Luahan


Subscribe

RSS Feed (xml)

Saturday, July 01, 2017

Nasi Lemak makanan kesukaan

Nasik Lemak antara kegemaran saya. Rupanya dah lebih sebulan tak berjumpa dengan nasik lemak.
Pergi beraya jumpa pulak nasik lemak. Buat-buat tak pandang laksa fokus ke nasik lemak je. Haha.

Ketika darjah satu. Hampir setiap hari saya makan nasik lemak bungkus daun pisang di kantin. Menariknya nasik lemak tersebut percuma. Tak perlu bayar di kantin. Ambil sahaja. Semua pelajar di sekolah tersebut dapat percuma. Jangan tanya sebab apa. Sebab masa tu saya darjah satu. Terlalu kecil untuk memahami rentak pentadbiran. Huhu.

Air  saya bawa bekal. Duit belanja memang tak berusik. Kadang-kadang sahaja saya beli keropok di kantin. Atau aiskrim batang di rumah cikgu.
Kalau tak beli apa-apa, duit belanja saya serahkan pada guru kelas untuk disimpankan. Cikgu akan catatkan di buku notanya. Nanti beliau akan masukkan di pejabat pos atau Bank Simpanan Nasional. Atau pun van pejabat pos datang ke sekolah. Pelajar lain dalam kelas saya pun sama macam saya. Duit belanja saya ketika itu hanya dua puluh sen setiap hari.

Masuk darjah dua, saya bertukar sekolah. Tiada lagi nasik lemak percuma. Kena beli di kantin dengan harga tiga puluh sen sepinggan. Saya jarang beli, sebab bawa bekal dari rumah. Duit belanja saya ketika itu naik sikit, tiga puluh sen setiap hari. Cukup-cukup buat beli nasik lemak.

Darjah enam, saya bertukar sekolah. Nasik lemak di kantin lima puluh sen untuk yang biasa. Kalau letak sebiji telur rebus harganya jadi tujuh puluh sen sepinggan. Selalunya saya bawa bekal dari rumah. Jadi tak setiap hari saya membeli nasik lemak di kantin. Seingatnya. Saya tak pernah beli nasik lemak yang tujuh puluh sen tuh. Sebabnya duit belanja saya hanya 50 sen sehari.
Tingkatan 1, nasik lemak kantin RM 1 sepinggan. Cukup-cukup dengan duit belanja saya RM 1 sehari. Tak setiap hari juga belinya, sebab tak setiap hari saya berkunjung ke kantin.

Cerita nasik lemak bukan setakat di kantin sekolah. Semasa saya duduk di asrama sewaktu  tingkatan 4 dan 5. Malam-malam beli nasik lemak dekat kedai makan seberang sekolah. Kami berderet menunggu dekat pintu pagar. Waiter akan ambil oder dekat pintu pagar dan menghantar pesanan kami. RM 1.20 untuk sebungkus nasik lemak. Itulah juadah yang mampu buat saya. Tak lepas lagi nak beli nasik goreng pataya. Kenal pun tak lagi. Haha.

Ketika belajar di Mesir, kadang-kadang saya masak juga nasik lemak versi saya. Tak perlu pun tengok buku resepi atau toturial mana-mana. Redah je buat. Yang penting ada nasi, ada sambal, ada telur dan timun.

Kini, saya tidak lagi memasak nasik lemak. Hanya mencari dan mencuba di kedai-kedai makan.
Sempena mood raya ni. Ada yang nak menjamu saya makan nasik lemak ?

#PermaiMenulis
#Nasilemak



No comments :