Luahan


Subscribe

RSS Feed (xml)

Tuesday, August 18, 2015

Kisah Menulis

Nak menulis untuk update BLOG ini bukanlah suatu perkara yang mudah. Mungkin bagi orang lain mudah, walaupun mudah tetapi kini dapatan blog yang masih aktif  semakin merosot terutama selepas muncul banyaknya  media sosial lain seperti Facebook.

Zaman saya mula berkecimpung sebagai Blogger, masa itu semua kawan-kawan pakat buat blog belaka. Saya masih ingat ketika itu rumah kami di Khoulusi (Shoubra, Mesir) tiada internet. Untuk update blog, chek emel dan YM kami harus pergi ke Cyber Café (CC) yang jaraknya boleh tahan juga la dengan berjalan kaki. Saya rasa kesemua CC yang berada di area Shoubra telah saya jejaki.

Ada beberapa alasan saya berkaitan kesukaran untuk Update Blog :

Idea biasa datang semasa saya sedang memandu (long distance), waktu tersebut memang mustahil untuk saya curahkan idea tersebut dalam bentuk tulisan. Kemudian bila waktu yang lapang untuk saya menulis idea tersebut dah hilang.

Idea juga selalu muncul ketika saya tidak bersama laptop, ialah tak kan setiap masa nak gelek laptop ke mana-mana. Dewasa ini pun jarang  orang bawa laptop melainkan student IPT. Geng-geng otai ni pakat tulis dalam Ipad, Tab atau HP sahaja.

Saya pernah terfikir untuk membeli Ipad atau Samsung Tab kononnya untuk memudahkan saya menulis. Tetapi buat masa ini saya rasa tidak berbaloi. Sebenarnya saya telah ada Asus yang sebesar Samsung Tab tapi membebankan untuk dibawa ke mana-mana, berat dan respon sangat lambat.   

Lalu di samping menggunakan laptop (bagi saya, ini paling best setakat ni), ada masanya saya mencoret juga sikit-sikit di HP saya yang tak seberapa itu.

Di ruangan ini suka saya nukilkan beberapa orang yang selalu menulis buat motivasi kita semua :

YB Ustaz Nik Abduh : sedutan dari ucapan beliau  “Tetapi tuan-tuan semua, Allah Taala mengurniakan walaupun bukan kepetahan bercakap dan ayah saya puji saya. Tiada pujian yang saya suka selain pujian seorang ayah yang tak pernah memuji anaknya, seorang tok guru yang tak pernah memuji, bila dia memuji rasa nak melompat.
“Dia puji tulisan saya, Allah Taala bagi kelebihan saya tak boleh bercakap macam ayah, tapi saya yakin Allah kurniakan saya aqal seperti ayah untuk memimpin Dewan Pemuda insya-Allah. Saya akan memimpin dengan aqal saya bukan mulut saya dan saya akan terjemahkan kepimpinan saya melalui tulisan saya'.



YB Tuan Guru Hj Abdul Hadi : Beliau  sentiasa menghadap laptop bagi menyelesaikan tulisannya. Sesibuk mana pun, mesti ada waktu untuk beliau berkarya melalui penulisan.

Buku karya Cikgu Hasanuddin
Cikgu Hasanuddin Md Isa : Beliau yang merupakan pengetua SMAN Pahang (SMA Al-Falah Batu Talam, Raub) sentiasa berkarya. Saya petik catatan tulisan di FB nya : "Anakku 'Aisyah Syahirah' tiba-tiba mengirimkan sekeping gambar. Ya, itu sejumlah novel bapa disusun di perpustakaan. Aku tahu dia terasa teruja dengan kehadiran novel bapa di rak itu.
Sebenarnya bukan setakat itu sahaja barisan karya bapa. Ada lebih 30 buah karya lain yang sudah dihadamkan isinya oleh khalayak pembaca. Bapa telah menulis sejak tahun 1986. Sudah lama. Sudah menjangkau lebih suku abad. Dan sekarang bapa masih menulis. Semalas-malas bapa akan mencatat di wall FB ini untuk renungan diri. Serajin-rajinnya bapa akan menyengkang mata ke tengah malam atau bangun awal pagi untuk menyudahkan karya. Tidak pernah bapa jemu dan penat untuk mencurahkan fikiran walaupun dari segi perolehan kewangan dan anugerahnya tidak seberapa.
Bapa berfikiran menulis itu mencambahkan kebijaksanaan dan kesolehan bukan untuk diri bapa sahaja tetapi untuk kehidupan khalayak pembaca juga.
Bapa akan terus menulis selagi upaya dalam kewarasan akal. Tatapilah karya bapa itu nanti. Itulah setakat daya keintelektualan bapamu".

Meja kerja Ustaz Karim di Kulliah
Ustaz Abd Karim Sidek : Beliau merupakan guru di Kulliah Sultan Abu Bakar Pekan sentiasa berdampingan dengan laptopnya dan aktif menulis terutama di FB nya. Tulisannya yang mengulas pelbagai isu diselit dengan pengalaman diri sangat menarik untuk dibaca.

Begitulah serba sedikit mereka yang menulis. Bagaimana pula dengan kita?

Apapun alasan yang saya berikan, saya tetap berusaha untuk terus menulis walaupun gaya bahasa yang tunggang langgang, atau tulisan label cap ayam sahaja. Saya akan pastikan blog saya ini diupdate walaupun ada masanya krik-krik.  Doakan saya.

Wassalamu
  

No comments :