Luahan


Subscribe

RSS Feed (xml)

Friday, October 30, 2015

Singgah di Bukit Fraser

Bukit Fraser terletak di negeri Pahang, di atas Banjaran Titiwangsa, Malaysia. Ia merupakan kawasan pelancongan pergunungan yang menarik kerana suhunya sejuk 17~24 Celcius. Puncak tertinggi Bukit Fraser ialah 1,310 meter dari aras laut. Kira-kira 104 kilometer dari bandar raya Kuala Lumpur. Bukit Fraser ini terletak di dalam Mukim Tras di Daerah Raub Pahang.
Bukit Fraser mendapat nama dari seorang pengembara British pada zaman kolonial iaitu Louis James Fraser .
Banyak bangunan dan banglo dibina mengikut cita rasa kolonial British. Dinding rumah dari batu konkrit besar yang disusun dan disimen. Warna dinding berwarna putih dengan diselang-seli warna hitam pada tiang jenang. Pagar rumah dibuat daripada pokok-pokok bunga . Lebar jalan raya agak terhad iaitu hanya dua lorong dan sukar untuk berselisih kereta. Jalan rayanya sempit, banyak selekoh berbahaya dan curam. Kini bas boleh sampai ke puncak kerana jalan naik dan turun sudah berasingan.Tiada lagi jadual untuk naik dan turun seperti dahulu.

Pekannya agak kecil dan kebanyakan aktiviti di sini tertumpu di sebuah dataran yang mempunyai sebuah menara jam yang cantik. Kebanyakan kemudahan di sini terletak di dalam bangunan-bangunan yang terbina pada zaman penjajahan Inggeris.Pusat peranginan ini dianggap sebagai tempat terunggul untuk aktiviti memerhati burung dan sering menjadi tuan rumah acara tahunan Pertandingan Memerhati Burung Antarabangsa Bukit Fraser. Pertandingan ini memerlukan peserta menyusuri laluan-laluan trek yang terdapat di dalam hutan di sini bagi mencari dan merekodkan jumlah pelbagai jenis burung yang boleh dilihat dalam tempoh masa yang ditetapkan. Suasana di Bukit Fraser menyerupai suasana perkampungan di pedalaman negara Scotland yang dipenuhi dengan bangunan granit kelabu dengan gaya Tudor.Harga makanan amat berpatutan malah ada makanan yang lebih murah dari sesetengah tempat pelancongan.Amat sesuai untuk mereka yang ingin berehat dari kesibukan dan mencari ketenangan.Terdapat juga kedai-kedai cenderamata yang terhad. 
Hampir keseluruhan nama tempat dan bangunan dinamakan dengan nama orang Inggeris. Rasanya hanya Masjid yang tidak menggunakan nama pembesar Inggeris. Inilah nasib menjadi negara yang dijajah suatu ketika dahulu. Sebagai renungan bersama, Kini walaupun sudah merdeka adakah pemikiran kita telah merdeka atau masih terjajah?




Tasik di Allan Water


 Banglo persendirian

 Banglo Jelai


 Masjid Sultan Mahmud, Bukit Fraser, sama nama dengan Masjid daerah Lipis


 Bunga di halaman Masjid Sultan Mahmud Bukit Fraser

 Dataran menara jam yang menjadi tumpuan pelancong. Ketika ini hujan jadi tiada pelancong yang bergambar.

 Banglo Pekan

 Terdapat banyak bunga yang cantik-cantik

Deretan rumah kedai warisan yang perlu dipelihara sebagai suatu monumen sejarah yang berharga. Gambar di Pekan Tras, Raub ketika laluan masuk ke Bukit Fraser 

No comments :