Siang tadi,
datang seorang anak muda ke kedai Koperasi Masjid. Katanya dia dari sebuat
syarikat penerbitan. Projek yang dia bawa ialah Mushaf Al-Quran yang baru
beberapa hari diterbitkan. Katanya lagi Mushaf ini tidak sama dengan
mushaf-mushaf lain yang ada di pasaran. Mushaf yang lengkap dengan ilmu tajwid,
terjemahan, warna-warni pada huruf melambangkan hukum-hukum tajwid yang
tertentu. Sebab masih baru, dia hanya
bawa satu mushaf sahaja untuk
ditunjukkan.
Saya beritahu
kepada beliau, saya tidaklah belajar tinggi tetapi dalam bab mushaf al-Quran
Insyaa Allah saya tahu lah sikit-sikit. Saya tunjukkan kepada dia yang Mushaf
ini tiada pengesahan dari Lembaga Tashih Kementerian Dalam Negeri (KDN), hanya
ada surat tashih dari Indonesia. Mushaf yang dia bawa tidak sama dengan apa
yang dipelajari dan digunakan di Malaysia.
Antaranya tempat
letak ‘sukun’ (huruf mati). Mushaf yang diguna pakai di Malaysia tanda sukun
hanya diletakkan di atas huruf Nun mati
yang bertemu dengan huruf Izhar manakala mushaf yang dia bawa tanda sukun
diletakkan di semua nun mati baik huruf selepasnya adalah Izhar, Ikhfa’ dll.
Dia tanya kepada
saya, yang saya belajar di mana?, saya sebutkan saya belajar di mana. Tanyanya
lagi kalau orang yang pandai tiada masalah untuk guna mushaf yang dia bawa.
Saya jelaskan yang orang yang dah mahir tak perlu dah kepada mushaf yang
berwarna warni ini yang sudah pasti harganya mahal.
Akhirnya saya
katakan, minta maaf saya tidak boleh membeli mushaf ini, dan saya syorkan
supaya beliau mencari mushaf yang lain untuk dijual.
Masing-masing bersama mushaf kecil mengulang al-Quran, Gambar kenangan ketika berbuka puasa di IKIP, |
Saya teringat
kenangan semasa belajar mengaji dahulu bersama rakan-rakan. Macam-macam mushaf
yang beraneka saiz yang kami beli. Ada mushaf yang diceraikan satu juz satu
juz, ada yang diceraikan lima juz lima juz, ada mushaf saiz poket dan lain-lain
lagi. Ketika itu belum ada lagi aplikasi Al-Quran di Handphone, gadjet pun
belum ada. Pen yang boleh mengaji bila diletakkan di mushaf pun belum wujud.
Gambar yang ditangkap di kedai gambar, saya berbaju yang poketnya siap ada penutup berbutang. Ditempah di kedai arwah Abang Man. |
Paling menarik,
kami sampai menempah baju yang boleh muat mushaf kecil dimasukkan ke dalam
poket. Bahkan saya pernah menempah baju yang poketnya saya minta letak penutup
berbutang supaya mushaf tidak terjatuh ketika sujud dalam solat.
Kedai baju yang
kami selalu pergi kami gelarkan Abang Man, letaknya di belakang Mydin Kuantan
berhadapan dengan Parkson/ A&W kuantan (ketika itu), ketika masih
bersekolah tingkatan saya selalu terserempak dengan Abang Man yang selalu
bersolat di surau terminal Kuantan.
Ketika saya masih
lagi di Maahad Tahfiz, Abang Man telah kembali ke rahmatullah, sebelum itu kami
pelik kerana kedainya lama ditutup. Rupanya tutup sampai bila-bila. Almarhum sakit
yang kritikal sehingga membawa kepada ajalnya. Semoga roh almarhum Abang Man
ditempatkan bersama para salafussaleh.
2 comments:
Bila terbaca berkenaan kenangan bersama Mushaf ni, terimbau satu kenangan pahit bersama sebuah mushaf kecil pemberian seorang sahabat istimewa di Mesir dahulu :).Mushaf yang dihadiahkan oleh seseorang yang baru pulang mengerjakan ibadah haji..pulang dari Mesir, ada satu program yang kami ikuti di Ulu Yam selangor.
Mushaf tu digunakan untuk mengulang Quran dan biasa di bawa ke mana2. Ditakdirkan Allah, Mushaf tu tertinggal di surau chalet Ulu Yam tersebut. Sekalipun sudah separuh jalan balik dari program, sanggup berpatah balik untuk mencari semula mushaf tersebut..namun hampa.Mushaf tu mungkin sudah bertukar tangan.
Kepada yg menghadiahkan mushaf tu, pohon maaf sebab tak berjaya simpan lama..namun saat mushaf tu berada di tangan mmg sangat2 berjasa...
Sekian cerita kenanganku bersama sebuah Mushaf kecil :)
:) :(
Post a Comment