Monday, March 02, 2020

Kenali Ayah Tan Sri Muhyiddin Yassin


Membelek buku biografi Tuan Guru Haji Mohd Yassin, Tokoh Ilmuan Islam Cemerlang. Buku terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) yang saya beli di Pesta Buku KLBIF PWTC.
Haji Mohd Yassin yang masyhur dengan gelaran Cikgu Muhammad merupakan seorang guru agama yang tersohor.
Ketika usia remaja beliau berguru dengan Kadi Haji Abu Bakar Alim dan menjadi pembantu peribadi sehinggalah Kadi Abu Bakar Alim meninggal dunia pada tahun 1938.
Pada awal usia 21 tahun, Haji Mohd Yasin telah diberi kepercayaan gurunya Kadi Abu Bakar Alim untuk mengajar di masjid dan surau. Dalam tempoh sebulan, kuliah agama beliau berjalan tak kurang di 20 buah masjid dan surau.
Dalam bidang pendidikan, beliau membangunkan Madrasah As-Saadiah (sekolah arab), Surau As-Saadiah, Persatuan Lajnah Pengembangan Pelajaran Agama Islam Muar dan Sekolah Menengah Mohd Yassin (SMMY).
SMMY yang merupakan sekolah persendirian pertama di Muar mula dibuka pada tahun 1965. Pendaftaran awal pelajarnya berjumlah 100 orang.
Dukacitanya, SMMY beroperasi hanya selama 25 tahun (1965-1990). SMMY terpaksa ditutup kerana kos penyelenggaraan yang semakin tinggi.
Alhamdulillah, Madrasah As-Saadiah masih beroperasi sehingga sekarang. Pesanan Haji Mohd Yassin antaranya berbunyi : "Dalam apa-apa juga keadaan dan perubahan masa, pertahankan madrasah ini. Jika tiada guru, aku hendak anak-anak aku menjadi gurunya. Jika tiada murid, aku hendak cucu-cucu aku yang menjadi murid-muridnya".
Haji Mohd Yasin meninggal dunia pada 11 November 1975 ketika berumur 76 tahun. Beliau disemadikan bersebelahan dengan kubur gurunya Kadi Abu Bakar Alim.
Beliau meninggalkan 4 orang isteri, 47 orang anak dan ratusan cucu cicit serta ribuan anak didiknya.
Anak-anak beliau yang pernah menjadi guru agama dan Imam ialah Hj Mustafa(1924), Ahmad (1926), Hj Abd Rahman (1939), Hj Muhammad (1929), Hj Abd Ghaffar (1932), Hj Baharuddin (1957). Datin Rohana (1941) merupakan lepasan Universiti Al-Azhar dan pernah dinobatkan Guru Agama Cemerlang Negeri Johor tahun 2009.
Anak beliau yang berkecimpung aktif dengan parti politik ialah Haji Abdul Aziz (1932) pernah menjadi Ahli Parlimen Muar 1995-1999.
Paling terkenal ialah Tan Sri Haji Muhyiddin(1947), pada 1 Mac 2020 mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 8.

#TSMY
#PM8
#Baca
#buku
#GengPermai
#PermaiMenulis
#tokoh
#DaulatTuanku

No comments: