Wednesday, April 13, 2011

Masjid & Mengaji

i)

Sabtu minggu lalu, saya berkesempatan singgah di Masjid Daerah Bentong. Kelihatan ramai budak-budak lelaki berpakaian jubah putih berkeliaran di dalam masjid. Imam Masjid menceritakan bahawa mereka (baca pegawai Masjid bukan AJK) telah menganjurkan kelas tahfiz untuk pelajar sekolah. Kelas Tahfiz ini berlangsung pada setiap minggu kecuali minggu ke-4 bermula dari petang jumaat sehingga tengahari ahad. Pelajar akan duduk menginap di kediaman yang disediakan. Masjid baru mempunyai kemudahan yang agak lengkap berbanding masjid lama yang kemudahannya amat terhad. Mereka akan menghafaz, makan, tidor, belajar di Masjid. Yuran dikenakan juga sangat rendah hanya RM 50 sahaja. Tenaga pengajar untuk program kelas tahfiz ini lebih kurang seramai 6 orang yang akan digilirkan pada setiap minggu. Antara tenaganya ialah Imam Masjid sendiri, isterinya, Timbalan Qadhi Daerah Bentong (idea kelas ini dari beliau), Bilal Masjid dan beberapa orang lagi. Sangat seronok rasanya dapat melihat kanak-kanak ini dan rasa teruja dengan program ini. Saya juga mempunyai harapan yang besar untuk mengadakan program sebegini yang berterusan terutama kepada golongan muda belia. Biasa kita lihat kebanyakan program Masjid (terutama kelas pengajian al-Quran) lebih berkisar kepada golongan warga emas yang sudah pencen.


ii)

Awal tahun 2009, Masjid Daerah Lipis telah melancarkan program kelas pengajian al-Quran terbuka. (Sebelum daripada ini, kelas yang sedia ada hanya sebuah kelas sahaja). Sambutan terhadap kelas yang akan dijalankan ini cukup memberangsangkan. Borang penyertaan yang diterima hampir 100 orang (mungkin bagi sesetengah tempat angka ini sangat kecil, tetapi bagi daerah Lipis sebaliknya). Ketika hari taklimat dijalankan sangat ramai yang hadir dan mereka bergembira dengan program kelas ini. Peringkat permulaan kelas dapat berjalan dengan baik. Kelas peringkat asas (Iqra’) ada satu kelas. Kelas untuk peringkat pertengahan (al-Quran) ada empat kelas. Kelas berjalan pada waktu petang selepas solat asar. Penyertaan ramai dari golongan pertengahan umur yang masih bekerja. Pulang dari kerja, singgah belajar dahulu sebelum pulang ke rumah. Masalah mula timbul, apabila beberapa orang tenaga pengajar mula tidak dapat memberikan komitmen. Mereka disibukkan dengan tugasan luar yang lain. Akhirnya menyebabkan dua kelas terpaksa ditutup. Tinggallah 1 kelas asas dan dua kelas pertengahan. Sehinggalah Majlis Ugama Islam melancarkan projek guru hafiz di masjid. Maka dua kelas lagi (Iqra’ dan pertengahan) dibubarkan, dengan harapan anak muridnya join pula pengajian di bawah projek Majlis ugama ini. Akhirnya tinggallah 1 kelas sahaja yang dapat bertahan sehingga ke hari ini. Walaupun sudah ada banyak cadangan terutamanya untuk kelas di peringkat asas, namun saya masih belum boleh untuk melancarkan semula kelas pengajian al-Quran kerana, tidak mempunyai tenaga untuk mengajarnya.


iii)

Majlis Ugama Islam telah membuat program guru hafiz di masjid-masjid. Program yang sangat berfaedah. Cumanya mungkin tiada pemantauan dari Majlis Ugama sepertinya membiarkan anak tanpa ibu maka program ini tidak berapa menjadi. Mungkin OK di beberapa tempat tetapi banyak yang tidak berapa menjadi. Kelas di Masjid kami, pada waktu pagi tidak memungkinkan golongan bekerja dan pelajar. Yang ada (tidak sampai 20 orang) golongan yang tidak bekerja dan sudah berpencen.


iv)

Saya telah memulakan sesi pengajian al-Quran secara umum (Baca+tafsir+tajwid) seminggu sekali selepas solat maghrib. Kuliah ini mula mendapat sambutan terutama dari orang lelaki. Orang lelaki terutamanya yang sudah berumur memang payah nak ajak belajar mengaji ini. Mereka sangat penyegan. Dulu, Imam sebelum saya juga pernah mengadakan kelas pengajian al-Quran secara umum ini. Tetapi katanya hanya sekali sahaja, lepas itu anak murid tak berani dah, tak tahu segan kepada guru atau kepada kawan-kawan yang lain. Kesnya sebab kena baca sorang-sorang. Takut baca sorang-sorang ini. Contohnya program tadarus al-Quran yang kita buat pada setiap bulan Ramadhan, penyertaan dari golongan lelaki sangat kurang..orang awam tak sampai 5 pun, mujur ditampung oleh pegawai-pegawai masjid dan imam terawih jemputan. Jadi untuk sesi ini kita buat baca ramai-ramai. Alhamdulillah masih boleh bertahan dan dapat sambutan.


v)

Saya lihat ada juga makcik-makcik ini yang sangat suka belajar mengaji. Hari-hari mereka datang untuk belajar mengaji, bertalaqi membaca al-Quran dengan guru. Cuma kadang-kadang aulawiyat (perkara utama yang perlu diutamakan) tak berapa kena. Ada la makcik-makcik ini, dulu sebelum mereka belajar mengaji hari-hari, di masjid ini juga ada kelas pada setiap pagi khamis dan jumaat yang pelajarannya pelbagai. Antara madahnya pelajaran Al-Quran, Tajwid, Aqidah, Mustika Hadis, Sirah, Fekah. Kelas ini sudah berjalan lama atas insiatif guru-guru al-Quran asrama yang ingin memperdalamkan ilmu mereka. Mereka mencari guru dan membiayai sendiri guru tersebut. Tetapi ada la makcik-makcik ini yang tak pergi dah ke kelas ini kerana sayangkan kelas al-quran yang mereka sudah hari-hari pergi. Nak kejar khatam katanya, Eloknya dia dapat ambil dua-dua. Contoh lain : Masjid ini ada program halaqah ilmu secara berkala bersama Dr Zulkifli al-Bakri. Pengajian yang diajarkan Syarah Hikam, Fiqh Manhaji , tafsir & hadis pilihan serta sesi soal jawab. Bila halaqah ini berlangsung kelas pengajian al-quran akan bercuti. Tapinya makcik-makcik ini tak hadir pun ke halaqah ini. Fikiran mereka gayanya nak belajar mengaji al-quran sahaja, ilmu-ilmu lain macam tak berapa je. Sampaikan ada yang dah datang ke masjid, tahu je kelas mengaji cansel..terus balik..sedangkan masjid ada program ilmu yang lain yang aula juga dia turut sama.


vi)

Alhamdulillah, baru-baru ini kami telah memulakan sesi pengajian asas qiraat. Program ini dibuat secara dalaman. Hanya kepada mereka yang telah menguasai manhaj tajwid. Waallahua’lam…

No comments: