Teks Khutbah keluaran Jabatan Mufti Negeri Pahang untuk 11 Mac 2011... Respon yang baik dari para jamaah. Ada yang kata boleh ulang baca lagi... Ada yang kata : Patutnya dah lama khutbah macam tu... AJK pula tanya : Imam buat sendiri ke teks tu... Kan teks Jabatan Mufti tu... Beberapa hari selepas itu Jabatan Mufti menanyakan pegawai-pegawai masjid respon jemaah terhadap khutbah tersebut.
Teks Khutbah :
الحَمْدُ للهِ الْقائل فِيْ كِتَابِهِ العَزِيْزِ: أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، الَّذِي بَلَّغَ الرِّسَالَةَ وَأَدَّى الأَمَانَةَ وَنَصَحَ الأُمَّةَ وَكَشَفَ الْغُمَّةَ، الَلَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيْدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، أما بعدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، إِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ، وَتَزَوَّدُوْا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَقْوَى.
Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT, dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga dengan itu, kita akan sentiasa dirahmati Allah SWT di dunia mahupun di akhirat.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Masjid adalah rumah Allah yang dibina untuk memenuhi semua keperluan kehidupan umat Islam. Kemakmuran sesebuah masjid lazimnya bergantung kepada kecekapan pegawai dan keseluruhan Jawatankuasanya serta keprihatinan dan kerjasama ahli kariahnya. Kemajuan sesebuah masjid amat penting jika kewangan diuruskan dengan betul. Khutbah hari ini akan membincangkan tajuk “ Kewangan Masjid, Mesti Diuruskan Dengan Betul”.
Isu pengurusan kewangan masjid seringkali dibahaskan, antaranya mengenai penyalahgunaan wang tabung masjid atau wang tidak dibelanjakan. Masalah yang paling ketara ialah wang masjid tidak dibelanjakan, sebaliknya hanya disimpan di dalam bank sehingga mencecah puluhan ribu bahkan menjangkau ratusan ribu. Amat menyedihkan, duit tabung masjid banyak, tetapi masjid kurang mengadakan majlis ilmu dan kelas pengajian seperti kelas pengajian akidah, feqah, tasawuf dan sebagainya.
Seringkali kita mendengar, apabila tiba penghujung tahun ada ahli jawatankuasa masjid yang bertanya kepada bendahari : “Berapa banyak duit masjid yang berjaya kita kumpul pada tahun ini?”,mereka menjawab; “Masjid kita lebih banyak duit berbanding masjid kampung sebelah,”. “Tahun depan kita kumpul banyak lagi duit masjid.”
Ingatlah, wang tabung masjid yang didermakan merupakan amanah untuk menguruskan masjid. Gunakanlah wang sumbangan dan derma daripada orang ramai untuk mengimarahkan masjid. Iaitu dengan mempelbagaikan program-program ilmu, menyediakan kemudahan asas bagi keselesaan jemaah, membaiki kerosakan dan mengadakan gotong-royong bagi memastikan kebersihan masjid dan kawasan sekitarnya terpelihara.
Wang tabung masjid hendaklah direkodkan perbelanjaan keluar masuknya dengan sempurna supaya pengurusan wang masjid dapat diuruskan dengan baik dan penuh amanah. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Pengisian masjid hendaklah ditumpukan kepada aktiviti dakwah seperti ceramah-ceramah agama, kuliah-kuliah ilmiah mingguan dan bulanan. Jemputlah penceramah-penceramah atau tuan-tuan guru yang mendapat tauliah atau kebenaran daripada pihak berkuasa agama untuk mengisi program ilmu. Gunakanlah wang tabung masjid untuk membiayai kegiatan keilmuan supaya dapat berjalan dengan sempurna. Begitulah kelas-kelas tusyen anak-anak kita boleh diadakan di masjid seperti kelas bahasa arab, bimbingan UPSR, PMR, SPM dan sebagainya. Kelas-kelas tusyen seperti ini dapat mengurangkan bebanan kewangan ibu bapa. Inilah peranan ahli jawatankuasa pengurusan masjid yang memanfaatkan kewangan masjid.
Jadikanlah masjid tempat pergantungan ahli kariah untuk menyelesaikan masalah mereka sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Imam Al-Bukhari antara tujuh golongan yang mendapat naungan Allah SWT pada hari yang tidak ada perlindungan melainkan perlindungan-Nya di akhirat nanti:
وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ
Yang bermaksud: “Dan lelaki yang hatinya bergantung di masjid-masjid.”Tabung masjid juga boleh digunakan bagi membaik pulih kerosakan serta menjaga kebersihan dan keceriaannya.Janganlah sekadar sekeping atap, paip bocor ataupun pembesar suara rosak tidak dibaiki kerana mengharapkanbantuan kerajaan atau Majlis Ugama Islam Dan Adat resam Melayu Pahang.Wang tabung masjid juga boleh digunakan secara berhemah untuk menjamu ahli jemaah bagi menggalakkanmereka mengimarahkan masjid. Di sinilah keprihatinan ahli jemaah diperlukan untuk terus menyumbangsebanyak mungkin bagi menambah dana tabung masjid. Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 27; Yang bermaksud: Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan rasul-Nya, serta janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah (yang diserahkan kepada) kamu, sedangkan kamu mengetahui dosanya.
Ingatlah! Setiap daripada kita bertanggung jawab mengurus hal ehwal masyarakat Islam termasuk menguruskan masjid. Pengurusan masjid hendaklah diuruskan dengan baik terutamanya dalam urusan pengendalian kewangan masjid. Tunaikanlah amanah-amanah yang telah diberikan kepada kita dengan penuh kejujuran. Sifat amanah ini adalah merupakan lambang atau tanda kepada golongan orang yang beriman kepada Allah. Berdasarkan kepada firman-Nya dalam surah at-Taubah ayat 18;
Yang bermaksud: “ Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi golongan yang mendapat petunjuk.” Ketahuilah! Bahawa mengkhianati amanah yang telah diberikan kepada mereka adalah termasuk dalam golongan orang-orang munafik sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW berdasarkan kepada hadith yang telah diriwayatkan oleh Muslim
: عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ
Yang bermaksud: Daripada Abu Hurairah RA,Rasulullah SAW telah bersabda : “ Tanda orang munafik ada tiga iaitu apabila berbicara dia berdusta, apabila berjanji dia tidak menepati dan apabila diberi sesuatu amanah dia khianat”.
Kesimpulannya , berdasarkan kepada ayat al-Quran dan Hadis Rasululah SAW tersebut, setiap urusan kewangan masjid mestilah ditadbir dan diuruskan dengan betul. Tanggungjawab ini dipikul oleh semua pegawai masjid dan jawatankuasa yang telah dilantik. Manakala bagi ahli jemaah hendaklah turut sama memberikan pandangan dan teguran membina sebaliknya bukan mengkritik secara melulu. Kerjasama inilah yang kita harapkan untuk menyatupadukan umat Islam bagi memastikan fungsi masjid berjaya disempurnakan dengan sebaik-baiknya.
باَرَكَ اللهُ لِي وَلَكُمْ بالقُرْآنِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ. اَقُولُ قَوْلِي هذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التّائِبِيْنَ
No comments:
Post a Comment