Monday, April 11, 2011

Ibadah Dalam Islam

Hujung minggu kelmarin, saya berkesempatan bersama-sama dengan peserta Kem Anak Soleh 2011, Maahad Shah Ad Dinie, Bandar Jengka. Slot yang diberikan kepada saya ialah 'Ibadah Dalam Islam'. Berikut adalah notanya :



Maksud Ibadah : merendah diri, tunduk, patuh dan taat. Maknanya Ibadah ialah pengabdian sepenuhnya kepada Allah SWT merangkumi segala perkara yang disukai dan diredhai Allah sama ada dari segi keyakinan, sikap, perbuatan, zahir atau batin. Dalam kata yang lain ibadah ialah segala aktiviti manusia zahir dan batin semata-mata mengharapkan keredhaan Allah. Mengapa perlu beribadah : kita sebagai hamba Allah. Hamba perlu taat segalanya terhadap tuannya.

Firman Allah yang bermaksud :

"dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu". (az Zariat : 56)


"Sesungguhnya ugama Islam Inilah ugama kamu, ugama Yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka Sembahlah kamu akan daku". (al-Anbiya’ : 92)


Hikmah Ibadah :

1. Menunjukkan Allah maha pemurah. Segala yang dilakukan akan mendapat pahala.

2. Menunjukkan rasa ketundukan hamba pada Tuhan.

3. Untuk meyakinkan manusia tempat penggantungan hanyalah Allah.

4. Untuk menjauhkan manusia dari maksiat.


Ruang lingkup ibadah : Ruang lingkup ibadah sangat luas. Seluruh kegiatan manusia adalah ibadah jika diniatkan kerana Allah. Islam tidak menganggap ibadah-ibadah tertentu sahaja dikira sebagai ibadah.


Pembahagian Ibadah : 1.Ibadah Khusus : sekumpulan perintah wajib yang diarahkan oleh Allah dan Rasulullah seperti rukun Islam. Contoh solat, puasa, zakat, haji.

2. Ibadah Umum : segala perkara yang dilakukan semata-mata mengharapkan keredhaan Allah.

Syarat-Syarat Untuk mendapat ibadah :

1. Islam. Tidak dikia jika orang kafir.

2. Amalan yang dilakukan itu bersesuaian dengan hukum syarak. Adapun amalan yang dinaskan haram dan maksiat tidaklah dikira sebagai ibadah.

3. Amalan tersebut dilakukan dengan niat yang baik. Walaupun perbuatan tersebut baik tetapi jika niat tidak baik maka tidak dikira sebagai ibadah. Contoh menderma dengan niat akan disanjung orang ramai dan untuk menunjuk-nunjuk.

4. Mengutamakan ibadah khusus seperti solat dan zakat dalam melaksanakan ibadah umum. Contoh: gotong royong membersihkan sesebuah tempat tetapi jika sampai meninggalkan solat adalah salah.


Kesimpulan

Sesungguhnya ibadah dalam Islam tidak hanya terbatas kepada ibadah khusus sahaja. sebagaimana difahami oleh sesetengah orang. Mereka menyangka telah sempurna Islam mereka dengan melaksanakan ibadah khusus sahaja. Sedangkan seluruh kehidupan manusia adalah ibadah.

No comments: