Friday, October 09, 2015

Melawat ke Galeri Sultan Azlan Shah

Galeri Sultan Azlan Shah sebuah Galeri yang indah dan menarik senibinanya. Galeri ini telah dirasmikan oleh DYMM Sultan Azlan Shah pada 9 Disember 2003 sempena ulang tahun Perkahwinan Baginda yang ke-48.


Galeri Sultan Azlan Shah dibina semula dari istana lama iaitu Istana Ulu. Istana Ulu atau dikenali juga dengan nama Istana Kota ini terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar tidak jauh dari Masjid Ubudiah. Istana ini pada asalnya ialah tempat persemayaman Sultan Perak yang ke-28, Sultan Idris Mursyidul ‘Adzam Shah yang memerintah dari tahun 1887-1916.
Istana ini mula dibina pada tahun 1898 dan siap pada tahun 1903. Pada tahun 1916, Istana Ulu ini telah disemayami oleh Almarhum Sultan Abdul Jalil , putera Sultan Idris Mursyidul ‘Adzam Shah. Selepas kemangkatan Almarhum Sultan Abdul Jalil pada tahun 1918, Istana ini telah disemayami pula oleh putera, Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah , Sultan Perak yang ke-32 yang memerintah Negeri Perak dari tahun 1948-1963.
Istana Ulu mempunyai perkaitan yang rapat dengan permulaan pertukaran kawasan pemerintahan Kesultanan Perak dari daerah Sayong ke daerah Bukit Chandan. Istana Ulu juga dikenali sebagai Istana Cinta Berahi, Istana Cempaka Sari atau Istana Kota. Istana tersebut direkabentuk oleh Kapten Maurice Alexander Cameron, Timbalan Jurutera Kolonial dan Ketua Juruukur Negeri-negeri Selat pada masa itu. Bahagian bumbungnya pula menggunakan pengaruh Acheh dengan pengunaan bumbung yang berbentuk limas. Pengaruh dari senibina India pula terdapat di bahagian kubah di kedua-dua menara bangunan.
Ukiran-ukiran kayu kayu yang terdapat pada istana tersebut telah diukir oleh Raja Harun Al-Rashid yang merupakan seorang pengukir terkenal ketika itu. Beliau mengambil ilham berdasarkan tumbuhan alami yang terdapat di taman istana tersebut. Sementara ukiran batu yang telah dibuat oleh pengukir mengikut arahan dan perkenan Sultan Idris 1 di  mana Almarhum memastikan supaya tidak terdapat sebarang bentuk ukiran yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti bentuk binatang atau patung-patung.
Penyusunan dan konsep ruang yang terdapat pada istana tersebut adalah berdasarkan pada ilham baginda di masa-masa yang lepas. Rekabentuk bangunan istana ini mempunyai ciri-ciri persamaan dengan bangunan Istana Negara, Mahkamah Tinggi Ipoh dan Stesyen Keretapi Ipoh.
Kebanyakan daripada bahan binaan untuk Istana Ulu ini dibawa dari luar negara. Atapnya dari Perancis dan jubin nya pula dari India. Walau bagaimanapun, banyak bahan tempatan yang digunakan seperti kerangka bumbung yang dibuat daripada kayu cengal dan ukiran daripada kayu meranti yang terbaik.
Kapal-kapal dagangan yang melalui perairan Sungai Perak telah digunakan untuk membawa bahan-bahan binaan untuk pembinaan Istana Ulu ini. Sementara itu gajah telah digunakan bagi mengangkut bahan-bahan tempatan.
Istana Ulu ini dipagari dengan tembok kota yang dibina di sekeliling Istana tersebut sehingga namanya turut dikenali dengan nama Istana Kota. Pada bahagian atas tembok tersebut kerawang besi berukiran bunga kemboja telah dibina dengan cantik.
Kemegahan dan keagungan istana ini dilukiskan dengan seni pembinaannya yang halus dan indah dan terus kekal berdiri teguh walaupun telah seabad didirikan. Pembinaan semula bangunan ini telah menyempurnakan lagi talian warisan kesultanan Negeri Perak Darul Ridzuan.



 Persekitaran yang mengasyikkan







Ruang parking yang nyaman

Singgah bergambar je di depan IPG Ipoh

Alang-alang ke Perak, mengeteh bersama Ustaz Azizuddin sahabat baik serumah (ahli bait), semoga kami bersua lagi di masa-masa yang lain pula.

Tolong promosi, buku susunan Ustaz Aziz yang akan berada di pasaran tidak lama lagi.








No comments: