Luahan


Subscribe

RSS Feed (xml)

Monday, September 05, 2016

Seputar Memori Silam : Terkenang ke UPSR



Hari ini kebanyakan pelajar tahun 6 menduduki peperiksaan UPSR. Saya mendoakan semoga para pelajar boleh menjawab kertas peperiksaan dengan jayanya dan akan mendapat keputusan yang cemerlang. Insya-Allah.

Antara program-program penghujung sebelum peperiksaan ialah solat hajat atau pun rombongan? Walaupun ada yang buat rombongan kononnya bertujuan  untuk mengelakkan  pelajar stress  namun bagi pendapat saya yang kuno ini lebih elok dibuat selepas peperiksaan.

Sebelum UPSR pelbagai kelas tambahan telah dirangka oleh guru demi untuk memastikan kejayaan anak muridnya. Ada yang buat kelas petang, kelas malam, kelas tambahan pada hari cuti dan pelbagai lagi.

Saya terkenang semasa saya tahun 6 dahulu. Izinkan saya membuat sedikit throwback..haha

‘Seputar Memori Silam :  terkenang ke UPSR’

-Saya tidak pernah merasa duduk dalam darjah 5, pindah ke sekolah kebangsaan terus masuk darjah 6 mengikut umur saya. Ketika itu belum ada peperiksaan lompat tahun.

-Pelajaran yang saya suka adalah Alam dan Manusia, cuma pelajaran tersebut bukan keutamaan dan tidak menjadi subjek peperiksaan dalam UPSR.

-Pelajaran yang saya jem krem adalah Bahasa Inggeris, lukisan dan muzik, kerana itu saya tidak pernah mendapat A dalam mata pelajaran tersebut. Saya masih ingat kegarangan  Teacher yang mengajar bahasa inggeris  dan saya selalu kena rotan disebabkan salah pada soalan yang terlalu mudah..huhu.

-Sejak awal tahun  lagi, sekolah telah mengadakan kelas tambahan pada setiap hari sabtu untuk pelajar tahun 6. Pernah saya tidak hadir, Saya masih ingat yang saya  dipanggil ke bilik Guru Besar bersama dengan beberapa rakan yang lain dan itulah kali pertama dan terakhir saya masuk ke bilik Guru Besar. Kami dipanggil kerana tidak hadir ke kelas tambahan tersebut. Akhirnya setiap seorang dirotan oleh Tuan Guru Besar.

-Pihak sekolah juga membuat kumpulan mentor menti, beberapa orang dalam suatu kumpulan bersama dengan guru yang telah ditetapkan. Tetapi projek mentor menti kumpulan saya tidak dapat berjalan dengan lancar, kerana tidak berapa lama selepas itu Guru mentor saya (cikgu Zamani) sambung belajar. Kini beliau merupakan pensyarah di IPG Lipis.

-Pada hari-hari tertentu, jadual kami pelajar tahun 6 ditambah, jadi kami akan balik lewat sedikit pada hari-hari tersebut. Saya rasa pukul 2 baru kami pulang.

-Cuti pertengahan tahun, Seminggu kami berkampung di SMKT dan ABS. Saya rasa program anjuran PPD Temerloh menghimpunkan pelajar-pelajar tahun 6 dalam daerah Temerloh. Saya ditempatkan di SMKT (Sekolah Menengah Kebangsaan Temerloh). Kami dibahagikan kumpulan. Setiap kumpulan akan belajar dalam kelas yang berasingan. Dalam kumpulan Saya, Saya  seorang sahaja dari SKTL (Sekolah Kebangsaan Tanjung Lalang). Asalnya ada seorang lagi  tetapi dia tidak dapat hadir kerana demam campak. Namanya John Berry AL Lainon Berry. Saya merasa la duduk di asrama SMKT seminggu, makan dalam tray dan Kelas diadakan siang dan malam.
- Masuk ke fasa berikutnya (mungkin semakin dekat dengan peperiksaan) pihak sekolah membuat kelas tambahan pada hari malam pula tetapi tidak semua pelajar yang terlibat. Hanya beberapa kelas sahaja dari 6 kelas yang ada. Saya terlibat sama, sama ada saya pelajar harapan?..haha atau pun pelajar yang lemah.

-Kisah hari pertama kelas malam tersebut, selepas habis kelas semua pelajar balik dengan berjemput. SKTL ketika itu bukan berada dalam bandar lagi seperti sekarang. Depan, kiri dan kanan SKTL masih hutan dan ada taman perumahan lama  yang terbengkalai di sebelah sekolah. Akhirnya tinggal  saya seorang, ayah saya ketika itu ada program jadi agak lewat datang menjemput.  Henpon (telefon bimbit) pula  belum masyhur lagi. Saya pun dihantar balik oleh Jaga Sekolah, saya masih ingat lagi dengan menaiki motor RXS, Abang Kama bersama dengan kawannya dan saya di tengah. Naik motor bertiga sehinggalah sampai ke rumah saya.

-Pihak sekolah juga  ada sekali  menganjurkan program kelas tambahan pada hari sabtu dan ahad di Kem Tentera Batu 3. Para pelajar  bermalam di kem dan merasa la menaiki truck askar sebagai pengangkutan dari kelas ke asrama penginapan. Cuma saya seorang yang tidak menghadirinya..huhu

-Akhirnya pada bulan Julai, UPSR pun bermula. Hanya 4 mata pelajaran sahaja iaitu Bahasa Melayu Pemahaman, Bahasa Melayu Penulisan, Matematik dan Bahasa Inggeris.

-Cikgu semuanya berpesan malam peperiksaan tidur awal dan saya memang ikut betul pesanan tersebut..haha.

Tamat dahulu Seputar Memori Silam.

#Jika saya menjadi Guru Besar, Sekolah di bawah kelolaan saya tidak ada kelas-kelas tambahan pada hari cuti, waktu malam..haha, seronok kan..

#Permaidihati
#Permaimenulis







No comments :