di perhimpunan yang diberi sendiri oleh Ustaz Makhtar kerana telah menjadi pelajar yang  menghafaz terbanyak..haha.

-Saya masih ingat saya dan seorang lagi rakan yang bernama Wan Noorliza Wan Abdullah Sani menerima hadiah yang merupakan sebuah buku catatan.

-Akhirnya peperiksaan syafawi Al-Quran pun tiba, dan rupanya hanya guru-guru dari SMAI sahaja yang menjadi panel. Panel saya ketika syafawi Al-Quran ialah Ustazah Rafiqah dan Alhamdulillah saya boleh menjawab soalan hafazan al-Quran tersebut.

Tamat cerita saya..

Kini saya doakan semoga pelajar yang menduduki peperiksaan Syafawi Al-Quran SMA dapat menjawab dengan baik. Jangan ada yang tidak cakna akan peperiksaan SMA. Mungkin ada yang kata bukan guna untuk masuk U pun, tetapi insya-Allah nilai SMA sangat tinggi selaku pelajar sekolah Menengah Agama dan bukan semua pelajar ada Sijil Menengah Agama.

Buat pelajar tingkatan 1,2 dan 3 yang akan menduduki peperiksaan SMA di masa akan datang, hafallah al-quran semampu yang kita boleh. Surah-surah pilihan hafal dan lancar dengan bersungguh-sungguh.

Pesan Imam Ibn Al-Jazari : Insan tidak mulia, melainkan apa yang dia hafal dan diketahuinya, begitulah penanggung Al-Quran, sebaik-baik ummah.

#permaimenulis #permaidihati #jomsupport #syafawialquran #sma #exam #peperiksaan #jaip #sman #smakt #smai





No comments :